27 Oktober, 2008

Skim KWSP VS Skim Pencen

Utusan Malaysia : 26/10/2008

Peluang 43,000 pilih pencen

SEREMBAN 25 Okt. - Seramai 43,000 kakitangan kerajaan yang mengambil opsyen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berkemungkinan diberi peluang sekali lagi untuk membuat pilihan menyertai skim pencen.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman berkata, perkara itu telah dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk dipertimbangkan supaya kakitangan terbabit mendapat kembali nikmat dalam opsyen pencen.

''CUEPACS menyedari nasib 43,000 kakitangan kerajaan yang memilih opsyen KWSP yang tidak mendapat tiga perkara berbanding mereka yang memilih opsyen pencen.

''Tiga perkara itu ialah tiada kad persaraan, tiada kemudahan perubatan selepas bersara dan tiada gratuiti. Mereka kini berhadapan kebimbangan," kata beliau kepada pemberita di sini malam tadi.

Itulah sebahagian daripada petikan akhbar yang amat menarik minat saya. Sebagai salah seorang yang telah memilih Skim KWSP, kini amat terasa nilai simpanan yang ada sebenarnya tidak seberapa.

Ketika memilih skim ini, kami dimaklumkan akan kelebihan mempunyai tabungan yang menjangkau RM300,000.00. Nilai itu pada tahun 90-an amat besar dan banyak benda yang boleh dilakukan.

Kini, RM300,000.00 tidaklah sebanyak mana, hanya harga sebuah rumah banglo dua tingkat dengan keluasan tanah yang terbatas di bandaraya Alor Setar. Kalau inilah nilainya, bagaimana 15 tahun lagi, ketika saya memasuki umur persaraan?

Malah ketika memilih, ramai antara kami yang tidak sedar gratuiti tidak diberi dan kemudahan perubatan ditamatkan sebaik sahaja bersara.

Hanya setelah menyertai NUTP baru saya sedar kesan pilihan yang dilakukan dan sudah terlambat untuk diubah semula.

Sebenarnya, saya tidak risau tentang perbelanjaan selepas persaraan, cuma yang dirisaukan peningkatan harga barang dan kos pengajian anak-anak ketika itu sudah pasti berlipat ganda berbanding sekarang.

Berikut dipaparkan perbandingan antara kedua-dua skim tersebut:

JIKA MEMILIH PENCEN

1. GANJARAN PERKHIDMATAN

7.5% X Jumlah Bulan PErkhidamatan X Gaji Akhir

2. PENCEN BULANAN
1/600 X Jumlah Bulan Perkhidmatan X Gaji Akhir
(Tertakluk kepada pencen maksimum setengah daripada gaji akhir)

3. Faedah Perubatan untuk suami / isteri , anak kurang
upaya, anak bawah 18 tahun atau masih dalam institusi pendidikan dan ibubapa
* Ibubapa hanya semasa pegawai dalam perkhidmatan

4. Pencen Terbitan untuk balu / duda / anak.


JIKA MEMILIH KWSP

1. Caruman KWSP bulanan mengikut kadar untuk majikan (12 %) dan pekerja (11 %)

2. Menerima semua faedah dalam SSM seperti guru lain semasa dalam perkhidmatan

3. Hilang faedah perubatan apabila bersara.

4. Tidak ada bayaran ganjaran pencen bulanan.

5. Terpaksa membayar balik baki pinjaman perumahan sekaligus apabila bersara.

Bila difikirkan, itulah yang memeningkan kepala walaupun tidak pasti umur hayat ini sampai ke tahap itu atau tidak.

21 Oktober, 2008

Isi Borang Pemangkuan Untuk Tingkatan 6

Minggu ini agak kalut sedikit. Peluang yang dibuka oleh Kementerian Pelajaran untuk guru-guru yang pernah mengajar Tingkatan 6 untuk mengisi Borang Pemangkuan Kenaikan Pangkat tidak saya lepaskan begitu sahaja. Terpaksalah saya mencari sijil-sijil dan bukti untuk mengukuhkan permohonan termasuklah surat lantikan sebagai pemeriksa kertas STPM.

Sememangnya saya berminat untuk mengajar Tingkatan 6 kerana telah lama tumpuan diberikan sejak tahun 2002 hingga tahun 2006. Pada tahun 2007, saya mengikuti Kursus Dalam Perkhidmatan selama setahun di Institut Perguruan Darulaman, Jitra dan ketika itulah proses kenaikan pangkat untuk mereka yang mengajar dibuka oleh Kementerian Pelajaran.

Bila penempatan semula dilakukan, saya ditempatkan mengajar di sekolah yang tiada Tingkatan 6 malah saya mengajar subjek utama untuk Tingkatan 2. Bayangkan begitu besar perubahan yang berlaku, walau bagaimanapun, masalah itu dapat diatasi dengan baik dan saya mampu memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada murid-murid saya.

Kini, peluang yang diberikan oleh Kementerian Pelajaran akan saya gunakan untuk mendapat semula peluang mengajar Tingkatan 6. Bukan kenaikan pangkat ke DG48 yang saya ligan kerana dengan tunggu dan lihat sahaja saya akan dapat juga 'time bases' DG48.

Ramai rakan yang menyuruh saya pergi ke JPN Kedah untuk penempatan semula di sekolah yang ada Tingkatan 6, tapi pengalaman disuruh tunggu sahaja surat penempatan sampai di sekolah lama oleh pegawai di sana menjadikan saya malas berurusan dengan mereka yang berasa diri mereka sudah 'besar' walaupun asalnya mereka juga 'cikgu cabuk' seperti saya.

14 Oktober, 2008

Ubat Hati











...................pesanan dari seorang teman

Bila kau memandang
segala-gala dari Tuhanmu
yang Maha mencipta,
yang menimpakan ujian,
yang menjadikan sakit hatimu,
yang membuatkan
keinginanmu terhalang
serta menyusahkan hidupmu,
pasti akan damailah hatimu
kerana masakan Allah
sengaja mentakdirkan segalanya
untuk sesuatu yang sia-sia.

Bukan Allah tidak tahu
derita hidupmu,
retaknya hatimu
tapi mungkin
itulah yang Dia mahukan
kerana Dia tahu
hati yang sebeginilah
selalunya lebih lunak dan mudah
untuk akrab dan dekat denganNya...