27 Oktober, 2008

Skim KWSP VS Skim Pencen

Utusan Malaysia : 26/10/2008

Peluang 43,000 pilih pencen

SEREMBAN 25 Okt. - Seramai 43,000 kakitangan kerajaan yang mengambil opsyen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berkemungkinan diberi peluang sekali lagi untuk membuat pilihan menyertai skim pencen.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman berkata, perkara itu telah dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk dipertimbangkan supaya kakitangan terbabit mendapat kembali nikmat dalam opsyen pencen.

''CUEPACS menyedari nasib 43,000 kakitangan kerajaan yang memilih opsyen KWSP yang tidak mendapat tiga perkara berbanding mereka yang memilih opsyen pencen.

''Tiga perkara itu ialah tiada kad persaraan, tiada kemudahan perubatan selepas bersara dan tiada gratuiti. Mereka kini berhadapan kebimbangan," kata beliau kepada pemberita di sini malam tadi.

Itulah sebahagian daripada petikan akhbar yang amat menarik minat saya. Sebagai salah seorang yang telah memilih Skim KWSP, kini amat terasa nilai simpanan yang ada sebenarnya tidak seberapa.

Ketika memilih skim ini, kami dimaklumkan akan kelebihan mempunyai tabungan yang menjangkau RM300,000.00. Nilai itu pada tahun 90-an amat besar dan banyak benda yang boleh dilakukan.

Kini, RM300,000.00 tidaklah sebanyak mana, hanya harga sebuah rumah banglo dua tingkat dengan keluasan tanah yang terbatas di bandaraya Alor Setar. Kalau inilah nilainya, bagaimana 15 tahun lagi, ketika saya memasuki umur persaraan?

Malah ketika memilih, ramai antara kami yang tidak sedar gratuiti tidak diberi dan kemudahan perubatan ditamatkan sebaik sahaja bersara.

Hanya setelah menyertai NUTP baru saya sedar kesan pilihan yang dilakukan dan sudah terlambat untuk diubah semula.

Sebenarnya, saya tidak risau tentang perbelanjaan selepas persaraan, cuma yang dirisaukan peningkatan harga barang dan kos pengajian anak-anak ketika itu sudah pasti berlipat ganda berbanding sekarang.

Berikut dipaparkan perbandingan antara kedua-dua skim tersebut:

JIKA MEMILIH PENCEN

1. GANJARAN PERKHIDMATAN

7.5% X Jumlah Bulan PErkhidamatan X Gaji Akhir

2. PENCEN BULANAN
1/600 X Jumlah Bulan Perkhidmatan X Gaji Akhir
(Tertakluk kepada pencen maksimum setengah daripada gaji akhir)

3. Faedah Perubatan untuk suami / isteri , anak kurang
upaya, anak bawah 18 tahun atau masih dalam institusi pendidikan dan ibubapa
* Ibubapa hanya semasa pegawai dalam perkhidmatan

4. Pencen Terbitan untuk balu / duda / anak.


JIKA MEMILIH KWSP

1. Caruman KWSP bulanan mengikut kadar untuk majikan (12 %) dan pekerja (11 %)

2. Menerima semua faedah dalam SSM seperti guru lain semasa dalam perkhidmatan

3. Hilang faedah perubatan apabila bersara.

4. Tidak ada bayaran ganjaran pencen bulanan.

5. Terpaksa membayar balik baki pinjaman perumahan sekaligus apabila bersara.

Bila difikirkan, itulah yang memeningkan kepala walaupun tidak pasti umur hayat ini sampai ke tahap itu atau tidak.

21 Oktober, 2008

Isi Borang Pemangkuan Untuk Tingkatan 6

Minggu ini agak kalut sedikit. Peluang yang dibuka oleh Kementerian Pelajaran untuk guru-guru yang pernah mengajar Tingkatan 6 untuk mengisi Borang Pemangkuan Kenaikan Pangkat tidak saya lepaskan begitu sahaja. Terpaksalah saya mencari sijil-sijil dan bukti untuk mengukuhkan permohonan termasuklah surat lantikan sebagai pemeriksa kertas STPM.

Sememangnya saya berminat untuk mengajar Tingkatan 6 kerana telah lama tumpuan diberikan sejak tahun 2002 hingga tahun 2006. Pada tahun 2007, saya mengikuti Kursus Dalam Perkhidmatan selama setahun di Institut Perguruan Darulaman, Jitra dan ketika itulah proses kenaikan pangkat untuk mereka yang mengajar dibuka oleh Kementerian Pelajaran.

Bila penempatan semula dilakukan, saya ditempatkan mengajar di sekolah yang tiada Tingkatan 6 malah saya mengajar subjek utama untuk Tingkatan 2. Bayangkan begitu besar perubahan yang berlaku, walau bagaimanapun, masalah itu dapat diatasi dengan baik dan saya mampu memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada murid-murid saya.

Kini, peluang yang diberikan oleh Kementerian Pelajaran akan saya gunakan untuk mendapat semula peluang mengajar Tingkatan 6. Bukan kenaikan pangkat ke DG48 yang saya ligan kerana dengan tunggu dan lihat sahaja saya akan dapat juga 'time bases' DG48.

Ramai rakan yang menyuruh saya pergi ke JPN Kedah untuk penempatan semula di sekolah yang ada Tingkatan 6, tapi pengalaman disuruh tunggu sahaja surat penempatan sampai di sekolah lama oleh pegawai di sana menjadikan saya malas berurusan dengan mereka yang berasa diri mereka sudah 'besar' walaupun asalnya mereka juga 'cikgu cabuk' seperti saya.

14 Oktober, 2008

Ubat Hati











...................pesanan dari seorang teman

Bila kau memandang
segala-gala dari Tuhanmu
yang Maha mencipta,
yang menimpakan ujian,
yang menjadikan sakit hatimu,
yang membuatkan
keinginanmu terhalang
serta menyusahkan hidupmu,
pasti akan damailah hatimu
kerana masakan Allah
sengaja mentakdirkan segalanya
untuk sesuatu yang sia-sia.

Bukan Allah tidak tahu
derita hidupmu,
retaknya hatimu
tapi mungkin
itulah yang Dia mahukan
kerana Dia tahu
hati yang sebeginilah
selalunya lebih lunak dan mudah
untuk akrab dan dekat denganNya...

19 September, 2008

SMK SERI PERAK, TELUK INTAN

Di sinilah dunia persekolahan peringkat menengah saya berlangsung. Bermula pada tahun 1982 dan berakhir tahun 1989, iaitu dari Tingkatan 1 hingga ke Tingkatan 6 sebelum saya menyambung pelajaran ke Universiti Pertanian Malaysia dalam bidang pendidikan. Seri Perak banyak meninggalkan kenangan suka duka dan pengalaman.

Untuk posting kali ini, saya hanya menceritakan dua orang guru yang paling saya kagumi, iaitu Cikgu Hashim dan Cikgu Abdullah Meera.

Kedua-dua orang guru ini adalah guru disiplin dan amat tegas. Tanyalah rakan-rakan dan mereka yang pernah menjadi anak murid mereka, pasti tidak akan lupa kenangan "makan" roti panjang dan tapak tangan.

Memang kedua-dua oarang guru ini amat tegas dan garang. Bayangkan, kalau mereka melalui Blok Tingkatan 5, sepanjang laluan itu kosong, tiada pelajar yang berani bersemuka dan bertembung dengan mereka tambahan lagi kalau ada kesalahan yang dilakukan. Malah kami ketika itu lebih suka bertemu dengan PK HEM daripada mengadap mereka.

Pengalaman saya ditegur oleh Cikgu Hashim kerana tidak memakai lencana sekolah sudah cukup memeritkan. Soal jawab dan pertanyaan beliau dengan nada suara yang tegas sudah cukup membuat saya kecut perut dan tidak berani berhadapan dengan beliau lagi.

Walau bagaimanapun, itu di luar waktu p & p. Semasa p & p, mereka mengajar dengan penuh dedikasi dan cemerlang. Cikgu Hashim mengajar Geografi sewaktu berada dalam Tingkatan 4 dan 5 sementara Cikgu Abdullah Meera mengajar Matematik Moden .

Semasa mengajar Geografi, Cikgu Hashim akan memastikan kami dapat melakar peta Malaysia dengan baik. Sampai hari ini, saya masih ingat, Semenanjung Malaysia beliau gelar "jantung pisang". Jika ada antara kami yang tidak dapat melakar "jantung pisang", beliau akan panggil ke hadapan dan minta kami melakar di papan hitam.

Sewaktu mengajar, beliau menggunakan "body language" yang menarik seperti seorang penari. Tutur kata beliau amat jelas dan selari dengan pergerakan tubuh yang dilakukan. Ini menjadikan tumpuan kami kepada beliau sewaktu mengajar tidak berganjak kerana ada daya tarikan lain yang menguasai kami.

Berbeza pula Cikgu Abdullah Meera. Bagi memastikan kami mendapat sekurang-kurangnya kredit 6 dalam SPM, kami dipaksa membuat latihan 5 soalan Matematik setiap hari tanpa henti. 6 bulan sebelum SPM bermula, semua soalan SPM tahun-tahun lepas telah habis kami jawab dengan skema jawapan dan jalan pengiraan sekali. Beliau akan memeriksa latihan yang kami buat setiap kali masuk kelas dan hukuman keras akan dikenakan jika tidak latihan yang dibuat pada hari-hari tertentu. Hasilnya, kami yang berada dalam kelas 5 Sains 3, semuanya dapat lulus dan cemerlang dalam mata pelajaran ini. Saya sendiri, walaupun lemah dalam mata pelajaran Fizik, Kimia dan biologi, tetapi dapat A1 dalam Matematik Moden dan C6 dalam Matematik Tambahan.

Itulah dua orang guru sekolah menengah yang saya kagumi sampai ke hari ini. Sebenarnya, ramai lagi guru di SMK Seri Perak pada waktu itu yang mengajar dengan cemerlang, antaranya termasuklah Cikgu Rosnani, Cikgu Roslan, Cikgu Inderani, Cikgu Hamidah, Ustaz Aziz dan Cikgu Noraini (sekadar menyebut beberapa nama). Sesungguhnya, ilmu yang mereka berikan dapat membantu saya menjadi seorang guru yang mampu mendepani pelajar masa kini yang lebih banyak kerenah dan cabarannya.

24 Ogos, 2008

Menjadi Guru

Menjadi guru
Seperti memasuki belantara pengap
Yang tebat suara
Di dalamnya terkurung kejab
Khazanah warisan berkurun jagat
Adalah menjadi tugas kita
Menebas hutan di denai beronak
Mencantas pohon di cerun menurun
Di sini
Tempat kita membuka sebuah ladang besar
Yang luas saujana
Tempat kita menabur benih harapan
Menyemai kejayaan.

Di tengah ladang besar ini
Mengalir sungai waktu menunda bakti
Tempat kita, para pendidik bangsa
Menghanyutkan mimpi kita ke muara
Mengharap anak didik kita
Jadi cendekiawan bangsa bertaraf dunia
Mengharap generasi muda kita
Jadi insan mulia menabur jasa
Mengharap anak miskin dari desa dan kampung
Bisa memindah teknologi dari Jepun
Mengharap anak-anak Malaysia
Bisa mencanang slogan keramat
Ke seantero dunia penuh semangat
Mengharap anak-anak sekolah
Jadi penerus cerita pelanjut sejarah.

Seorang guru bukan lagi
Sebatang lilin membakar diri
Tapi suluh keramat sepanjang usia
Memancar makrifat
Bertunda abad
Menyinar ilmu kalam
Sepanjang zaman
Sekali guru
Gurulah kita sepanjang usia
Sekali berbakti;
Selamanya abadi

Dungun, Ogos 2008
Nukilan: Awang Abdullah


Sajak ini dipetik daripada
Buku Upacara Perasmian Perwakilan NUTP Ke-18
di Copthorne Orchid Hotel, Tanjung Bungah, P. Pinang