01 Julai, 2008

KSPK TMK 2007

Sepanjang tahun 2007, saya telah mengikuti kursus sepenuh masa di Institut Perguruan Darulaman, Jitra. Kursus Sijil Perguruan Khas (KSPK) dalam bidang Teknologi Maklumat. Di sana, saya telah bertemu dengan rakan-rakan baru yang bukan sahaja berlainan negeri, tetapi juga mempunyai minat dan kebolehan yang berbeza.

Sebahagian Peserta Kursus KSPK 2007 bersama pensyarah
sewaktu Projek Khas di Pulau Redang

Bilangan peserta KSPK TMK tahun 2007 tidak ramai, hanya 12 orang sahaja. Jadi, kami boleh mengenali antara satu sama lain dengan lebih rapat. Tidak wujud masalah komunikasi kerana dalam kumpulan kami ada "orang tua" yang akan menegur atau memberi nasihat sekiranya berlaku sesuatu yang tidak elok pada pandangan beliau. Kebiasannya nasihat dan pandangan Cikgu Hasbullah kami terima dengan terbuka.

Paling memeranjatkan seorang daripada kami telah mempunyai Master dalam Pendidikan. Kami bagi gelaran Tok Wali untuk beliau. Pada peringkat awal tiada sesiapa antara kami yang mengetahui tapi lama-kelamaan rahsianya terdedah juga. Kini, beliau menjadi pensyarah di MPSAH, Sungai Petani.

Antara kami, Cikgu Nizam dan Cikgu Zul yang paling teror tentang komputer. Kalau ingin kemahiran dan pengetahuan tentang Photoshop, Flash, 3D dan Dreameaver, merekalah yang menjadi rujukan kami.

Subjek Matematik menjadi "kacang" kepada Cikgu Che Nah, Cikgu Sabastian dan Cikgu Mat. Memandangkan di sekolah mereka mengajar Matematik dan Ijazah merekapun berkaitan dengan Matematik, jadi tiada masalah kepada mereka untuk memahami pengajaran pensyarah. Untungnya, mereka tidak pernah kedekut ilmu dan sering mengadakan "kelas tambahan" kepada kami.

Java, subjek yang memeningkan kepala. Rasanya Cikgu Che Nah seorang yang mampu memahami pengajaran pensyarah memandangkan beliau mempunyai kelulusan dalam bidang kejuruteraan. Aspek logik akal dan aplikasi mampu beliau kuasai. Yang lain boleh kata melopong dan buat-buat reti.

Rakan-rakan lain, Cikgu Suzaini, Cikgu Balkhis dan Cikgu Azizan lebih kurang seperti saya. Kemahiran komputer kami tidaklah sehebat Cikgu Zul dan Cikgu Nizam, namun projek khas dapat juga kami siapkan. Walau bagaimanapun, rasanya antara kami berempat, sayalah yang paling terkebelakang. Satu-satunya yang saya tahu sebelum berkursus hanyalah Microsoft Word, itupun setakat menaip surat. Kalau nak masukkan data, angka dan rajah, mula garu kepala.

Ketua kumpulan kami, Cikgu Syed Khalid paling baik. kadangkala, kami pun tak tau sama ada kami hadir kuliah atau tidak. Yang pasti, kehadiran tetap penuh. Namun, kalau nak tau, kami sentiasa ada di IPDA, mungkin di perpustakaan, kantin atau lepak di pondok hujung bangunan TMK.

Kepada rakan-rakan KSPK TMK 2007, selamat maju jaya, semoga hubungan persahabatan kekal berterusan.

Salam dari saya, AMIN.

Tiada ulasan: