07 Jun, 2008

Garang Tapi Berjasa

Sepanjang 6 tahun belajar di SK Permatang, tiga orang cikgu yang sentiasa namanya terpahat dalam ingatan. Pertama Cikgu Kamarudin Mahidin, kedua cikgu Zaiton dan ketiga Ustaz Mohidin.

Ketiga-tiga guru ini garang dan sentiasa ada hukuman jika melakukan kesilapan. Namun kerana tindakan mereka itulah nama mereka terpahat dalam ingatan dan setiap kali terluang doa dipanjangkan untuk mereka.

Cikgu Kamarudin Mahidin pernah menghukum kami sekelas sewaktu darjah 4 kerana tidak hafal sifir 12. Kami dirotan di betis sehingga ada yang luka kerana rotan tersebut telah pecah. Walaupun garang tapi beliau membeli pembalut luka untuk beberapa orang rakan sekelas termasuk saya. Yang menghairankan tidak ada seorangpun daripada kami yang mengadu kepada ibu bapa. Malah saya sendiri bila ditanya emak kenapa kaki luka, jawapan saya terjatuh ketika main karate.

Cikgu Zaiton agak berbeza sedikit. Jika kami melakukan kesalahan terutama dalam penulisan, kesilapan itu akan diconteng pada pipi kami dengan dakwat merah. Beliau tidak pernah pilih kasih, malah anak cikgu SK Permatang yang sekelas dengan kami, bernama Iqbal juga tidak terkecuali. Akibatnya kami sentiasa berhati-hati dan menjaga setiap buku yang akan diperiksa beliau serta menulis dengan cermat, takut melakukan kesilapan.

Sewaktu belajar di SK Permatang, kami sembahyang Jumaat di Masjid bersebelahan sekolah. Setiap kali sembahyang pengawas akan bertugas mengawal kami dan jika bising nama akan diserahkan kepada Ustaz Mohidin. Boleh dikatakan setiap kali perhimpunan pagi pada hari Isnin, sentiasa ada pelajar yang dirotan kerana main atau buat bising waktu sembahyang. Hasilnya, selepas beberapa minggu tiada lagi yang berani dan tindakan Ustaz Mohidin ini bagi saya kini amat sesuai dilaksanakan. Kalau kita perhatikan kini, boleh dikatakan hampir setiap masjid menghadapi masalah kanak-kanak bising dan bermain ketika khutbah Jumaat.

Itulah tiga orang guru yang namanya masih terpahat dalam ingatan. Walaupun berbeza pendekatan, kini setelah dewasa barulah saya mengerti tanpa mereka mungkin saya tidak seperti sekarang, berjaya belajar sehingga ke Menara Gading.

Kini giliran saya pula mendidik anak bangsa. Mungkin pendekatan yang diamalkan oleh tiga orang guru yang disebut tadi tidak sesuai lagi sekarang tapi matlamat tetap sama, mahu anak murid berjaya dan kalau boleh lebih pandai daripada mereka.

Kepada guru-guru lain yang namanya tidak disebut di sini, saya mohon maaf. Mungkin kerana tiada kenangan yang menyebabkan nama cikgu tidak lekat dalam ingatan. Tapi buat Cikgu Salam, Cikgu Kamarudin Manan, Cikgu Razak, Cikgu Kulwinder kaur serta guru-guru yang pernah mengajar di SK Permatang antara tahun 1976 - 1981 saya ucapkan 'terima kasih cikgu'.
Jasa cikgu tidak akan saya lupakan.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Untuk pengetahuan penulis,

Cikgu Kamarudin dan Cikgu Zaiton telah pencen dan ada di daerah Hilir Perak, sekitar bandar Teluk Intan. Ustaz Mohidin telah lama kembali ke Rahmatullah, penghujung tahun 80-an.

iNsOmNiAc berkata...

hi, i'm the daughter of cikgu kamarudin mahidin, he asked me to send his warmest regards to you...