28 Februari, 2009

Cerita Lawak (Loghat Kuala Nerang)

Pada suatu hari, dua orang 'Mat Saleh' dalam perjalanan menuju ke Tasik Pedu, Kuala Nerang. Setelah mengayuh basikal selama 3 jam, mereka terjumpa seorang tua yang sedang mencangkul tanah di tepi jalan raya.

Salah seorang 'Mat Saleh' itu bertanya kepada orang tua itu, "Sir, how far is Pedu Lake from here."

Orang tua itu tergaru-garu kepala lalu menjawab dalam loghat Kuala Nerang, "Tak tuo, dey."

'Mat Saleh' itupun memandang rakannya dan berkata, "Oh my god, two days."

Kedua-dua Mat Saleh itupun berpatah balik menuju ke hotel penginapan mereka di Bandaraya Alor Setar tanpa mengetahui Tasik Pedu hanya 50 meter dari tempat mereka bertanya orang tua itu.

26 Februari, 2009

Menara Condong Teluk Intan


Setiap kali pulang ke kampung, saya tidak akan lupa membawa anak-anak melihat dan mengunjungi Menara Condong Teluk Intan. Inilah satu-satunya menara condong yang ada di Malaysia dan yang kedua di dunia selepas Menara Pisa di Itali.

Terletak di suatu sudut Jalan Selat bersebelahan Jalan Pasar, kedudukannya di tengah bandar menjadikannya mercu tanda sejarah yang tidak terlepas dari pandangan pengunjung.

Dibina pada tahun 1885 dan dikenali sebagai Jam Tinggi kerana memiliki sebuah jam yang masih berperanan hingga ke hari ini.

Bangunan ini dibina oleh seorang yang bernama Choong Cheong atau Ah Cheong yang mendapat inspirasi bangunan pagoda di negeri China.

Tujuan asal pembinaannya ialah bagi menempatkan sebuah tangki air. Air daripada tangki ini digunakan oleh penduduk setempat sekiranya berlaku kemarau atau sebagai keperluan memadam api sekiranya berlaku kebakaran. Pada waktu itu bandar ini tidak mempunyai perkhidmatan bomba.

Pada tahun 1889 dan 1895 banjir besar telah berlaku sehingga menyebabkan bangunan tersebut condong dan menjadikannya lebih unik.

Sewaktu saya masih bersekolah, di sekitar Menara Condong ini dikelilingi deretan bangunan kedai. Walau bagaimanapun, kesemua bangunan itu kini telah tiada dan dibina pula dataran yang rata dan cantik untuk menarik minat pelancong.

Bagi yang berupaya, kita boleh menaiki bangunan ini, walau bagaimanapun kerana tangga Menara ini menegak dan sempit, ramai yang beralah dan membatalkan niat untuk meninjau Pekan Teluk Intan dari atas Menara ini.

23 Februari, 2009

Sikit Lagi Kena Cium......

Macam biasa, tepat jam 2.00, saya akan keluar dari kawasan sekolah. Sepanjang perjalanan di kiri kanan sawah padi yang telah dituai dan ada sesetengahnya api sedang menyala membakar jerami yang mulai kering.

Masuk sahaja jalan Alor Setar ke Jitra, saya memandu dengan selesa kerana tiada yang perlu dikejar, hanya untuk pulang ke rumah berehat.

Tiba di lampu isyarat bersebelahan Masjid Tanjung Pauh, lampu merah masih kelihatan dan bertukar kepada kuning. Saya memandu dengan perlahan kerana tahu selepas ini lampu akan beralih ke hijau dan boleh memecut lagi. Saya toleh ke kanan dan nampak sebuah motosikal dipandu dengan laju, mungkin mengejar masa, lampu isyarat di hadapannya mungkin dari kuning dan sudah bertukar merah.

Secara pantas kaki saya menekan brek dan motosikal itu melepasi di sisi kereta, kalau tidak pasti akan merempuh saya yang sedang memandu. Serentak dengan itu juga, kedengaran bunyi kereta dibrek dengan kuat di belakang dan kelihatan sebuah kereta kancil memotong kereta saya dengan perlahan di sebelah kanan.

Pemandunya menurunkan cermin, mulutnya kumat kamit, mungkin memaki saya dan tengannya mengacukan penumbuk.

Saya menurunkan cermin sebelah kanan dan kedengaran, "Bodoh, lampu hijau brek apa? Biaq pi la mampus Mamat Rempit tu. Padan muka dia".

Selepas itu dia naikkan cermin dan mula memecut. Malangnya dia tersilap, nombor platnya telah saya catat dan akan kucari siapa lelaki itu. Paling mudah di hadapan cerminnya terpampang lago sebuah pusat pengajian di Jitra, mungkin dia juga seorang guru atau bertaraf pensyarah atau staf yang bertugas di sana.

Namun saya tetap berpendirian, tindakan yang dibuat amat tepat sekali. Kalau kereta saya kena rempuh, saya juga yang sengsara. Kena repot polis, kereta kena tahan di balai dan kalau pemandunya mati saya juga yang naik turun mahkamah.

Pemandu kancil tu mungkin sampai di tempat kerjanya akan cerita, "Tadi aku nampak aksiden, Mamat Rempit tu mampus pasal rempuh kereta Wira." Itu mungkin akan diceritakan pemandu yang hebat itu jika berlaku kemalangan.

20 Februari, 2009

Pilu.....sepilunya...

Membaca akhbar hari ini amat menyebakkan dada. Dua peristiwa sekaligus yang berlaku dalam negara kita menunjukkan ada sesuatu yang tak kena dengan sahsiah pelajar masa kini.

Peristiwa pertama berlaku dalam daerah tempat kediaman saya, Kubang Pasu. Pelajar 'bom' kereta guru, itulah tajuknya. Hairan bin ajaib, kenapa sebegini balasan yang diterima seorang guru yang ingin mendisiplinkan pelajarnya? kalau guru tidak dihormati, siapa lagi yang akan membantu ibu bapa mendisiplinkan anak-anak kita?

Peristiwa kedua berlaku di ibu negara, Kuala Lumpur. Paksa guru cium, tajuk yang boleh menyebabkan guru-guru terpaksa mendekati pelajar dengan berhati-hati. Di sekolah saya, pengetua sering memberikan nasihat dalam mesyuarat atau perjumpaan agar guru-guru mengetahui batas dan takat rapatnya hubungan yang boleh dibina antara guru dengan pelajar. "Pelajar sekarang cepat matang berbanding dengan kita dulu", katanya. Kadang-kadang niat baik kita boleh memakan diri dan menjejaskan wibawa sebagai seorang guru.

Menjadi guru pada hari ini bukannya seperti dahulu. Kalau dahulu cakap guru didengar, kini cakap guru dicabar, dulu arahan guru dturut, kini arahan guru dilawan.

Buat pelajar dengarlah nasihat ini, ikut hati, mati, ikut rasa, binasa, ikut mata, meta. Ingatlah, hadir ke sekolah untuk menuntut ilmu, membina sahsiah diri dan mengenal erti kehidupan.

Bagi guru pula, berlaku adil apabila menjalankan tugas, adil buat diri, adil untuk keluarga, adil untuk bangsa dan adil untuk negara, bak kata pepatah ikut hukum memiat daging, sakit di awak, sakitlah di orang.

17 Februari, 2009

Pantun nasihat.......yang nak baca saja


















Anugerah Allah kita jagai
Syukur selalu tidak rugi
Emak dan bapa kita hormati
Jangan sekali meninggi diri

Syukur selalu tidak rugi
Berdoa dan ibadat jangan lupa
Jangan sekali suara meninggi
Jika tidak jadi anak derhaka

Pucuk pauh delima batu
Anak sembilang di tapak tangan
Sungguh jauh beratus batu
Bertanya khabar dilupa jangan

01 Februari, 2009

Akhirnya PDK Pokok Sena yang ..........

Setelah berpindah rumah ke daerah Kubang Pasu, rumah di Pokok Sena dijadikan sebagai Homestay. Memang sesuai perancangan itu, namun kesibukan tugas sebagai guru menyebabkan saya berubah fikiran. Pada awal Disember 2008, PDK Pokok Sena telah menghubungi saya untuk menyewa dan dijadikan sebagai bangunan untuk pemulihan OKU daerah tersebut.

Akhirnya, mulai hari ini, mereka mulai menduduki rumah tersebut. Namun, harapan saya pada satu hari nanti kami sekeluarga akan kembali ke sana. Tambahan lagi, rumah itu berdekatan dengan masjid daerah (lebih kurang 60 meter), mungkin sesuai bila usia semakin meningkat.