17 April, 2009

Cerita lama, "Aku dan Ayah"

"Ayah telah tua", itulah ayat yang kudengar bila ayah ikut sama ke Teluk Intan. Kini ayah tidak lagi berani bawa motosikal ke pekan. Ayah kata dah tak boleh agak jarak dengan kenderaan lain. Nak lintas jalanpun payah, inikan pula nak bawa motosikal.

Arwah nenek pernah cerita, ayah dilahirkan di Sapat, Indonesia. Waktu usia tak sampai 40 hari, ayah, Pak Long, Nenek Bini dan Nenek Laki berhijrah ke semenanjung. Belayarlah empat beranak menyeberangi Selat Melaka dengan menaiki sampan. Selepas mendarat di Pulau Pinang terus ke Bagan Serai membuka tanah di sana. Dari Bagan Serai sekali lagi berhijrah ke Sungai Manik dan keluarga ayah membina kehidupan di Parit 4A. Itu sejarah yang pernah diceritakan arwah Nenek Bini.

Awal tahun 2006, ayah dimasukkan ke hospital. Mungkin kerana kesakitan yang melampau, ayah menggenggam tanganku erat. Ingat lagi katanya, "Sakit............". Selepas pembedahan, pertama kali aku melihat ayah menangis. Kini, tanggapanku berlainan. Bukan lagi kerana sakit, tapi kerana sayu dan hiba dengan perhatian yang diberikan oleh anak-anak. Kesemua anak ayah berjumlah 11 orang berkumpul dan berada di sisinya. Kalau dulu, ayah yang terkenal dengan kegarangannya kini lesu.

Masih lagi kuingat. Waktu itu, usiaku 9 tahun. Pada hari Jumaat, kami kanak-kanak berkumpul di surau untuk sembahyang Maghrib dan Isyak. Kebetulan, pada malam Jumaat, pengajian Al-Quran tiada, jadi bilangan kami cukup ramai. Dan yang lebih menarik minat kami ialah kebetulan malam itu ada kuih-muih yang lazat untuk hidangan selepas membaca Surah Yaasin.

Hendak jadi cerita, malam tu kami ternakal lebih. Sewaktu sembahyang Maghrib, ada antara kami yang tidak sembahyang telah membuka juadah dan makan sampai habis hidangan yang dibawa jemaah. Yang teruknya, bekas hidangan ditutup rapat sehingga tidak ada siapa yang sedar makanan telah selesai 'dikerjakan'.

Selepas Sembahyang Isyak, hidangan dibuka dan jemaah terkejut, yang ada hanya bekas kosong. Lantas terdengar Imam Haji Hamid berkata, "Budak-budak ni datang bukan nak sembahyang, nak cari makan". Kata-kata Imam cukup mengejutkan kami. Terlihat dua tiga orang tua balik. Mungkin terasa dan tersentuh hati mereka.

Ayah masih duduk di sisi Imam. Lepas minum kopi, kami balik. macam biasa, ayah bawa lampu suluh. "Jalan kat depan, pegang tangan adik Fuad tu," kata ayah.

"Nampaknya tak ada apa yang akan berlaku," kata hatiku.

Sampai dekat tangga, aku toleh ke belakang. Nampak ayah mencabut tali pinggang.

"Nak bagi malu aku. Apa....tak cukup makan lagi kat rumah ni.....".

Piap....piap .....piap.....Tali pinggang singgah kat belakangku.

Adik meraung memanggil mak. "Makkkkkkkkkkkk........."

Mak menerpa keluar. "Kenapa? Mengucap, bang..........."

"Budak-budak ni bagi malu. Imam kata kita tak cukup bagi makan. Sebab tu dua beradik ni habiskan makanan kat surau..." kata ayah teresak-esak.

Lepas itu, ayah terus masuk ke rumah. Mak bawa kami ke dalam bilik. Terus masuk kelambu. Sambil menangis mak sapu minyak angin belakang badanku. Adik duduk termanggu, akhirnya lena sambil duduk bersila.

