Perkembangan semasa menjadikan sumber maklumat menjadi terbuka dan boleh diakses oleh semua rakyat tanpa ada batasnya. Dalam hal ini, kakitangan yang bertugas di bawah Kementerian Pelajaran juga berperanan menyampaikan maklumat kepada pengakses yang melayari internet.
Kakitangan Kementerian Pelajaran terutama yang bergelar guru dan pendidik kini semakin ramai yang menjadikan blog masing-masing sebagai saluran untuk menyampaikan maklumat dan kritikan kepada pihak tertentu, mungkin kepada ketua jabatan atau pihak kementerian sendiri.
Kementerian Pelajaran perlu memandang berat hal ini kerana mungkin ada maklumat yang disampaikan tersalah tafsir oleh blogger. Ada kemungkinan kritikan yang ditulis menjadikan suasana lebih buruk dan semakin sukar untuk meleraikannya.
Oleh itu, saya berpendapat kakitangan yang menjadi blogger perlu dikumpulkan dan diberikan kursus khas agar mereka mengetahui batas dan sempadan penulisan mereka.
Pada masa yang sama, pendapat yang dikeluarkan oleh blogger juga kadangkala tidak selari dengan apa yang dikehendaki oleh Kementerian. Paling ketara tentang PPSMI.
Ramai blogger yang terdiri daripada guru yang menyuarakan pendapat bercanggah dengan dasar kerajaan. Sememangnya itu tidak salah, tetapi sebagai salah seorang yang terlibat mereka sepatutnya mendiamkan diri, bukan menjadi pengkritik yang memakan diri. Saya katakan sebagai ”pengkritik yang memakan diri” kerana mereka juga menikmati faedah hasil pelaksanaan dasar ini dan pada masa yang sama ”membuka pekung di dada”.
Bukan bermakna saya mengatakan mereka tidak boleh mengkritik, tetapi sebagai orang dalam mereka patut tahu saluran yang boleh digunakan.
Melalui perhimpunan ini juga, Kementerian boleh menyampaikan dasar-dasar dan peraturan yang perlu diikuti dan dipatuhi oleh blogger. Kementerian boleh menyatakan perkara-perkara yang sensitif yang perlu dielakkan oleh blogger daripada dibincangkan di khalayak pelayar internet. Dengan cara ini, blogger akan lebih peka tentang isu-isu yang boleh dimanipulasi oleh sesiapa sahaja yang tidak berkenan dengan pembaharuan yang dilaksanakan atau individu yang berperanan penting dalam Kementerian.
Pada masa yang sama, melalui cara ini, Kementerian dapat mendaftarkan blogger yang terdiri daripada kakitangannya, mungkin dari kalangan kakitangan sokongan, guru, pensyarah, pentadbir sekolah atau ketua jabatan sendiri. Bukan bermakna saya menggalakkan Kementerian mengawal hasil pendapat dan tulisan blogger, tetapi dengan cara mendaftarkan semua blogger di bawah Kementerian Pelajaran, Kementerian dapat mengetahui sejauh mana peranan mereka dan bilangan kakitangannya yang aktif menulis dan menyuarakan pendapat di alam maya.
Selanjutnya, peluang ini sudah pasti dapat mempertemukan blogger-blogger yang selama ini hanya berhubung dalam dunia tanpa sempadan tetapi tidak pernah bersua muka. Mungkin daripada pertemuan ini, banyak lagi idea dan maklumat dapat dikongsi bersama dan seterusnya memperbaiki cara penyampaian dan bahan yang dibincangkan dalam blog masing-masing.
Sebenarnya, cadangan ini datang dari hati kecil saya yang sebenarnya sering berkata-kata, apakah mungkin satu hari nanti ada rakan-rakan blogger saya yang terdiri daripada guru atau sesiapa sahaja dikenakan tindakan atau hukuman kerana hasil penulisannya yang bercanggah dengan dasar Kementerian atau menyalahi undang-undang negara?
Sudah pasti saya tidak mahu ini berlaku dan salah satu cara mengatasi agar perkara ini tidak berlaku adalah dengan mengumpulkan mereka dan memberikan input-input yang bermakna agar tidak ada dalam kalangan kami yang tersasar ketika berblogger.
Surat dari Masyarakat Burung kepada Datuk Bandar
4 minggu yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan