19 Jun, 2008

KSPK - Kursus Sijil Perguruan Khas

Ramai yang bertanya saya,"Macamana hang boleh buat semua ni? Yang aku tau hang antara member-member kita yang buta komputer?

Sebenarnya saya telah mengikuti Kursus Sijil Perguruan Khas (KSPK) bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi di Institut Perguruan Darulaman, Jitra sepanjang tahun 2007.

Pemergian saya berkursus mungkin tidak disedari oleh rakan-rakan kecuali yang bertugas satu sekolah. Tambahan lagi, saya tidak berpindah rumah dan berulang alik dari rumah ke IPDA. Jadi, bagi mereka saya mungkin masih bertugas di tempat yang sama.

Tapi selepas berkursus, berlaku suatu perkara yang tidak begitu digemari oleh guru dan kadang kala amat ditakuti. Penempatan semula. Saya rasa inilah perkara yang menyebabkan ramai guru tidak mahu menyertai kursus sepenuh masa. Mungkin di pihak yang berkenaan boleh memikirkan agar guru-guru yang berkursus sepenuh masa ditempatkan semula di tempat asal bertugas kecuali atas permohonan mereka.

Bagi saya, penempatan semula bukanlah perkara yang dirisaukan. Namun, berlaku juga beberapa perubahan.

Pertama, saya terpaksa meneliti semula silibus kerana tidak lagi mengajar mata pelajaran yang sama. Memandangkan, saya melapor diri pada awal tahun persekolahan, jadual waktu telah siap dan guru mengajar telah ditetapkan. Jadi saya hanyalah 'paste' guru yang keluar dari sekolah pada awal tahun.

Kedua, walaupun mengajar mata pelajaran yang sama, tapi tingkatan yang berlainan. Terpaksa lagi meneliti dan mengkaji isi kandungan silibus kerana tahap dan bahan pengajaran berbeza mengikut tingkatan.

Ketiga, kalau dulu mengajar sesi pagi, kini mengajar sesi petang. Aturan kehidupan berubah. Pengurusan anak-anak ke sekolah dapat dilaksanakan tetapi waktu mereka balik terpaksa minta bantuan isteri dan rakan.

Dan yang keempat, ketika rakan lama sibuk berbincang mengenai kenaikan pangkat bagi mereka yang mengajar Tingkatan 6, kita hanya jadi pemerhati dan pendengar. Walaupun telah lama mengajar Tingkatan 6 dan menjadi pemeriksa kertas, peluang ini terlepas kerana penempatan semula di sekolah yang tiada Tingkatan 6.

Walau bagaimanapun, saya yakin rezeki ada di mana-mana. Kadangkala, kita kena melepaskan sesuatu yang kita hargai untuk mendapatkan sesuatu yang lebih berharga dan bermakna. Dengan adanya kemahiran penggunaan komputer, saya kini lebih berkeyakinan dan berani berbincang tentang perkembangan isu semasa kerana maklumat ada di 'hujung jari'. Lagipun, saya kini telah berada pada gred DG44 dan tunggu sajalah 'time bases' untuk naik ke gred yang lebih tinggi. Kata pepatah Melayu, "takkan lari gunung yang dikejar".

Akhir sekali, melalui kursus inilah saya terdedah dengan komputer dan mengetahui banyak perkara yang sebelum ini begitu payah dan janggal untuk diterokai. Baik pensyarah mahupun rakan sekursus serta isteri yang lebih mahir tentang komputer berbanding saya banyak membantu dan hasilnya kini, blog ini berjaya saya paparkan.

Tiada ulasan: