27 Januari, 2009

Benarkah Warga Pendidik Menyokong Pembangkang?

Sejak akhir-akhir ini, persoalan di atas mula lahir dalam pemikiran rakyat Malaysia. Beberapa isu belakangan ini menunjukkan kecondongan warga pendidik menzahirkan sokongan walaupun tidak ketara.

Datuk Ruhanie Ahmad dalam blog Kuda Kepangnya menyebut, 'Bagaimanapun, ada pemerhati dan penganalisis politik mengatakan penentu kepada mana-mana calon dalam PRK Kuala Terengganu bukannya undi kaum Cina. Sebaliknya, kemenangan BN atau PR dalam PRK ini ditentukan oleh undi warga pendidikan', (Kuda Kepang, 12 Januari 2009).

Sebenarnya, beberapa isu yang timbul sejak akhir-akhir ini memang mengguris perasan warga pendidik biarpun sebenarnya ia hanyalah sekulamit isu yang mungkin dipinggirkan di peringkat tertinggi. Kalangan guru berasa kini suara mereka tidak lagi didengari oleh pemimpin biarpun mereka memang ketara penyokong kerajaan (dalam erti kata Barisan Nasional).

Isu PPSMI sering menjadi duri dalam daging kepada warga pendidik. Belum pernah dalam sejarah negara pendapat golongan ini tidak diminta dan diperlukan dalam pelaksanaan sesuatu dasar kerajaan. Benar, golongan guru mendapat nikmat daripada pelaksaan dasar ini tetapi yang sebenarnya menikmati faedah hanyalah segelintir. Boleh dikatakan hampir kesemua kesatuan perguruan menentang PPSMI dan suara rakyat juga condong kepada menentang pelaksanaan diteruskan, tetapi dasar ini masih diteruskan buat masa ini dan keputusan sama ada diteruskan atau tidak masih ditangguh-tangguhkan

Kemasukan PTD ke dalam struktur pentadbiran di PPD dan jabatan pelajaran negeri dianggap sebagai pencerobohan yang tidak dialu-alukan. Selama ini guru yang menjadi pentadbir bermula dari bawah sebagai guru biasa dan bila usia meningkat malah ada yang hampir bersara barulah mereka berada dalam sistem pentadbiran di PPD dan JPN. Alasan mereka kurang cekap agak keterlaluan kerana jika tidak cekap kenapa tidak disediakan kursus khas seperti yang dilalui oleh PTD? Paling ketara sebenarnya bagi sesetengah guru kemasukan ini merebut peluang kenaikan pangkat kepada mereka yang sememangnya terhad.

Kenaikan secara ekspress kepada guru yang mengajar tingkatan 6 seperti yang digembar-gemburkan menjadikan guru berpecah. Bayangkan, dalam satu sekolah ada golongan guru yang boleh naik pangkat ke DG44, DG48 dan DG52 jika mengajar tingkatan 6, sedangkan rakan-rakan yang lain terpaksa menunggu 10 tahun untuk ke DG44 dan 10 tahun lagi ke DG48. Padahal, tekanan mengajar kelas peperiksaan bukan sahaja ditanggung oleh guru yang mengajar kelas STPM, malah paling tertekan adalah guru yang mengajar kelas SPM dan PMR kerana keputusan peperiksaan ini sentiasa dipantau dan diberi perhatian oleh PPD, JPN dan Nazir Sekolah berbanding kelas STPM. Berbeza dengan kanaikan pangkat di IPG, isu ini tidak diungkit oleh ramai guru kerana kumpulan ini berada dalam kelompok mereka sejak awal lagi.

Isu DG2941 yang kerugian gaji pokok berbanding rakan mereka yang tidak sambung belajar dan kekal dalam gred DG2932 masih berterusan hingga kini. Kekecewaan ini juga makin menjejaskan emosi apabila rakan-rakan yang lebih junior menikmati DG3241. Gaji mereka jauh melangkau DG2941. Bayangkan, guru yang lebih senior gajinya jauh lebih rendah dan jauh juga masa menanti untuk menikmati kenaikan gred DG44. Rata-rata kumpulan ini mempunyai pengalaman berbelas-belas tahun sebagai guru berbanding dengan DG2932 dan DG3241. Mereka kecewa kerana gaji yang rendah sedangkan pengalaman dan kelulusan sama malah ada yang lebih lama menjadi guru. Dibandingkan dengan DG41 yang genap perkhidmatan selama 10 tahun sudah menikmati DG44, tetapi mereka (DG2941), pengalaman berbelas-belas tahun tidak dikira, sebaliknya terpaksa menunggu selama 10 tahun lagi dan kini ada sedikit ehsan 3:1 untuk ke DG44.

Isu ini berlarutan lagi bila ada kumpulan DG3441 yang tiga tahun dilantik terus kekal sebagai Guru Besar dan akan naik ke gred DG44. Timbul persoalan, kenapa golongan ini mendapat keistimewaan sedangkan kumpulan lain yang naik ke gred DG41 terpaksa melepaskan jawatan dan ada yang dipindahkan ke sekolah menengah pula?

Masalah beban tugas guru dari dulu hingga sekarang masih belum selesai. Sebutlah apa sahaja mata pelajaran yang ingin diperkenalkan atau apa sahaja pertubuhan atau badan diwujudkan, semuanya dihempuk kepada guru-guru di sekolah. Orang kata tugas pendidik dari tukang sapu sampah dalam kelas sampailah kepada pentadbiran, semuanya guru buat. Itupun ada lagi golongan yang kata, guru tak reti mengurus. Malah, kalau diperhatikan kini, tugas mengajar bukan lagi keutamaan, tetapi tugas perkeranian semakin bertambah untuk guru.

Sebenarnya ada banyak lagi isu yang boleh dicatatkan di sini. Cukuplah apa yang ada dan sekiranya tindakan yang betul dan kena tempatnya, saya yakin kalangan guru lebih selesa dengan suasana dan keadaan sekarang. Walaupun begitu, sekiranya dalam tempoh tiga tahun ini isu di atas tidak ditangani dengan bijaksana, akan ada kalangan guru yang berasa mereka dipinggir dan tidak dipedulikan, dan menzahirkannya dalam pilihanraya akan datang.

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Gambar di atas memang menyayat hati. Inilah gambaran PPSMI.

Y. Ibrahim berkata...

Salam ziarah...,
Rasa tidak puas hati akan menyebabkan seseorang itu akan membangkang, sebagai tanda protes. Tapi ada juga yang memang sikapnya suka membangkang, tak pernah nak berterima kasih pada yang memberi. Itulah lumrah alam, rambut saja sama hitam tapi hati lain-lain. Dalam kelompok gurupun mungkin ada yang begitu.

Lumut Pagi berkata...

Salam cikgu...

Lumrah manusia yang gemar menuding jari ke sana ke mari...sebagai 'lilin' yang menerangi anak bangsanya, harus tegar dan utuh demi melihat 'kami', anak bangsa Malaysia maju dan membangun demi agama dan tanah adat kita semua...amin...

p/s: terima kasih kerana menyinggah di lumut 'kami'...:)

Khai2020 berkata...

Semua guru adalah pengundi dan pembayar cukai. Kenapa guru tidak boleh berpolitik? Guru2 juga sensitif dengan isu2 semasa. Guru bukannya robot yang mengikut saje arahan tanpa usul periksa. Sekurang2nya rintihan guru perlu didengari. Apa guna guna ada banyak guru pakar & cemerlang kalau idea dan pendapat mereka tak dipakai??