Kejadian yang berlaku pada 5 September 2005 tidak dapat dilupakan sehingga kini. Pada malam tersebut, dalam perjalanan balik ke rumah dari Kuala Nerang, saya telah terlibat kemalangan dengan seekor lembu yang berada di atas jalan raya. Saya sendiri tidak tahu bagaimana kemalangan itu terjadi, cuma yang pasti kelajuan motosikal yang dibawa sudah melebihi 100 km/j.
Menurut anggota polis yang menyiasat kemalangan itu, lembu mati di tempat kejadian. Sementara saya pula dibawa ke Hospital Kuala Nerang dengan trak polis yang kebetulan melalui jalan tersebut. Saya hanya sedar diri setelah diberi rawatan kecemasan di Wad Kecemasan.
Memandangkan kecederaan yang dialami agak teruk, saya dipindahkan ke Hospital Besar Alor Setar. Tulang ulna dan radius tangan kanan patah, 6 metacaple tangan kiri retak, bibir bawah menerima 3 jahitan dan jari kelingking tangan kiri menerima 5 jahitan kerana luka terkoyak.
Malangnya, pada pagi tersebut, saya telah didiscaskan daripada wad kecemasan dan diminta hadir semula pada 14 September 2005 untuk rawatan lanjutan dan pembedahan. Paling memilukan ada petugas wad tersebut yang menyebut, "Mat Rempit, padan muka!!". Walaupun disahkan saya adalah anggota Sukarelawan Polis, permohonan untuk dimasukkan ke wad tidak diterima kerana Wad Kelas Tiga dan Dua telah penuh.
Mujurlah, Penolong Kanan SMK Pokok Sena mengarahkan 2 orang guru, Cikgu Zahir dan Cikgu Ahmad Othman membawa Surat Akuan GL, barulah saya dimasukkan Wad Kelas Pertama. Dalam keadaan tersebut, saya dan anggota keluarga tidak teringat yang kami mempunyai Kad Insuran Perubatan.
Pada 14 September 2008, barulah saya dibawa masuk ke bilik bedah. Jam 2.00 petang saya sudah tidak mengetahui apa yang berlaku seterusnya sehinggalah saya sedar semula lebih kurang jam 9.00 malam.
Malam itu adalah malam yang amat panjang dan menyeksakan. Kesakitan yang dilalui teramat perit sehingga tidak tertanggung oleh badan. Dalam keadaan itu, hanya dua orang yang menjadi sebutan di mulut, pertama mak yang berada di Sungai Manik dan Zana, isteri kesayangan.
Malangnya, kedua-dua insan tersebut tidak ada bersama. Mak sakit dan tidak mampu berjalan jauh, apatah lagi untuk datang ke Alor setar. Zana pula masih dalam pantang selepas bersalin anak kami yang keempat.
Semenjak kemalangan itu juga, saya mendapat ibu kedua yang sentiasa menjaga dan mengambil tahu tentang diri saya sehingga kini. Ibu mentua, Mak Saodah menjadi tempat mengadu kesakitan dan mententeramkan diri. Beliau bukan sahaja menjaga saya tetapi berperanan sebagai ibu sejati kerana saya tidak mampu melakukan apa-apa memandang kedua-dua belah tangan cedera teruk. Sepanjang saya berada di hospital selama 14 hari dan sehingalah saya sembuh, beliaulah yang memandikan, membersihkan badan, memakaikan pakaian dan melakukan segalanya kerana saya ketika itu umpama budak kecil yang tidak mampu berdikari.
Walaupun peristiwa itu telah tiga tahun berlalu, tetapi kesannya amat mendalam. Banyak kenangan lama telah hilang dari ingatanku. Peringkat awal isteri dan anak-anak juga tidak dapat saya ingati dengan baik, malah ada ketikanya saya merasakan mereka seperti orang asing dalam hidup saya.
Kadangkala ada rakan yang menegur saya bila berjumpa, malangnya saya mengambil masa yang lama untuk menginagati mereka semula malah ada yang tidak lagi saya kenali.
Namun, kini semuanya hampir beransur pulih, tapi minta maaf, ada ketikanya saya masih tidak mampu mengingati kenangan lama zaman kanak-kanak, zaman persekolahan rendah, menengah dan universiti kerana kita tidak lagi dapat berhubung bagi memulihkan ingatan saya.
Kesan yang paling ketara, kini saya jarang keluar rumah waktu malam, malah sedaya upaya akan bersama anak-anak dan isteri. Peluang kedua ini Insya-Allah akan saya gunakan untuk membina keluarga yang lebih cemerlang.
Surat dari Masyarakat Burung kepada Datuk Bandar
4 minggu yang lalu
1 ulasan:
Alhamdulillah umurmu masih panjang, masih ada masa utk sama-sama membesarkan anak lelaki keempat yang baru berusia 59 hari pada hari tu, sungguh pilu dan semangatku hilang ketika itu pabila melihat kedua belah lengan dan tapak tangan suami disimen dan digantung dengan kain anduh dalam wad kecemasan... Ibuku banyak membantu dan untuk mengurangkan kesusahanku, ketika itulah kami mula memiliki pembantu rumah...hinggalah sekarang.
Catat Ulasan