06 Julai, 2008

Umur Bersara 58 tahun. Mampukah saya?

Borang Opsyen Persaraan telah ditandatangani. Walaupun ada pilihan, tetapi pilihan yang diberi seperti perangkap. Memandangkan saya dilantik selepas 12 April 1991, maknanya, jika saya menerima tawaran bersara wajib pada umur 58 tahun dan kemudian memilih untuk bersara awal, saya perlu menunggu sehingga berusia 58 tahun untuk mula menerima pencen. Memandangkan ramai rakan yang memilih untuk bersara pada usia 58 tahun, saya pun ikut sama.

Benar kata mereka. Kita tidak tahu apa nak jadi 15 tahun lagi. Mungkin selepas ini akan ada lagi opsyen persaraan sehingga umur 60 tahun dan perangkap kedua akan dipasang. Mereka yang tidak bersetuju bersara pada umur 58 tahun, tidak dibenarkan untuk memilih melanjutkan perkhidmatan. Apa nak dikata? Segalanya berkemungkinan untuk terjadi.

Yang saya musykil ialah mampukah saya berkhidmat sehingga berumur 58 tahun sebagai guru biasa. Ketika ini peluang kenaikan pangkat dalam kalangan guru amat terhad dan paling ramai guru akan bersara sebagai prebet cabuk. Masuk sebagai prebet keluar sebagai prebet.

Jarak antara kelas kini sudah terasa jauh. Untuk berjalan daripada Blok A ke Blok B sudah terasa penat. Bagaimana nanti untuk naik ke tingkat 3 bangunan mengajar kelas Tingkatan 5 dan turun ke tingkat 1 bangunan untuk mengajar kelas Tingkatan 2 dan turun ke kantin untuk makan tengah hari.

Pada usia 50 tahun, sendi-sendi mulai lemah dan kepenatan akan mula terasa bila berjalan agak jauh dan menaiki bangunan. Cuba beritahu saya, sekolah mana yang ada lif untuk pergerakan antara tingkat? Sampai kiamat pun tiada kerana bangunan sekolah hanya setakat 4 tingkat dan keperluan lif pasti tidak diluluskan.

Saya bercakap sebagai guru biasa. Jika dilantik sebagai pentadbir di sekolah, PPD, Jabatan atau Kementerian lain cerita. Rutin pergerakan dalam sehari mungkin tidak sekerap guru di sekolah yang perlu melakukan segala-galanya. Pernah seorang rakan senoir memberitahu, tugas guru bermula dari tukang sapu sampah dalam kelas, kerani kewangan mengutip yuran persekolahan dan PIBG, kerani pentadbiran mengambil kedatangan pelajar dan memasukkan data pelajar dalam buku rekod kemasukan pelajar dan buku kedatangan pelajar, jurulatih sukan bolasepak dan segala mak nenek permainan dan macam-macam lagi.

Segala tugas tadi perlukan pergerakan yang bukan sedikit malah cukup memenatkan. Kini saya bertanya dalam diri, mampukah saya melakukannya sehingga berumur 58?

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Cikgu muda lagi. Baru umur 30-an. Bagaimana dengan rakan-rakan lain yang telah berusia lebih 50 tahun. Larat ke mereka panjat tangga? Kesihan!!!!!!!!!!!!!!

Tanpa Nama berkata...

Testing 123, testing 123, check mate king 2 message over. Over and out.Aku saja ajer sibuk-sibuk baca. Min, hang kat mana la ni.

GURU_CIKGU berkata...

Nak tahu saya di mana? Baca posting bulan Mei.......