Menerima Cenderamata setelah menamatkan perkhidmatan
sebagai anggota Sukarelawan Polis Kedah pada tahun 2008
Kadang-kadang saya selalu terfikir, siapakah saya? Seorang budak kampung yang dahulu bermain lumpur dan selut, menangkap burung dan belut, main galah panjang dan mandi sungai sentiasa berebut.sebagai anggota Sukarelawan Polis Kedah pada tahun 2008
Teringat ketika menerima tawaran berkhidmat sebagai guru di SMK Sematan, Sarawak. Posmen yang menghantar surat tak percaya saya penerima surat itu. Manakan tidak, ketika itu saya sedang menangguk ikan dalam parit di hadapan rumah.
Bila dipanggil oleh ayah, saya terus menuju ke arah posmen dan dia geleng kepala, "Awak ke Mohd Amin?" Dia seakan tak percaya.
Pernah bidan yang menyambut kelahiran saya memberitahu, saya dilahirkan pada hari Jumaat ketika sedang azan kedua kedengaran. Memandangkan keadaan saya lemah dan tiada lelaki yang berada di rumah untuk menghantar ke hospital Teluk Intan, bidan telah mengambil daun keladi dan saya ditutup sehinggalah ayah saya balik daripada sembahyang Jumaat baru dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
Di Sekolah Kebangsaan Permatang, Sungai Manik sewaktu Peperiksaan Darjah Enam, saya hanya mendapat 2B, 3C. Tak layak masuk ke mana-mana sekolah berasrama penuh dan ditempatkan di Sekolah Menengah Seri Perak.
Ketika inilah baru kepandaian saya mula kelihatan. Teringat sewaktu keputusan SPM diumumkan, saya mendapat 14 anggegat dan mendapat tawaran untuk Program Persediaan Khas ke Jepun di Universiti Malaya. Malangnya ayah tak membenarkan dan saya terus kekal hingga ke Tingkatan enam.
Semasa mengambil STPM tahun 1989, saya pernah menangis kerana tersangka silap menjawab soalan karangan dalam kertas Pengajian Am. Bayangkan, negara maju yang diberi contoh ialah Malaysia, Australia dan Indonesia. Tapi bila keputusan keluar, saya mendapat 2A (Pengajian Am dan Bahasa Melayu), 1B, 1D dan 1R.
Kenakalan lama sewaktu tinggal di asrama SMK Seri Perak kadang kala membuatkan saya tersenyum sendiri. Kami pernah fly (menyeludup keluar) waktu malam untuk menonton wayang dan makan depan jam tinggi senget.
Satu keistimewaan kepada kami, pelajar yang mengambil STPM ialah kami mempunyai bilik study khas dan boleh mengulang kaji tanpa had masa. Pernah beberapa kali, kami kelaparan dan
bila pergi ke kantin asrama, didapati telah berkunci. Kami mengambil buluh panjang dan menjolok ke arah raga yang diletakkan di tepi tingkap dan dapatlah mengail buah tembikai, nanas dan sekali terkail ayam. Apalagi, kami ambil 5 ekor dan panggang di tepi Sungai Perak dekat padang sekolah. Yang herannya, kerja ini dilakukan oleh kami yang semuanya pengawas sekolah dan asrama termasuk Ketua Pengawas (Muhazzib, jangan marah naaa)
(sebelum tamat sekolah kami berjumpa dengan pengusaha kantin asrama dan minta halal. Dia terkejut kerana dia sendiri tidak tahu bekalan telah dicuri oleh kami)
Itulah cerita alam persekolahan saya, bermula di SK Permatang dan berakhir di SMK Seri Perak. Pada tahun 2007, saya telah pergi ke SMK Seri perak dan satu-satunya cikgu yang pernah mengajar yang dapat ditemui, Cikgu Rosnani. Dia sendiri heran dan tertanya-tanya siapa saya dan bila dimaklumkan cerita-cerita lama, barulah dia teringatkan saya. Agaknya mungkin semasa bersekolah dahulu saya tidak begitu popular, ataupun kenakalan saya tidak ketara, jadi tiada keistimewaan yang dapat diingati. Mungkin juga kesilapan saya kerana tidak pernah mengunjungi guru-guru yang pernah mengajar walaupun sering balik kampung, setiap kali cuti persekolahan.
2 ulasan:
Waaaa, Cikgu pernah jadi polis ke? Cerita sikit, pernah tangkap orang tak.......
Macam pernah kulihat.....tapi di mana ya.....
Muehehehe....
Semua latar tempat yang disebut itu tidak asing bagi saya....
Ya...
Sungguh....semua....
Termasuklah watak si ketua pengawas, Muhazzib dan Cikgu Rosnani itu.....
Catat Ulasan