23 Jun, 2009

Akibat Suka berleter........Cikgu Pompuan

Diceritakan di sebuah sekolah, ada seorang Cikgu Pompuan yang suka berleter kepada pelajar-pelajarnya. Tak kira apa kesalahan yang dilakukan oleh pelajar, alamat jenuh tahan telinga .

Pada suatu hari, lima orang pelajarnya lewat masuk ke kelas. Terpaksalah kelas tersebut menahan telinga mendengar bertih goreng yang dilontarkan oleh guru itu.

Macam-macam diungkit, malas belajar, tak tahu menilai masa, tak reti menghormati guru, tak sedar diri, kecik-kecik tak nak mampus, dah besar menyusah orang, bodoh tak boleh diajar, pandai tak boleh dididik, sampailah kepada perbandingan dengan watak Pak Kaduk, Lebai Malang, Si Luncai dan Pak Pandir.

Teramatlah besar malu yang ditanggung oleh kelima-lima orang pelajar itu. Maka kelima-lima sepakat untuk mengajar Cikgu Pompuan itu.

Petang itu, mereka menunggu Cikgu Pompuan di persimpangan jalan. Tanpa ada saksi, mereka telah menangkap dan mencampakkan Cikgu Pompuan itu ke dalam telaga buta.

Puas hati mereka kerana telah berjaya menyelamatkan sekolah daripada lontaran kata-kata yang menyiksa selama ini.

Bila malam, entah macamana, timbul keinsafan dalam diri pelajar tersebut.

Mereka pergi semula ke telaga buta dengan membawa tali yang panjang dan lampu suluh.

Bila sampai, mereka menyua tali ke dalam telaga dan menjerit, "Cikgu, minta maaf, kami datang nak selamatkan Cikgu. Pegang pada tali, nanti kami tarik Cikgu keluar telaga buta ini."

Selepas itu, mereka menarik tali dengan penuh semangat. Terasa bebanan yang ditarik sangat berat, sedangkan mereka tahu Cikgu Pompuan itu kurus sahaja.

Bila melihat ada lembaga telah memegang tebing telaga, salah seorang daripada pelajar itu menyuluh dengan rasa gembira, tapi alangkah terkejut mereka bila melihat yang keluar bukanlah Cikgu Pompuan tetapi lembaga hitam yang berbulu badannya.

Kerana terlampau marah, pelajar itu bertanya dengan geram, "Hang sapa? Kami bukan nak tarik hang keluar. Cikgu kami kat dalam telaga ni macamana?"

"Aku jembalang tanah. Yang hangpa campak Cikgu tu buat apa? Aku tak tahan dengar dia berleter. Tak habis-habis macam radio buruk."

PENGAJARAN: Kepada cikgu sekalian, jangan suka berleter. Bukan anak murid cikgu sahaja tak tahan mendengar leteran cikgu, jembalang tanah pun lari kalau dengar cikgu berleter.

Cerita ini diambil daripada jenaka yang diolah oleh salah seorang penceramah kursus di Pulau Pinang.

22 Jun, 2009

Perjalanan Yang Jauh

Telah lama berehat dan santai untuk menilai kekuatan diri. Setelah terlantar 7 hari di hospital inilah kali pertama saya memulakan perjalanan yang jauh seorang diri.

Bertolak dari rumah di Jitra ke Tanjung Bunga, Pulau Pinang untuk menghadiri mesyuarat. Memandu seorang diri tanpa ada pengapit yang boleh memerhati. Selamat sampai di hotel tanpa sebarang kekangan walaupun hujan lebat bila menyeberang ke sebelah pulau.

Rasanya selama 5 hari sepanjang minngu ini, kereta akan tersadai dalam kawasan parking hotel sahaja. Gerun rasanya memandu dalam kesibukan kota raya ini.

Pemandangan Pulau Pinang. Gambar diambil dari dalam feri

03 Jun, 2009

Bercuti di Hospital..........

Jambangan Bunga Kiriman NUTP Kedah

Nampak gayanya kali ini saya terpaksa bercuti di hospital. Tak pasti lagi, sama ada gastrik atau sakit jantung, masih dalam pemantauan doktor. Semenjak 30 Mei hingga hari ini, bercuti di hospital.

Cuma malam ni tak larat dah tidur kat hospital, minta kebenaran balik rumah. Nasib baik dibenarkan dan dapat update blog ini.