30 Disember, 2009

Ada Yang Kena Potong Jari..............

Pelik tak tajuk ini....... Pelik......... Tapi itulah yang akan terjadi.

Bukan saya minta, tapi mereka yang sudi berjanji.

Hujung Oktober 2009, borang pertukaran antara daerah dihebahkan oleh kerani sekolah. Saya antara yang mengambil dan mengisi borang tersebut.

"Kubang Pasu, Kedah.................... Kalau hang dapat pindah, aku potong jari.........."

Memang diakui, Kubang Pasu antara daerah yang sukar menerima penempatan guru masuk. Manakah tidak.......Di sini berhimpun segala mak nenek pusat pengajian, sebutlah apa sahaja institusi dari universiti sampai ke pusat latihan dan kem tentera darat dan udara. Jadi suami atau isteri mereka ramai yang bertugas di daerah ini.

Hari ini saya dapat memo pertukaran dari Kota Setar ke Kubang Pasu...........

Padan muka kau.... Potonglah jari sendiri. Saya tak sanggup melihat jari kawan kudung...............


12 Disember, 2009

Muke masuk paper

Selepas tamat Kursus Organisasi Pembelajaran di INTAN Bukit Kiara, KL pada 10 Disember 2009, saya pulang ke kampung. Tak elok rasanya terus pulang ke Jitra, Kedah tanpa menziarahi kedua orang tua di Kampung Sungai Manik, Teluk Intan, Perak.

Pagi Jumaat, 11 Disember, selepas sampai dan meletakkan beg, rasa damai berada di halaman rumah bersendirian. Entah bagaimana, saya terdengar bunyi telefon emak banyak kali berdering. Tanpa berlengah saya masuk dan terdengar suara, "Nek, rumah terbakarrrrrrrr...."

Saya berlari keluar semula dan terus melompat ke arah motosikal rakan yang memang menunggu saya, mungkin dia hendak maklum kepada kami.

Sepanjang jalan, saya melihat asap berkepul-kepul naik ke udara. Bila sampai kelihatan ramai penduduk kampung yang bertungkus-lumus memadam api di anjung rumah abang.

Di tepi laman rumah, Hadi anak saudara mengerang kesakitan. Kelihatan kakinya melecur dan kulit mula mengelembung.

Saya cepung Hadi dan menuju ke arah jalan. Tapi jalan telah penuh dengan motosikal dan kereta Bomba yang mulai sampai.

Kebetulan rakan saya tadi masih di atas motosikal dan saya mengajaknya ke klinik berdekatan.

Dengan menaiki motosikal kami menuju ke Klinik Desa Simpang Tiga Sungai Manik. Malangnya bila sampai, kelihatan mangga besar di pintu klinik itu. Saya menuju ke Kuaters di belakang tapi hampa.

Saya berlari ke jalan raya. Tanpa diminta, tiga buah kereta berhenti bila melihat saya mendukung budak kecil yang meraung kesakitan.

Pemandu kereta yang di hadapan terus keluar dan membuka pintu.

"Bang, kita ke hospital sekarang juga..." katanya.

Anak muda itu memecut laju tanpa bersuara lagi.

Bila sampai di Wad Kecemasan, saya dukung Hadi dan meletakkan di atas troli yang telah sedia. Selepas selesai urusan di situ, saya keluar untuk mengucapkan terima kasih kepada anak muda itu, tetapi dia telah tiada

Bila ditanya petugas di kaunter, mereka maklum anak muda itu terus bergerak keluar kawasan selepas saya menuju ke dalam wad.

Siapakah anak muda itu? Saya sendiri tak mengenalinya, walau bagaimanapun, siapa dia dan di mana dia tinggal, terima kasih yang tidak terhingga.

02 Disember, 2009

Mahu Tapi ............

Si Sulung beraksi memancing


Pagi tadi sibuk bawa anak sulung ke SK Jitra III untuk ujian kemasukan ke SMKA. Entahlah, berjaya atau tidak dia, saya tak pasti, tapi dari tutur katanya agak meyakinkan juga, walaupun kemahiran bahasa Arabnya agak lemah.

Keputusan UPSR yang memberangsangkan membolehkan beliau memohon semua peluang belajar di sekolah berasrama, walaupun hati kecil saya kurang yakin melepaskannya berdikari di asrama. Maklumlah, anak sulung, beliau akan menjadi contoh kepada adik-adik yang lain.

Walaupun beliau mendapat 5A, saya sendiri tak pasti tahap pencapaian beliau, sama ada 5A cemerlang, sederhana atau cukup makan. Yang pasti, dia banyak dibantu dengan tuisyen dan sokongan mak dan ayahnya sendiri.

Terima kasih juga kepada guru-guru SK Jitra II yang banyak membantu beliau. Daripada pelajar yang berpencapaian sederhana, akhirnya berjaya juga menunjukkan kebolehan menguasai pelajaran.

Moga dia akan terus berjaya dalam pelajaran.