03 September, 2010

Mohon Bantuan Mengesan Pembantu Rumah indonesia

Inilah kali ketiga saya ditipu dan penipunya adalah pembantu rumah dan agen.

Agen maklum pembantu ini baru sampai dan dalam proses di Imigrasen, tapi sebenarnya dia telah pernah bekerja di rumah orang lain dan majikan lama tidak mahu lagi perkhidmatannya. Tak mengapa, cerita agen akan saya uruskan dengan Tribunal Pengguna.

Ketika dia melarikan diri, 3 anak saya berusia 6 bulan, 3 tahun dan 5 tahun terbiar kelaparan dari pagi. Manusia yang tiada hati perut memang begini perangainya.

Sekarang tumpuan saya kepada mencari pembantu rumah yang telah lari dan melarikan segala kilauan yang ada dalam rumah ini untuk bersama wang tunai kecemasan yang sememangnya saya simpan untuk keperluan jika berlaku kecemasan di kampung.

Nampaknya pembantu rumah ini sungguh cekap kerana dapat bersembunyi dan melarikan diri walaupun pasport tiada padanya.

Kepada blogger kenalan, mohon paparkan poster ini bagi membantu saya.

Gambar saya salin dr blog KedahLanie.

02 Julai, 2010

Neraka di rumah sendiri

Malam ini aku bungkam. Nak nangis tak mampu. Nak cerita hampir tak tahu.

Segalanya bermula pagi tadi. Jam 10.30 pagi. Selepas menandatangani buku rekod kemajuan, ambil anak Kedua dan Ketiga, terus hantar balik ke rumah. Yang Ketiga tak mahu balik. Jadi ajak dia seorang ke kedai makan. Ajak makan dan gunakan segala ilmu yang ada untuk korek rahsia. Dia buka mulut tapi tak jelas.

Hantar dia balik rumah.

Sebenarnya, saya sedar anak Keempat dan Kelima ada perubahan.

Kedua-duanya sering demam. Yang Kelima perempuan, selalu peluk buai anak Keenam, tak bagi orang lain pegang. Kalau orang lain atau abang-abangnya sentuh dan main buai, terus menangis.

Yang Keempat, dulu celotehnya cukup riuh, kadangkala tak mampu layan. Kini jadi agak pendiam. Sepatah tanya, sepatah jawab.



.............................................................................

Selepas baca Yaasin, bawa Ketiga, Keempat dan Kelima keluar tempah makanan berbungkus. Dalam perjalanan itulah pecah semua cerita.

Kelima: Kenapa Bik suka buat kita?

Ketiga: Tah....Ari ni dia buat apa kat adik?

Keempat: Ari ni dia kelaq tangan adik dengan pisau. Tapi bukan yang tajam, hak belakang. Adik nangis. Riau lama. Sakit.

Ayah: Pasal apa Bik buat cam tu?

Kelima: Bik kata abang suka tabuq makanan. Kalau tabuq lagi, Bik nak potong tangan.

Ketiga: Kelmarin kan Bah, masa abang balik sekolah, Bik bubuh cabai melaka dalam mulut adik (keempat). Bik kata adik suka nangis. Kalau nangis lagi, Bik nak buh 5 bijik.

Ayah: Adik (Kelima) kenapa suka pegang buai Anas (Keenam)?

Keempat: Bik nak cucuh buai adik (Keenam). Selalu Bik cucuh lighter kat besi buai adik (Keenam). Bik kata, kalau adik (Kelima) suka nangis, Bik nak bakaq adik (Keenam). Sebab tu adik (Kelima) jaga buai.

Selepas tempahan makanan siap, terus balik ke rumah. Arahkan Bibik kemas pakaian dan hantar kepada agen. Baru 2 bulan datang kerja, sudah berani buat angkara.

12 Jun, 2010

Mak Dah Tua......

Itulah kata-kata yang masih terngiyang-ngiyang dalam ingatanku.

Memang kuakui, mak dah tua, tapi tua mak masih bertenaga.

Memang mak dah terlantar di atas katil, nak ambil air sembahyang terpaksa naik kerusi roda dulu, tapi itu bukti mak masih bertenaga.

Setiap kali balik kampung, itulah yang kuperhatikan.

Mak tak pernah minta tolong. Nak ke jamban, nak mandi, ambil air sembahyang, semua mak buat sendiri.

Kadang-kadang hatiku berdetak..Mak telah melalui liku-liku kehidupan yang panjang. Perih, jerih, payah, susah.....Mak tetap di sisi kami dari kecil hingga kini.

10 orang, bukan sedikit, anak-anak mak. Yang pasti semuanya menjadi orang, bukan orang-orang.

Yang pasti, aku selalu rindu untuk baring di sisi mak. Entah kenapa, aku pun tak pasti. Setiap kali balik kampung, itulah yang kulakukan.


