14 Jun, 2008

MEMANCING BELUT

Sepanjang zaman kanak-kanak di Kampung Sungai Manik, kenangan yang paling menyeronokkan ialah ketika memancing belut. Pada masa itu (awal tahun 1980-an) harga belut cukup mahal bagi kami. Bayangkan sekati belut berharga RM0.80. Dua ekor belut besar sudah sekati. Jadi setiap kali memancing, kami memperoleh lebih kurang RM10.00 - RM20.00 seorang.

Biasanya kami memancing belut berkumpulan. Jika berlaku sesuatu ada kawan yang boleh ambil tahu keadaan kita. Tambahan lagi, memancing belut juga agak berbahaya, mungkin lubang yang dipancing lubang ular tanah atau batas bendang yang dilalui tempat ular tedung bersarang. Keselamatan lebih terjamin jika memancing berkumpulan.

Panjang batang pancing lebih kurang sejengkal, tali tangsi sekaki dan mata kail yang digunakan bersais kecil, biasanya mata kail untuk ikan puyu. Umpan katak atau anak ikan boleh didapati di tepi batas bendang dan kebetulan pada masa itu katak kecil dan anak ikan sangat mudah diperolehi.

Lubang belut terletak di tepi batas bendang. Bila dikais sedikit jumpalah lubang yang separas dengan gigi air. Lubang kedua terletak dalam air biasanya satu kaki dari batas bendang. Lubang ini digunakan oleh belut untuk keluar mencari makan waktu malam atau lari jika terancam.

Pabcing akan diunjun dan dimainkan di atas air dalam lubang belut hingga air berkocak. Biasanya tak lama dua atau tiga minit pancing akan dipatuk.

Lepas itu, bermulalah aksi main tarik tali pancing. Sekiranya belut melawan, tali akan dilepaskan sedikit dan jika tidak terus saja tarik sehingga belut terkeluar dari lubangnya.

Belut dikapit dengan satu atau dua jari, biasanya jari hantu dan jari tunjuk. Dengan cara ini tidaklah licin memegangnya. Kadang kala belut akan melilit tangan masa membuka pancing tapi, sebaik sahaja pancing ditanggalkan, belut akan dimasukkan dalam beg plastik yang tebal.

Walaupun seronok memancing, kami sentiasa berhati-hati. Darah belut tidak boleh kering di badan kita, jika berlaku ketuat akan tumbuh. malah ada antara kami yang cukup pantang pancingnya dilangkah atau dipegang oleh orang lain.

Memandangkan aktiviti memancing belut ini merosakkan batas bendang, ada tuan tanah yang akan memarahi kami jika memancing di batas mereka. Malah pernah sekali kami diligan dengan parang panjang kerana tuan tanah marah batas bendang rosak dipijak beramai-ramai atau semasa mencari lubang belut.

Walau bagaimanapun, itu semua hanya kenangan kini. Sekarang, saya tidak pernah lagi mendengar aktiviti memancing belut dalam kalangan kanak-kanak di kampung. Buat Umpuk, Unil, Baha, Utuh, Urek, Jaki, Jamal, Halim dan Capang semoga semuanya gembira dan bahagia selalu walaupun, jarang kita dapat berjumpa.

Tiada ulasan: