Memaparkan catatan dengan label Bahasa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bahasa. Papar semua catatan

22 Mac, 2009

Belajar Bahasa Orang Utara

Hari ini, saya nak senaraikan perkataan yang digunakan oleh orang utara (Kedah khususnya). Bagi yang tak biasa, mungkin boleh tergeliat lidah menyebutnya, sebagaimana yang saya alami waktu mula-mula bermastautin di sini.

1. ghe-ngau – cakar
2. se-qheyat - reda/ surut
3. hambat – kejar
4. pe-qhembang - bidik (aim)
5. contiang – lukis
6. ligan – kejar
7. cemuih - bosan/jemu
8. tokak – gigit
9. gey-ghek – basikal
10. gon - cerun (bukit kecil)
11. belemoih - comot/ kotor
12. tetomoih – tersungkur
13. ku-tey – cubit
14. tak dan - tak sempat
15. hebiaq – celupar
16. maneh melecaih - tersangat manis
17. Lincun/lencun – basah
18. lokoih – kuyup
19. kawaq – pencuri
20. kanyaq - mentah (berhingus)
21. ketegaq - degil
22. he-ghot petot - senget benget
23. me-ghela - gatal
24. log laq - cemekap/ cuai
25. hawin - pusing
26. punggai - baling/ lempar
27. tengalong - tuju/ baling
28. me-ghe-kah - Kupas/ koyak
29. ayaq achaq - air longkang
30. ha-ghin - hancing
31. kelepiaq - melibas
32. kelolo - "tak berapa betul"
33. hemoi - "muka tak malu"
34. me-ghe-nyeh - menggatal
35. da-oh - tak "matching"
36. hapak pera'e - bau hapak
37. hijau me-ghe-ngak - terlalu "hijau"
38. celuih - muat
39. me-ghelit me-ghelap - berkilau- kilau
40. me-ghe-yup - jauh/ sayup
41. ghem-pang - "tergedik- gedik"
42. kampoi - kumpul/ kaut
43. je-ghang - rebus
44. capoi - celupar
45. te-ghe-bey - lastik
46. melo-ghoih - lucut/ gelongsor
47. me-gho-not - membongkok
48. sene-gheh - selisih
49. be-gha-chaq - comot/ kotor
50. kahaq - nakal
51. pedo - hati-hati
52. peysoh - urus
53. hapuih - tenggelam (lemas)
54. ghan-dok - redah
55. se-ghoh - kebah/ kurus
56. ghen-jong - tinggi lampai
57. pe-gho-ngoih - panas baran
58. takek - ketuk/potong
59. be-ghemba - bersaing/ lumba
60. ghe-tiaq - ikhtiar/ fikir
61. ge-ghet - gigit
62. tahaq - tahan
63. gha-gaih - panjat
64. melewaq - merayau
65. melahaq - kebulur
66. gha-bat - naik/panjat
67. ghim-bok - belasah
68. melilau - jalan- jalan
69. cuak - seram
70. juih - mulut muncung
71. luku - ketuk kepala
72. ghodong - melulu
73. ghedah - redah
74. ayaq seghabat - air sirap
75. peqhasat - sangat dengki
76. mandom - lembap
77. ceghoi/ca-roi - sangat cair
78. tepok - lumpuh
79. gha-bit - terkoyak
80. kok-ko - dukung
81. mai - mari
82. terple'ot - terseliuh
83. gomoi - bergaduh/ bergusti
84. ketit - cubit
85. ga-ghet - gatal/ mengada-ada
86. nala - tersangat
87. mang-kark - buah tak masak
88. bergenuak - berduyun- duyun
89. pediah - makan
90. polok - makan penuh-penuh
91. tey-liang - senget
92. ghe-lin - jeling
93. peng-kaq - kaki tempang
94. me-qhe-nyut - serabut
95. kesot - alih
96. lanyau - bersihkan
97. cempong - angkat/ dukung
98. cepung - kepung
99. conek - ekor
100. depa - mereka

02 Mac, 2009

Acar atau Acaq atau Acad (Dialek Kedah)

Saya cuba mengenang kembali hari pertama saya bertugas di Kedah, iaitu di SMK Hosba, Jitra. Saya mula melapor diri pada hari Ahad, minggu kedua persekolahan, dalam bulan Disember 1995.

Kedatangan saya dialu-alukan Pengetua dalam perhimpunan pagi. Dua tiga kali nama saya disebut dalam perhimpunan itu. Selain diperkenalkan kepada pelajar, beliau juga membacakan biodata saya. Saya masih ingat lagi ayat beliau, "Cikgu Amin anak Perak pertama yang bertugas di sini. Jadi loghat Peraknya masih pekat."

Selepas perhimpunan saya dibawa ke bilik guru. Di bilik guru saya berbual dengan beberapa orang guru yang telah lama berkhidmat di situ, antaranya Cikgu Mat Isa Ariffin, Cikgu Saidi Salim, Ustaz Man Kain, Ustaz Salam dan Cikgu Ismail.

Dalam bilik guru itu, saya menerima kuliah tentang penggunaan dialek Kedah. Cikgu Mat Isa memberitahu dialek Kedah cukup mudah dipelajari.

"Senang saja, Min, kalau hujung perkataan tu huruf 'r', hang tukaq jadi 'q'. "

Disampuk pula oleh Cikgu Ismail, "Alor Setar jadi Aloq Setaq, tukar jadi tukaq, air jadi ayaq, pagar jadi pagaq."

Setelah lama berbual, kamipun menuju ke kantin. Kami mempunyai banyak masa untuk berbual kerana pagi itu ada taklimat kokurikulum yang disampaikan oleh Penolong Kanan Kokurikulum dalam dewan sekolah.

Sampai di kantin, kami terus mengambil makanan dan membuat bayaran. Sambil menikmati makanan kami terus berbual tentang kebolehan dan kemampuan pelajar Hosba menghadapi peperiksaan.

Mendapati kuah dalam acar timun telah kering, saya memanggil pengusaha kantin lalu berkata, "Kak, tolong tambah ayaq acaq."

Serentak itu berderai guru-guru yang ada di kantin ketawa sehingga ada yang tersembur makanan dalam mulut. Cikgu Mat Isa ketawa berdekah-dekah sampai menekan-nekan perut.

Setelah keadaan reda Cikgu Ismail mencelah, "Hang nak tambah ayaq acaq, Min. Hang ambik sendiri kat belakang tu, ayaq kumbahan."

Barulah saya sedar, rupanya ada kekecualian dalam dialek Kedah untuk perkataan acar. Acar disebut acad, bukannya acaq.

28 Februari, 2009

Cerita Lawak (Loghat Kuala Nerang)

Pada suatu hari, dua orang 'Mat Saleh' dalam perjalanan menuju ke Tasik Pedu, Kuala Nerang. Setelah mengayuh basikal selama 3 jam, mereka terjumpa seorang tua yang sedang mencangkul tanah di tepi jalan raya.

Salah seorang 'Mat Saleh' itu bertanya kepada orang tua itu, "Sir, how far is Pedu Lake from here."

Orang tua itu tergaru-garu kepala lalu menjawab dalam loghat Kuala Nerang, "Tak tuo, dey."

'Mat Saleh' itupun memandang rakannya dan berkata, "Oh my god, two days."

Kedua-dua Mat Saleh itupun berpatah balik menuju ke hotel penginapan mereka di Bandaraya Alor Setar tanpa mengetahui Tasik Pedu hanya 50 meter dari tempat mereka bertanya orang tua itu.