12 Jun, 2010

Mak Dah Tua......

Itulah kata-kata yang masih terngiyang-ngiyang dalam ingatanku.

Memang kuakui, mak dah tua, tapi tua mak masih bertenaga.

Memang mak dah terlantar di atas katil, nak ambil air sembahyang terpaksa naik kerusi roda dulu, tapi itu bukti mak masih bertenaga.

Setiap kali balik kampung, itulah yang kuperhatikan.

Mak tak pernah minta tolong. Nak ke jamban, nak mandi, ambil air sembahyang, semua mak buat sendiri.

Kadang-kadang hatiku berdetak..Mak telah melalui liku-liku kehidupan yang panjang. Perih, jerih, payah, susah.....Mak tetap di sisi kami dari kecil hingga kini.

10 orang, bukan sedikit, anak-anak mak. Yang pasti semuanya menjadi orang, bukan orang-orang.

Yang pasti, aku selalu rindu untuk baring di sisi mak. Entah kenapa, aku pun tak pasti. Setiap kali balik kampung, itulah yang kulakukan.


05 Mei, 2010

Ambi - Pemakan Manusia

Seperti yang telah diceritakan dahulu, Atuk dan Nenek saya berasal dari Tanah Besar Banjarmasin, Indonesia. Mereka telah merantau dan bermukim di Sungai Manik. Sebagai generasi ketiga di Malaysia, saya masih lagi mewarisi cerita-cerita rakyat yang dituturkan oleh Nenek. Kebanyakan cerita disampaikan kepada saya sewaktu ayah dan mak pergi ke Mekah menunaikan Haji, sewaktu saya dalam Tingkatan 2.

Ambi, pemakan manusia adalah salah satu cerita yang menarik untuk disampai di sini, selain Cerita Hantu Mak yang saya tulis dahulu.

29 Mac, 2010

Penghargaan Kepada Guru Disiplin

Inilah penghargaan yang saya terima sebagai Ketua Guru Disiplin.

Terima kasih kepada yang menyatakan isi hati yang terbuku selama ini. Walaupun berbekas di hati, saya menerimanya dengan rasa terbuka dan akan cuba memperbaiki diri.

Cuma yang tak sedapnya, hadiah ini dicatat di dinding tangga utama pergerakan guru dan pelajar.

24 Mac, 2010

Tandas Berbayar Di Sekolah......

Gambar ini saya copy daripada Arkib Gambar Terkini akhbar Utusan Malaysia Online bertarikh 24 Mac 2010.

"Beberapa pelajar SMK Tansau, Putatan keluar dari tandas sekolah tersebut yang mengenakan bayaran sebanyak 10 sen setiap kali menggunakannya, di Putatan, Sabah", itulah catatan yang terdapat dalam gambar tersebut.

Persoalannya:

1. Wajarkah bayaran dikenakan?

2. Kemanakah wang kutipan itu disalurkan, sama ada tabung PIBG, SUWA atau ke mana ?

3. Bolehkah premis awam mengenakan bayaran sebegini?

Fikir-fikirkanlah..

....................................................................
Catatan terkini: 27 Mac 2010 8.06 pagi

Berita terbaru

Utusan Malaysia Online: 27 Mac 2010

SMK Tansau mansuh bayaran masuk tandas

KOTA KINABALU 26 Mac - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tansau hari ini mengambil tindakan yang dianggap melegakan ibu bapa apabila memansuhkan bayaran memasuki tandas sekolah berkuat kuasa Isnin ini.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), SMK Tansau, Mohd. Fazal Bani Amim berkata, keputusan itu dibuat hasil perbincangan antara pihaknya dengan sekolah.

"Sebenarnya pelaksanaan ini adalah hasil keputusan dalam mesyuarat agung yang diadakan oleh pihak PIBG bagi memastikan kemudahan tandas yang sering rosak dapat diperbaiki dengan segera.

"Bagaimanapun, bagi menghormati aduan sesetengah pihak kita mengambil keputusan membatalkan perkara ini," katanya ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan pihak sekolah di SMK Tansau di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Yang Dipertua PIBG SMK Tansau, Ismail Yusof dan Ketua Pembantu Tadbir SMK Tansau, Pengiran Alimuddin Pangiran Daud.

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan mengenai rungutan ibu bapa yang tidak berpuas hati dengan tindakan sekolah berkenaan yang mengenakan bayaran kepada pelajar yang ingin memasuki tandas.

Kebanyakan ibu bapa menyatakan bayaran 10 sen yang dikenakan untuk memasuki tandas itu adalah tidak wajar kerana menyusahkan pelajar serta membebankan ibu bapa.

Menurut Mohd. Fazal, pelaksanaan sistem pembayaran itu dibuat selepas mendapat persetujuan ibu bapa bagi membayar upah pembersihan tandas dan menggantikan peralatan tandas yang rosak.

