24 Mac, 2008

Tatasusila Profesion Perguruan

Tanggungjawab Terhadap Rakan Sejawat dan Profesion Perguruan

Guru hendaklah mengelakkan diri daripada membuat sebarang kenyataan atau ulasan yang boleh mencemarkan nama baik seseorang guru lain di hadapan pelajar atau ibu bapa atau berbuat sesuatu yang boleh menjatuhkan maruah rakan sejawat. Mereka tidak boleh melibatkan diri dengan kegiatan yang boleh menjejaskan kecekapan sebagai guru. Pada masa yang sama, mereka perlu berusaha dengan sepenuh-penuhnya menunaikan tanggungjawab dengan rajin dan bersungguh-sungguh dan mengekalkannya sejajar dengan kemajuan ikhtisas dan sosial. Guru-guru juga perlu sentiasa bersedia membantu rakan sejawat terutamanya mereka yang baharu dalam profesion perguruan. Mereka hendaklah sentiasa mengawasi diri supaya tidak mencemarkan nama baik profesion perguruan. Seseorang guru dikehendaki menjadi ahli sesebuah pertubuhan guru.

22 Mac, 2008

Tatasusila Profesion Perguruan

Tanggungjawab Terhadap Masyarakat dan Negara

Guru hendaklah mengelakkan diri daripada menyebarkan sesuatu ajaran yang boleh merosakkan kepentingan pelajar, masyarakat atau negara ataupun yang bertentangan dengan rukunegara. Mereka dikehendaki memupuk dalam diri setiap pelajar sikap dan nilai yang boleh membantu dan membimbing mereka untuk menjadi warganegara yang taat setia, bertanggungjawab dan berguna, menghormati orang-orang yang lebih tua dan menghormati adanya perbezaan kebudayaan, keturunan dan agama. Guru juga perlu menghormati masyarakat tempat mereka berkhidmat dan memenuhi segala tanggungjawab sebagai seorang warganegara dan sentiasa sanggup mengambil bahagian dalam sebarang kegiatan masyarakat. Mereka hendaklah menggalakkan kerjasama dan persefahaman dengan ibu bapa, institusi pendidikan dengan masyarakat. Guru juga mesti memberi sumbangan cergas untuk meninggikan kehidupan moral, kebudayaan dan kecendekiawanan masyarakat. Mereka mestilah berpegang kepada tingkahlaku yang sopan yang diterima oleh masyarakat dan menjalani kehidupan sehari-hari dengan baik.

Tatasusila Profesion Perguruan

Tanggungjawab Terhadap Ibu Bapa

Guru perlu menghormati tanggungjawab utama ibu bapa terhadap anak-anak mereka. Mereka hendaklah berusaha mewujudkan hubungan mesra dan kerjasama yang erat antara institusi pendidikan dengan rumahtangga. Guru mesti menganggap semua maklumat yang diberikan oleh ibu bapa mengenai keadaan rumahtangga atau mengenai anak mereka sebagai sulit dan tidak membocorkannya kepada sesiapa kecuali kepada mereka yang berhak mengetahuinya. Guru hendaklah memberikan maklumat kepada ibu bapa demi kepentingan anak-anak mereka dan menggunakan maklumat yang diterima dariapada ibu bapa secara teliti dan bijaksana. Mereka hendaklah mengelakkan diri daripada menggunakan atau dipengaruhi oleh kedudukan sosial dan ekonomi ibu bapa pelajar. Guru juga perlu mengelakkan diri daripada mengeluarkan kata-kata atau melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan kepercayaan pelajar terhadap ibu bapa atau penjaga mereka.

21 Mac, 2008

Tatasusila Profesion Perguruan

Tanggung jawab Terhadap Pelajar

Guru perlu mengutamakan kebajikan dan keselamatan pelajar daripada hal-hal lain. Mereka juga hendaklah bersikap adil terhadap setiap orang pelajar tanpa mengira faktor-faktor jasmani, mental, emosi, politik, ekonomi, sosial, keturunan dan agama. Pada masa yang sama, guru handaklah merahsiakan maklumat ikhtisas atau sulit mengenai pelajar kecuali kepada mereka yang berhak mengetahuinya. Guru wajib membimbing atau mengajar seseorang pelajar dalam darjah sendiri atau dalam mata pelajaran-mata pelajaran yang diajar di bilik darjah tanpa mengenakan sebarang bayaran. Guru hendaklah menunjukkan sesuatu cara pakaian, pertuturan atau tingkahlaku yang dapat memberikan contoh yang baik kepada pelajar. Mereka juga perlu memelihara dan memperbaiki kecekapan ikhtisas melalui pengkajian, penyelidikan, lawatan dan menghadiri kursus ikhtisas, persidangan atau seminar supaya pengajaran mencapai mutu yang setinggi-tingginya.

20 Mac, 2008

Falsafah Pendidikan Negara

"Pendidikan di malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara."

Intergriti Perguruan

Kerbau dipegang pada tali, manusia dipegang pada janji. Setelah kita menjadi seorang guru, patuhilah tanggungjawab dengan hati yang luhur dan padu. Guru bertanggungjawab menyebarkan ilmu pengetahuan di sesebuah institusi pendidikan peringkat rendah, menengah dan tinggi, termasuklah guru terlatih yang bertugas dalam pentadbiran, organisasi dan penyeliaan pendidikan.

Balai Nobat

Balai Nobat, Alor Star dibina pada tahun 1907 semasa pemerintahan Sultan Abdul Hamid Halim Syah. Kini, Balai Nobat dijadikan tempat untuk menyimpan alat-alat kebesaran diraja. Muzik alat-alat nobat hanya dimainkan semasa upacara tertentu sahaja seperti hari pertabalan, perkahwinan dan persemadian diraja. Alat muzik nobat yang terdiri daripada tiga rebana besar, dua rebana kecil, satu gong dan satu serunai mampu menghasilkan satu gabungan bunyi yang mengasyikkan yang dikenali sebagai Muzik Nobat.