15 Jun, 2008

TERINGAT KAWAN SEPERMAINAN

Kadang kala pada waktu berseorangan, kenangan lama mulai menjelma. Entah apa khabar kawan sepermainan kini. Ada antara mereka yang telah putus perhubungan kerana telah berpindah atau bertugas di tempat lain.

Khabarnya Umpu (Rosli Ijom) kini berada di Negeri Sembilan. Setelah kedua orang tuanya meninggal dunia beliau telah menetap di sana. Berita terakhir yang diterima, beliau kini mengidap sakit buah pinggang yang serius serta memerlukan rawatan berkala.

Unil (Suhaimi Deraman) kini menetap di Kuala Lumpur. Memandangkan dialah kawan yang paling awal berkahwin, sekarang telah mempunyai cucu.

Utoh (Dollah Ijom) juga menetap di Kuala Lumpur. Walaupun begitu, beliau sering datang ke kampung berulang alik kerana mengusahakan bendang sendiri.

Capang (Mamat) juga menetap di Kuala Lumpur. Khabarnya bertugas dengan salah sebuah surat khabar harian di sana. Walaupun Mamat kawan yang termuda dalam kumpulan kami, tetapi dia seorang yang peramah dan rajin membantu jika diminta melakukan sesuatu.

Jaki (Zaki) sering kali berulang alik ke kampung. Rumahnya terletak di Ipoh dan dia juga mengusahakan bendang sendiri. Jaki bekerja dengan sebuah kilang membuat paip di Ipoh.

Satu-satunya kawan sepermainan yang menetap di kampung ialah Halim. Dia mengusahakan bendang dan mengambil upah kerja-kerja kampung dan mengait kelapa sawit. Dialah juga satu-satunya rakan sepermainan yang masih belum berkahwin sampai hari ini. Yang hairannya kami sendiri tidak tahu kenapa dan apa punca yang menyebabkan beliau jadi begitu.

Kami bertujuh biasanya berkumpul apabila hujan lebat. Keadaan ini kami fahami sendiri. Bila hujan lebat kami akan mencari burung yang kesejukan.

Setiap seorang daripada kami memang mempunyai sebatang buluh yang panjangnya lebih kurang dua kaki. Buluh ini gunanya untuk menghalau burung yang bersembunyi dalam semak atau menyelam dalam air. Jika burung itu terbang, tujuh batang buluh akan terbang mencari sasaran dan buluh yang kena serta menyebabkan burung jatuh akan memiliki habuan itu.Biasanya burung yang mejadi idaman kami ialah wak-wak, pucung, ayam-ayam, belibis dan sintar.

Setiap kali kami berburu, setiap seorang paling kurang dapat dua ekor. Inilah kehebatan kawan sepermainan. Kami akan memastikan ada habuan untuk dibawa pulang dan dimasak untuk setiap orang. Jadi adalah alasan untuk melepaskan diri dari dimarahi mak ayah kerana bila pulang pasti kami menggigil kesejukan kerana kehujanan sepanjang mencari rezeki yang enak dan menyegarkan itu.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Cerita ni sekitar tahun 80_an. kalau sekarang ada yang berani buat macam ni, pasti jenuh kena kepung dengan PERHILITAN!!!!!!!!!!!!!!!