06 November, 2010

Banjir - Kedah 2010

banjir dalam Bandaraya Alor Setar (Gambr dicopy drpd Utusan Malaysia Online)

Sesuatu yang pelik nampaknya ada di sini. Biasanya bila berlaku banjir, hanya kawasan tersebut yang mengalaminya, tidak melarat ke kawasan lain. malangnya, banjir di kedah semacam ada aturan giliran untuk memilih mangsa.

Mula-mula daerah Kubang Pasu dan Padang Terap, kemudian daerah Kota setar dan kini melarat ke Pendang.

Adakah selepas ini daerah Yan dan diikuti Kuala Muda pula?????

Pergerakan banjir bermula dari utara bergerak ke selatan. jadi mesti ada sebab yang menyebabkan air mengalir di atas daratan, bukan menuju ke laut.

Memang jika air pasang berlaku, pengaliran ke laut tidak terjadi, tetapi air pasang bukanlah sepanjang masa, bermakna jika hujan tidak lebat dan cuaca panas, banjir akan cepat surut dan tidak melarat ke kawasan lain.

Tetapi banjir di Kedah kini nampaknya pelik dan sebab itu perlu dilihat supaya jika berlaku lagi musibah, hanya kawasan itu sahaja yang mengalaminya dan tidak melarat ke kawasan lain.

Tahun 2005 dahulu banjir yang teruk juga telah melanda Kedah tetapi banjir hanya melibatkan kawasan rendah. Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Jalan Sultanah, Jalan jitra-Alor Setar melalui Anak Bukit tidak terjejas, tapi kini kawasan tersebut bukan saja dinaiki air malah kawasan ini menerima kesan yang paling teruk.

Mungkin benar apa yang diperkatakan oleh MB Kedah pembinaan landasan kereta api berkembar menghalang laluan air ke laut dan menyebarkan ke kawasan lain pula.

Fikir-fikirkanlah..................................

11 Oktober, 2010

Guru - wajibkah Memakai tali leher?

Entahlah, saya pun tak pasti. tapi selama ini saya tak pernah membantah. Setiap hari bila di sekolah saya memakainya. Bukan apa.....bila pelajar memakai tali leher, tidak manis kita sebagai guru meninggalkan amalan yang sudah sebati ini.

Dalam kalangan pentadbir sekolah, sepanjang menjadi guru tiada seorang pun pengetua yang menyuruh saya dan rakan-rakan memakai tali leher. Bila ada majlis rasmi, orang yang tidak pernah memakai pun akhirnya dengan rela hati menyematkan di leher mereka. jadi, tiada alasan untuk pengetua memberi arahan.

Namun, kini berlegar satu cerita mitos. Dikatakan seorang pengetua A telah menalefon seorang pengetua B yang anak buahnya bertugas di sekolah A atas urusan rasmi mengarahkan anak buahnya memakai tali leher. Anak buah pengetua B tidak memakai tali leher kerana kepanasan dan berpeluh setelah mengangkat berkotak-kotak bahan rasmi kerajaan. Malahan bilik tempat anak buah pengetua B bertugas juga tiada aircond untuk dia menyejukkan badan. Kipas juga lenggang lenggok, tiada terasa pengudaraannya. jadi, salahkah anak buah pengetua B yang juga seorang guru tidak memakai tali leher kerana memang keadaan tidak mengizinkan.

Surat pekeliling berikut dengan jelas menyatakan guru digalakkan memakai tali leher, bukan DIWAJIBKAN.
Lainlah jika guru tersebut sudah bertukar status menjadi pentadbir yang memang di dalam biliknya ada aircond khas untuk dia seorang. Bila panas sedikit, masuk bilik dan duduk di kerusi empuk yang disediakan.

03 September, 2010

Mohon Bantuan Mengesan Pembantu Rumah indonesia

Inilah kali ketiga saya ditipu dan penipunya adalah pembantu rumah dan agen.

Agen maklum pembantu ini baru sampai dan dalam proses di Imigrasen, tapi sebenarnya dia telah pernah bekerja di rumah orang lain dan majikan lama tidak mahu lagi perkhidmatannya. Tak mengapa, cerita agen akan saya uruskan dengan Tribunal Pengguna.

Ketika dia melarikan diri, 3 anak saya berusia 6 bulan, 3 tahun dan 5 tahun terbiar kelaparan dari pagi. Manusia yang tiada hati perut memang begini perangainya.

Sekarang tumpuan saya kepada mencari pembantu rumah yang telah lari dan melarikan segala kilauan yang ada dalam rumah ini untuk bersama wang tunai kecemasan yang sememangnya saya simpan untuk keperluan jika berlaku kecemasan di kampung.

Nampaknya pembantu rumah ini sungguh cekap kerana dapat bersembunyi dan melarikan diri walaupun pasport tiada padanya.

Kepada blogger kenalan, mohon paparkan poster ini bagi membantu saya.

Gambar saya salin dr blog KedahLanie.

02 Julai, 2010

Neraka di rumah sendiri

Malam ini aku bungkam. Nak nangis tak mampu. Nak cerita hampir tak tahu.

Segalanya bermula pagi tadi. Jam 10.30 pagi. Selepas menandatangani buku rekod kemajuan, ambil anak Kedua dan Ketiga, terus hantar balik ke rumah. Yang Ketiga tak mahu balik. Jadi ajak dia seorang ke kedai makan. Ajak makan dan gunakan segala ilmu yang ada untuk korek rahsia. Dia buka mulut tapi tak jelas.

Hantar dia balik rumah.

Sebenarnya, saya sedar anak Keempat dan Kelima ada perubahan.

Kedua-duanya sering demam. Yang Kelima perempuan, selalu peluk buai anak Keenam, tak bagi orang lain pegang. Kalau orang lain atau abang-abangnya sentuh dan main buai, terus menangis.

Yang Keempat, dulu celotehnya cukup riuh, kadangkala tak mampu layan. Kini jadi agak pendiam. Sepatah tanya, sepatah jawab.



.............................................................................

Selepas baca Yaasin, bawa Ketiga, Keempat dan Kelima keluar tempah makanan berbungkus. Dalam perjalanan itulah pecah semua cerita.

Kelima: Kenapa Bik suka buat kita?

Ketiga: Tah....Ari ni dia buat apa kat adik?

Keempat: Ari ni dia kelaq tangan adik dengan pisau. Tapi bukan yang tajam, hak belakang. Adik nangis. Riau lama. Sakit.

Ayah: Pasal apa Bik buat cam tu?

Kelima: Bik kata abang suka tabuq makanan. Kalau tabuq lagi, Bik nak potong tangan.

Ketiga: Kelmarin kan Bah, masa abang balik sekolah, Bik bubuh cabai melaka dalam mulut adik (keempat). Bik kata adik suka nangis. Kalau nangis lagi, Bik nak buh 5 bijik.

Ayah: Adik (Kelima) kenapa suka pegang buai Anas (Keenam)?

Keempat: Bik nak cucuh buai adik (Keenam). Selalu Bik cucuh lighter kat besi buai adik (Keenam). Bik kata, kalau adik (Kelima) suka nangis, Bik nak bakaq adik (Keenam). Sebab tu adik (Kelima) jaga buai.

Selepas tempahan makanan siap, terus balik ke rumah. Arahkan Bibik kemas pakaian dan hantar kepada agen. Baru 2 bulan datang kerja, sudah berani buat angkara.

12 Jun, 2010

Mak Dah Tua......

Itulah kata-kata yang masih terngiyang-ngiyang dalam ingatanku.

Memang kuakui, mak dah tua, tapi tua mak masih bertenaga.

Memang mak dah terlantar di atas katil, nak ambil air sembahyang terpaksa naik kerusi roda dulu, tapi itu bukti mak masih bertenaga.

Setiap kali balik kampung, itulah yang kuperhatikan.

Mak tak pernah minta tolong. Nak ke jamban, nak mandi, ambil air sembahyang, semua mak buat sendiri.

Kadang-kadang hatiku berdetak..Mak telah melalui liku-liku kehidupan yang panjang. Perih, jerih, payah, susah.....Mak tetap di sisi kami dari kecil hingga kini.

10 orang, bukan sedikit, anak-anak mak. Yang pasti semuanya menjadi orang, bukan orang-orang.

Yang pasti, aku selalu rindu untuk baring di sisi mak. Entah kenapa, aku pun tak pasti. Setiap kali balik kampung, itulah yang kulakukan.


05 Mei, 2010

Ambi - Pemakan Manusia

Seperti yang telah diceritakan dahulu, Atuk dan Nenek saya berasal dari Tanah Besar Banjarmasin, Indonesia. Mereka telah merantau dan bermukim di Sungai Manik. Sebagai generasi ketiga di Malaysia, saya masih lagi mewarisi cerita-cerita rakyat yang dituturkan oleh Nenek. Kebanyakan cerita disampaikan kepada saya sewaktu ayah dan mak pergi ke Mekah menunaikan Haji, sewaktu saya dalam Tingkatan 2.

Ambi, pemakan manusia adalah salah satu cerita yang menarik untuk disampai di sini, selain Cerita Hantu Mak yang saya tulis dahulu.

29 Mac, 2010

Penghargaan Kepada Guru Disiplin

Inilah penghargaan yang saya terima sebagai Ketua Guru Disiplin.