"Dalam mesyuarat agung yang dihadiri 602 orang penjaga pada 6 Februari lalu pun kita tidak mendapat bantahan daripada ibu bapa mengenai pembayaran itu.

"Selain itu juga kaunter aduan ibu bapa yang dibuka setiap hari Rabu oleh pihak sekolah juga tidak mendapat aduan mengenai perkara itu," katanya.

Dalam pada itu katanya, akibat tindakan pemansuhan itu pihaknya terpaksa menanggung sendiri perbelanjaan untuk membayar upah pembersihan dan pembaikan kerosakan tandas di sekolah berkenaan.

Justeru ujarnya, pihaknya akan memikirkan kaedah lain dalam mesyuarat PIBG akan datang bagi menampung perbelanjaan tersebut.

Pihaknya juga akan turut mencari kaedah terbaik seperti menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) bagi memastikan semua penjaga dan ibu bapa dapat menyalurkan aduan terus kepada pihaknya.

18 Mac, 2010

Kejayaan Sekolah: Guru atau Pengetua?????


Sekarang ini menjadi trend...kalau sekolah berjaya.......yang diangkat....disanjung...diberi anugerah adalah Pengetua.....cikgu-cikgu yang bertungkus lumus dilupakan.......

Masih saya ingat pengalaman di sekolah lama dulu, apabila Hari Anugerah Cemerlang, guru-guru dipanggil untuk terima penghargaan.

Sebenarnya, semua ada peranan tersendiri dalam menjayakan sesebuah sekolah.

Pengetua menjadi perancang sementara guru-guru laksanakan apa yang dirancangkan oleh Pengetua. Jika Pengetua menunjukkan contoh terbaik maka tidak ada sebab guru-guru nak mengingkari perancangan yang diarahkan.

Dalam melaksanakan perancangan, kebajikan guru, teladan yang baik serta sokongan kumpulan pengurusan yang terdiri daripada Penolong-Penolong Kanan dan Guru-Guru Kanan amat penting.

Kesepakatan dengan kumpulan ini akan meyakinkan guru Pengetua mendapat kekuatan daripada dokongan pembantu-pembantunya dan ini akan menambahkan kepercayaan guru tentang keupayaan sekolah menjana kejayaan.

Kesimpulannya, semua pihak berperanan dalam mencipta kejayaan sesebuah sekolah.

01 Februari, 2010

Hati Seorang Guru..............

Persoalan ini sering menghantui guru, terutamanya guru disiplin. Pada hari ini, pelajar sekolah bukan seperti dahulu lagi. Masih ingat lagi, kalau dahulu sewaktu bersekolah di SMK Seri Perak Teluk Intan, antara tahun 1982 – 1989 ,nampak sahaja kelibat Cikgu Hashim atau Cikgu Abdullah Meera, pasti kami akan melencong. Waktu itu, tiada pelajar yang berani nak berdepan dengan mereka apatah lagi jika tahu ada kesalahan yang dilakukan.

Kini, keadaan sudah jauh berbeza. Pelajar makin rapat dengan guru dan kadangkala boleh bersembang dengan akrab. Masalahnya, ada pelajar yang tidak tahu ketika dan batas hubungan tersebut. Pada saya, pelajar tetap pelajar, mereka mesti menghormati guru yang memberi dan menyumbangkan ilmu untuk kemajuan diri mereka.

Sebagai guru disiplin, ada ketikanya saya terpaksa berdepan dengan pelajar yang bukan sahaja nakal, tetapi juga menggunakan bahasa yang agak kasar dan menyakitkan hati. Sebab itulah, apabila berhadapan dengan pelajar seperti ini, saya lebih selesa duduk atas kerusi daripada berdiri. Dengan cara ini, boleh menyekat saya daripada bertindak pantas, sama ada menggunakan tangan atau kaki.

Bayangkan, kita tanya “Kenapa tak kerat kuku panjang tu?”
Dengan selamba dijawab, “Nak buat macamana cikgu, tumbuh sendiri”.

Bila ditanya, “Kenapa lambat datang ke sekolah?”.
Dengan mudah dijawab, “Jam loceng tak berbunyi”.

Kalau ditanya, “Buat apa warnakan rambut?”
Dijawab dengan nada sinis, “Artis dan menteri kale rambut tak pe, tak kan kami tak boleh kut.”

“Kenapa baju lepas keluar? Tali leher mana?”
“Saya datang sekolah nak belajar, bukan nak menyemat”

Jawapan yang seperti inilah yang memanaskan perasaan guru. Malah, kadangkala kerana jawapan tersebut akhirnya pelajar disabitkan lagi dengan kesalahan melawan guru atau menggunakan bahasa kasar.

Nak buat macamana? Pelajar zaman sekarang!!!!!!