Malam tu aku tak lena. Menangis sepanjang malam. Bukan kerana sakit, tapi hairan dan bingung kenapa ayah memukul dengan tali pinggang. Padahal, bukan aku dan adik yang makan kuih kat surau waktu sembahyang Maghrib.

Jam dinding berbunyi tiga kali. Maknanya sudah jam tiga pagi. Aku masih belum lena, baring meniarap. Belakang masih pedih. Mak baring di sisi sambil bertasbih.

Kulihat kelambu dibuka. Ayah masuk dan rapat padaku. Ayah mengusap belakangku dan berkata kepada emak, "Kesihan, Amat. Aku tahu, bukan dia yang makan. Amat dan Fuad sembahyang sebelah tadi. Tapi Imam kata pedih", kata ayah sambil mencium dahiku.

Semenjak hari itu, kami tak ikut ayah lagi ke surau, sampai hari ini. Kenangan tu aku dan adik tak boleh lupakan. Memang padaku ayah tak bersalah. Siapapun kalau ada hari tu cukup terasa bila Imam kata begitu.

Itu cerita 3o tahun dahulu. Kini, ayah jauh berbeza. Kalau cucu minta apapun, selagi boleh ayah akan penuhi. Bukan anakku saja, tapi semua cucunya. Kalau kami dahulu, rotan dan tali pinggang, boleh katakan tiap minggu ada yang kena, kini cucu balik minta apapun semua ada.

Baru minggu lepas aku pulang dan jumpa ayah. macam biasa, lepas bersalaman kami bercerita hal keluarga dan isu semasa. Entah kenapa lepas minum petang tu ayah merenung wajahku.

"Kalau marah, jangan rotan budak-budak tu. Dulu lain, sekarang lain. "

Aku tahu, ayah masih ingat lagi kisah lama. Tak mungkin ayah minta maaf. Tapi bagiku, seorang ayah tetap tak salah, walau dia tersalah tindakan. Ayah hanya menjalankan amanah menjaga anak agar menjadi 'orang berguna'.

Kepada orang yang menjadi pemimpin, biar di mana kedudukan dan tarafnya, jagalah tutur kata. Kadangkala kata-kata kita menjadi bisa kepada orang lain yang tak mengerti makna tersirat ucapan kita.

7 ulasan:

kuIna berkata...

cara mendidik berbeza mengikut zaman.. namun tujuan & matlamat sama.. membentuk generasi yg berguna

Ummy Anna berkata...

itulah cerita ayah mentuaku..kerna sakit hati dan terhina dengan kata-kata orang yang dihormatinya, anak-anak yang tidak bersalah dihukum dan dirotan hingga berdarah...agaknya begitulah keadaan emosi guru-guru yang tertekan...

su berkata...

tersentuh baca kisah ni...

Leenoh berkata...

Salam.
Sedih, walaupum dia membuat kesilapan tetapi pengorbanannya yang lain sangat tinggi, kesilapan itu tidak memberi kesan buruk padanya.
Dia tetap unggul sebagai bapa kapada anak-anaknya yang ramai itu.
sekarang berkatnya kelihatan terserlah.

noorlara berkata...

Berbahagialah anda masih mempunyai seorang ayah, masa semakin singkat luangkan masa dan tunjukkan kasihsayang sebanyak mungkin kepadanya supaya dia akan lebih bahagia.

Orang dulu amat mengutamakan soal maruah, amat dijaga dan ditatang bukan macam sekarang kerana ramau ayah yg kencing berdiri lalu anak-anak kencing berlari...

Semoga ayah anda sihat tubuh badan, tenteram jiwa dan fikiran dan dipanjangkan usianya

Cik Mawar berkata...

tersentuh mawar baca cerita cikgu nie... Semoga ayah cikgu cepat sembuh..amin

admin berkata...

sedih jugak....tapi saya mmpunyai ayah yang tak begitu garang...