05 Mei, 2010

Ambi - Pemakan Manusia

Seperti yang telah diceritakan dahulu, Atuk dan Nenek saya berasal dari Tanah Besar Banjarmasin, Indonesia. Mereka telah merantau dan bermukim di Sungai Manik. Sebagai generasi ketiga di Malaysia, saya masih lagi mewarisi cerita-cerita rakyat yang dituturkan oleh Nenek. Kebanyakan cerita disampaikan kepada saya sewaktu ayah dan mak pergi ke Mekah menunaikan Haji, sewaktu saya dalam Tingkatan 2.

Ambi, pemakan manusia adalah salah satu cerita yang menarik untuk disampai di sini, selain Cerita Hantu Mak yang saya tulis dahulu.

29 Mac, 2010

Penghargaan Kepada Guru Disiplin

Inilah penghargaan yang saya terima sebagai Ketua Guru Disiplin.

Terima kasih kepada yang menyatakan isi hati yang terbuku selama ini. Walaupun berbekas di hati, saya menerimanya dengan rasa terbuka dan akan cuba memperbaiki diri.

Cuma yang tak sedapnya, hadiah ini dicatat di dinding tangga utama pergerakan guru dan pelajar.

24 Mac, 2010

Tandas Berbayar Di Sekolah......

Gambar ini saya copy daripada Arkib Gambar Terkini akhbar Utusan Malaysia Online bertarikh 24 Mac 2010.

"Beberapa pelajar SMK Tansau, Putatan keluar dari tandas sekolah tersebut yang mengenakan bayaran sebanyak 10 sen setiap kali menggunakannya, di Putatan, Sabah", itulah catatan yang terdapat dalam gambar tersebut.

Persoalannya:

1. Wajarkah bayaran dikenakan?

2. Kemanakah wang kutipan itu disalurkan, sama ada tabung PIBG, SUWA atau ke mana ?

3. Bolehkah premis awam mengenakan bayaran sebegini?

Fikir-fikirkanlah..

....................................................................
Catatan terkini: 27 Mac 2010 8.06 pagi

Berita terbaru

Utusan Malaysia Online: 27 Mac 2010

SMK Tansau mansuh bayaran masuk tandas

KOTA KINABALU 26 Mac - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tansau hari ini mengambil tindakan yang dianggap melegakan ibu bapa apabila memansuhkan bayaran memasuki tandas sekolah berkuat kuasa Isnin ini.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), SMK Tansau, Mohd. Fazal Bani Amim berkata, keputusan itu dibuat hasil perbincangan antara pihaknya dengan sekolah.

"Sebenarnya pelaksanaan ini adalah hasil keputusan dalam mesyuarat agung yang diadakan oleh pihak PIBG bagi memastikan kemudahan tandas yang sering rosak dapat diperbaiki dengan segera.

"Bagaimanapun, bagi menghormati aduan sesetengah pihak kita mengambil keputusan membatalkan perkara ini," katanya ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan pihak sekolah di SMK Tansau di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Yang Dipertua PIBG SMK Tansau, Ismail Yusof dan Ketua Pembantu Tadbir SMK Tansau, Pengiran Alimuddin Pangiran Daud.

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan mengenai rungutan ibu bapa yang tidak berpuas hati dengan tindakan sekolah berkenaan yang mengenakan bayaran kepada pelajar yang ingin memasuki tandas.

Kebanyakan ibu bapa menyatakan bayaran 10 sen yang dikenakan untuk memasuki tandas itu adalah tidak wajar kerana menyusahkan pelajar serta membebankan ibu bapa.

Menurut Mohd. Fazal, pelaksanaan sistem pembayaran itu dibuat selepas mendapat persetujuan ibu bapa bagi membayar upah pembersihan tandas dan menggantikan peralatan tandas yang rosak.

"Dalam mesyuarat agung yang dihadiri 602 orang penjaga pada 6 Februari lalu pun kita tidak mendapat bantahan daripada ibu bapa mengenai pembayaran itu.

"Selain itu juga kaunter aduan ibu bapa yang dibuka setiap hari Rabu oleh pihak sekolah juga tidak mendapat aduan mengenai perkara itu," katanya.

Dalam pada itu katanya, akibat tindakan pemansuhan itu pihaknya terpaksa menanggung sendiri perbelanjaan untuk membayar upah pembersihan dan pembaikan kerosakan tandas di sekolah berkenaan.

Justeru ujarnya, pihaknya akan memikirkan kaedah lain dalam mesyuarat PIBG akan datang bagi menampung perbelanjaan tersebut.

Pihaknya juga akan turut mencari kaedah terbaik seperti menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) bagi memastikan semua penjaga dan ibu bapa dapat menyalurkan aduan terus kepada pihaknya.