Terima kasih kepada yang menyatakan isi hati yang terbuku selama ini. Walaupun berbekas di hati, saya menerimanya dengan rasa terbuka dan akan cuba memperbaiki diri.

Cuma yang tak sedapnya, hadiah ini dicatat di dinding tangga utama pergerakan guru dan pelajar.

24 Mac, 2010

Tandas Berbayar Di Sekolah......

Gambar ini saya copy daripada Arkib Gambar Terkini akhbar Utusan Malaysia Online bertarikh 24 Mac 2010.

"Beberapa pelajar SMK Tansau, Putatan keluar dari tandas sekolah tersebut yang mengenakan bayaran sebanyak 10 sen setiap kali menggunakannya, di Putatan, Sabah", itulah catatan yang terdapat dalam gambar tersebut.

Persoalannya:

1. Wajarkah bayaran dikenakan?

2. Kemanakah wang kutipan itu disalurkan, sama ada tabung PIBG, SUWA atau ke mana ?

3. Bolehkah premis awam mengenakan bayaran sebegini?

Fikir-fikirkanlah..

....................................................................
Catatan terkini: 27 Mac 2010 8.06 pagi

Berita terbaru

Utusan Malaysia Online: 27 Mac 2010

SMK Tansau mansuh bayaran masuk tandas

KOTA KINABALU 26 Mac - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tansau hari ini mengambil tindakan yang dianggap melegakan ibu bapa apabila memansuhkan bayaran memasuki tandas sekolah berkuat kuasa Isnin ini.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), SMK Tansau, Mohd. Fazal Bani Amim berkata, keputusan itu dibuat hasil perbincangan antara pihaknya dengan sekolah.

"Sebenarnya pelaksanaan ini adalah hasil keputusan dalam mesyuarat agung yang diadakan oleh pihak PIBG bagi memastikan kemudahan tandas yang sering rosak dapat diperbaiki dengan segera.

"Bagaimanapun, bagi menghormati aduan sesetengah pihak kita mengambil keputusan membatalkan perkara ini," katanya ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan pihak sekolah di SMK Tansau di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Yang Dipertua PIBG SMK Tansau, Ismail Yusof dan Ketua Pembantu Tadbir SMK Tansau, Pengiran Alimuddin Pangiran Daud.

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan mengenai rungutan ibu bapa yang tidak berpuas hati dengan tindakan sekolah berkenaan yang mengenakan bayaran kepada pelajar yang ingin memasuki tandas.

Kebanyakan ibu bapa menyatakan bayaran 10 sen yang dikenakan untuk memasuki tandas itu adalah tidak wajar kerana menyusahkan pelajar serta membebankan ibu bapa.

Menurut Mohd. Fazal, pelaksanaan sistem pembayaran itu dibuat selepas mendapat persetujuan ibu bapa bagi membayar upah pembersihan tandas dan menggantikan peralatan tandas yang rosak.

"Dalam mesyuarat agung yang dihadiri 602 orang penjaga pada 6 Februari lalu pun kita tidak mendapat bantahan daripada ibu bapa mengenai pembayaran itu.

"Selain itu juga kaunter aduan ibu bapa yang dibuka setiap hari Rabu oleh pihak sekolah juga tidak mendapat aduan mengenai perkara itu," katanya.

Dalam pada itu katanya, akibat tindakan pemansuhan itu pihaknya terpaksa menanggung sendiri perbelanjaan untuk membayar upah pembersihan dan pembaikan kerosakan tandas di sekolah berkenaan.

Justeru ujarnya, pihaknya akan memikirkan kaedah lain dalam mesyuarat PIBG akan datang bagi menampung perbelanjaan tersebut.

Pihaknya juga akan turut mencari kaedah terbaik seperti menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) bagi memastikan semua penjaga dan ibu bapa dapat menyalurkan aduan terus kepada pihaknya.

18 Mac, 2010

Kejayaan Sekolah: Guru atau Pengetua?????


Sekarang ini menjadi trend...kalau sekolah berjaya.......yang diangkat....disanjung...diberi anugerah adalah Pengetua.....cikgu-cikgu yang bertungkus lumus dilupakan.......

Masih saya ingat pengalaman di sekolah lama dulu, apabila Hari Anugerah Cemerlang, guru-guru dipanggil untuk terima penghargaan.

Sebenarnya, semua ada peranan tersendiri dalam menjayakan sesebuah sekolah.

Pengetua menjadi perancang sementara guru-guru laksanakan apa yang dirancangkan oleh Pengetua. Jika Pengetua menunjukkan contoh terbaik maka tidak ada sebab guru-guru nak mengingkari perancangan yang diarahkan.

Dalam melaksanakan perancangan, kebajikan guru, teladan yang baik serta sokongan kumpulan pengurusan yang terdiri daripada Penolong-Penolong Kanan dan Guru-Guru Kanan amat penting.

Kesepakatan dengan kumpulan ini akan meyakinkan guru Pengetua mendapat kekuatan daripada dokongan pembantu-pembantunya dan ini akan menambahkan kepercayaan guru tentang keupayaan sekolah menjana kejayaan.

Kesimpulannya, semua pihak berperanan dalam mencipta kejayaan sesebuah sekolah.

01 Februari, 2010

Hati Seorang Guru..............

Persoalan ini sering menghantui guru, terutamanya guru disiplin. Pada hari ini, pelajar sekolah bukan seperti dahulu lagi. Masih ingat lagi, kalau dahulu sewaktu bersekolah di SMK Seri Perak Teluk Intan, antara tahun 1982 – 1989 ,nampak sahaja kelibat Cikgu Hashim atau Cikgu Abdullah Meera, pasti kami akan melencong. Waktu itu, tiada pelajar yang berani nak berdepan dengan mereka apatah lagi jika tahu ada kesalahan yang dilakukan.

Kini, keadaan sudah jauh berbeza. Pelajar makin rapat dengan guru dan kadangkala boleh bersembang dengan akrab. Masalahnya, ada pelajar yang tidak tahu ketika dan batas hubungan tersebut. Pada saya, pelajar tetap pelajar, mereka mesti menghormati guru yang memberi dan menyumbangkan ilmu untuk kemajuan diri mereka.

Sebagai guru disiplin, ada ketikanya saya terpaksa berdepan dengan pelajar yang bukan sahaja nakal, tetapi juga menggunakan bahasa yang agak kasar dan menyakitkan hati. Sebab itulah, apabila berhadapan dengan pelajar seperti ini, saya lebih selesa duduk atas kerusi daripada berdiri. Dengan cara ini, boleh menyekat saya daripada bertindak pantas, sama ada menggunakan tangan atau kaki.

Bayangkan, kita tanya “Kenapa tak kerat kuku panjang tu?”
Dengan selamba dijawab, “Nak buat macamana cikgu, tumbuh sendiri”.

Bila ditanya, “Kenapa lambat datang ke sekolah?”.
Dengan mudah dijawab, “Jam loceng tak berbunyi”.

Kalau ditanya, “Buat apa warnakan rambut?”
Dijawab dengan nada sinis, “Artis dan menteri kale rambut tak pe, tak kan kami tak boleh kut.”

“Kenapa baju lepas keluar? Tali leher mana?”
“Saya datang sekolah nak belajar, bukan nak menyemat”

Jawapan yang seperti inilah yang memanaskan perasaan guru. Malah, kadangkala kerana jawapan tersebut akhirnya pelajar disabitkan lagi dengan kesalahan melawan guru atau menggunakan bahasa kasar.

Nak buat macamana? Pelajar zaman sekarang!!!!!!

06 Januari, 2010

Serombong Asap Dalam Tandas

Tahun ini, saya diberi tugas sebagai Ketua Guru Disiplin, tugas yang tidak pernah saya buat selama ini. Nak kata saya garang, tak juga, tapi apabila bertugas di tempat baru, kita kena terima habuan daripada kelulusan pertukaran itu.

Sepanjang bertugas sebagai guru, tangan saya tidak pernah sangkut ke muka pelajar yang nakal, tapi kini baru tiga hari bertugas seorang pelajar telah makan buah tangan yang saya kira cukup untuk memberi peringatan kepada mereka jangan mengulangi lagi tindakan mereka.

Waktu rehat, saya melalui Blok C dan bila sampai ke tandas lelaki, kelihatan asap terapung-apung di udara. Tanpa banyak bicara, saya masuk ke dalam tandas. Pelajar yang ada dan melihat saya, mula melarikan diri.

Seorang pelajar keluar dari tandas dan mulutnya keluar asap tanpa mungkin disedarinya. Dicelah jarinya, tersepit rokok yang masih menyala.

"Awak merokok?"

"Tak Cikgu, saya kencing tadi," katanya dengan yakin.

"Tu kat jari apa dia?"

Kelihatan dia terkebil-kebil.

Tanpa disedari, "Panggggggg.........." tangan kiri saya terangkat dan singgah di pipinya.

Selepas itu, saya terus membawa pelajar tersebut ke bilik Penolong Kanan (Hal Ehwal Murid) beserta dengan bukti yang ada.

Itulah......lain kali nak bohong lihat dulu sekeliling. Bukti ada di jari sendiri, masih cuba juga membohongi diri sendiri.

Memandangkan saya tidak merokok, saya dapat mengesan bau rokok jika ada yang cuba melakukan perbuatan itu di sekolah.