21 Disember, 2021

HAMPIR DUA BULAN SAYA TERTIPU

 

Ini kisah saya ketika mula-mula menjadi guru. 
 
Saya mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu. Kelas yang saya ajar kebetulan kelas pertengahan, maksud mereka yang mendapat keputusan UPSR peringkat C atau pun D.
 
Setiap hari, setiap kali masuk kelas, saya akan meminta tiga atau empat orang murid membaca bahan daripada buku teks. Memang bacaan mereka agak gagap dan kurang lancar, tetapi masih lagi mengenali dan tahu membunyikan mengikut suku kata, sama ada suku kata terbuka atau tertutup.
 
Saya sendiri menyedari ada seorang murid yang tidak pernah saya uji, tetapi saya berpendapat murid itu tidak mempunyai masalah. dengan pakaian yang bersih, baju yang sentiasa kemas dan mempunyai "sides' yang tajam. Rambutnya sentiasa tersisir rapi dan sentiasa menguntum senyum. 
 
Pernah sekali dia menunjukkan kepada saya gambarnya terakam dalam majalah kereta. 
Gambar beliau dengan ayah ber"posing" pada kereta yang berhias cantik. Beliau memaklumkan kereta itu milik ayahnya dan dia sebagai pengiring dalam pameran tersebut.
 
Kadang kala apabila tiba giliran beliau membaca, saya langkau kerana ingin menguji murid lain yang pada pendapat saya tidak mencapai satu tahap pembacaan yang memuaskan.
 
Sampailah satu hari, ketika dalam perjalanan ke kantin, saya terdengar murid dari kelas yang saya ajar itu bersembang, "Untung sungguh Si Lan tu. Sekali pun Cikgu Amin tak uji dia baca. pada hal, dia lagi teruk daripada kita.".


 
Tersentak saya apabila mendengar perbualan itu. Esok pagi, selepas masuk kelas, saya panggil Si Lan ke hadapan dan meminta dia membaca bahan daripada buku teks. Rupanya apa yang dibualkan murid-murid kelmarin memang benar. Si Lan bukan sahaja tidak lancar membaca, malah apabila tiba pada suku kata tertutup, dia akan berhenti lama dan mengeja untuk membunyikan suku kata itu.
Jadi, betulkan seperti yang disebut orang, "Jangan Menilai Buku Daripada Sampulnya".

Tiada ulasan: