19 Mei, 2008

SAMBUTAN HARI GURU PERINGKAT SEKOLAH

Dimuatkan gambar-gambar Sambutan Hari Guru Peringkat Sekolah (SMK Jabi, Pokok Sena, Kedah) yang diadakan pada 18 Mei 2008. Meriah, menarik dan meninggalkan kenangan kepada guru-guru yang berbakti di sini.
Perarakan masuk Pengetua dan guru-guru
Kepimpinan utama SMK Jabi menadah tangan memohon doa daripada Yang Maha Esa
Ucapan wakil pelajar, membacakan perutusan KPPM, YB Menteri Pelajaran dan ucapan Pengetua
Para pelajar tekun mendengar amanat dan ucapan
Ikrar Guru, nyanyian "Guru Malaysia" , "Guru Cemerlang Negara Terbilang" dan potong Kek Hari Guru
Sukaneka
Penyampaian hadiah dan Jamuan
Banyak lagi gambar-gambar yang menarik yang tidak dimuatkan di sini seperti persembahan pelajar, persembahan guru dan acara pemilihan guru popular mengikut kategori yang ditetapkan.

Semoga kenangan Hari Guru SMK Jabi kekal dalam ingatan.

18 Mei, 2008

SAJAK "GURU O' GURU"

BERBURU ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepalang ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa

Dailah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini sesiapa sahaja menjadi dewasa
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis baca

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di ibu kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dialah guru mewakili seribu buku
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan didulangi ilmu
Panggilan keramat 'cikgu' kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979

17 Mei, 2008

BERBURU KE PADANG DATAR

Berburu ke padang datar
dapat rusa belang kaki
berguru kepalang ajar
ibarat bunga kembang tak jadi

16 Mei, 2008

SELAMAT HARI GURU (16 MEI 2008)

Selamat Hari Guru kepada semua warga Pendidik. Semoga jasa bakti sentiasa mendapat rahmat daripada Yang Maha Esa

14 Mei, 2008

HARI GURU

Hari Guru disambut setiap 16 Mei setiap tahun sebagai penghargaan kepada para guru yang mendidik dan membina anak bangsa. Tarikh ini dipilih sebagai Hari Guru kerana pada haribulan yang sama pada tahun 1956 Majlis Undang-undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Counsil) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai dasar pelajaran bagi negara Malaysia.

Dokumen tersebut yang dikenali sebagai Laporan Razak telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak itu.

BERTEMU KEMBALI

Lama tidak mengemaskini blog. Walau bagaimanapun, saya tetap memerhati perkembangan semasa. Dunia pendidikan kini semakin rencam, segalanya perlu dilakukan oleh guru. Dari seorang tukang sapu sampah dalam kelas hinggalah kepada mengurus kewangan, pentadbiran dan kemanusiaan. Sesuatu perlu dilakukan agar bebanan guru dapat dikurangkan. Masalahnya siapa yang perlu bertindak? Guru, kesatuan, ketua jabatan, menteri atau PM sendiri.