25 Jun, 2008

Zaman Persekolahan (SK Permatang)










Telah kuceritakan dahulu, tentang 3 orang guru yang namanya terpahat dalam ingatan dan hari pertama persekolahan di SK Permatang, Parit 7B, Sungai Manik. Bermula dari Darjah 1 hingga Darjah 6, saya menuntut di sana.

Sewaktu di sekolah rendah, saya bukanlah seorang pelajar yang pandai, malah tergolong dalam kumpulan yang lemah. Jika ada peperiksaan, saya biasanya dapat nombor 5 yang terakhir. Malah ketika Peperiksaan Darjah 5, saya hanya mendapat 2B dan 3C.

Memang ketika itu, bukan seperti sekarang. Tiada tiusyen, kelas tambahan maupun motivasi kecemerlangan. Segalanya bergantung penuh kepada pengajaran Cikgu dalam kelas dan kalau bernasib baik, ada Cikgu yang rajin mengadakan kelas tambahan.

Setiap pagi, jam 7.00, ayah atau abang Imie akan menghantar saya, abang Zaki dan adik Fuad ke sekolah dengan basikal tua ayah. Kalau ayah tiada kerja di kebun atau bendang, ayah sendiri yang akan menghantar kami ke sekolah.

Biasanya, adik Fuad akan duduk di batang tengah basikal sementara saya dan abang Zaki di pelantar belakang. Bayangkan, satu basikal tua dengan 4 penumpang.

Kami hanya dibekalkan wang 2 kupang seorang. Tapi biasanya, kami kongsi bila waktu rehat. 2 kupang beli nasi atau mee atau bihun, 2 kupang beli kuih, sekupang beli ais kepal dan sekupang beli keropok atau gula batu.

Walaupun, 6 kupang untuk kami bertiga, jumlah ini sudah lebih daripada mencukupi. Makan kenyang dan tak pernah kelaparan. Kantin sekolah, walaupun ada, tidak beroperasi seperti sekarang. Kami boleh keluar sekolah, makan di kedai A-An atau kedai Utuh.

Balik sekolah, kami berjalan kaki. Bayangkan dari sekolah di Parit 7B ke rumah di Parit 4B, jaraknya lebih kurang 5 kilometer. Walaupun jauh, tapi kerana seronok dan berjalan beramai-ramai, kepenatan tidak pernah terasa. Bukan kami bertiga sahaja yang jalan kaki balik sekolah, malah orang lain pun sama. Jadi, sambil berjalan kaki, ada antara kami yang bercerita dan bermain. Tahu-tahu sudah sampai ke rumah. Memang ada kawan yang naik basikal, tetapi jumlah mereka tidaklah ramai. Rutin ini berulang hingga saya selesai belajar Darjah 6.

Bila teringat kenangan persekolahan ini, kadangkala saya sayu. Bayangkan, kalaulah bukan kerana usaha dan paksaan mak dan ayah agar kami menuntut ilmu, mungkin saya bukan seperti yang ada sekarang.

Ingat lagi ayah berpesan, " Belajar rajin-rajin, jangan jadi macam kami. Nak cari sesuap nasipun payah. Aku tak mahu kesusahan kita berterusan".

Tiada ulasan: