12 Oktober, 2009

Letih Studi........

Agaknya beginilah kelaku anak murid kita bila letih studi.


Banyak sangat buku nak baca...Tak larat dah..........


Penat studi malam tadi. Lena sat.....



Peh.....Banyak sungguh fakta nak dihafal



Tunggu panggilan dari kawan kot-kot ada soalan bocor.


Termenung mengingat fakta-fakta dan formula....


Lena. Mata tak larat nak mengadap komputer

09 Oktober, 2009

Remaja 'sini' dan 'sana'

Remaja nekad gergaji kaki sendiri


Herman melihat kaki Ramlan yang terpaksa dipotongnya sendiri ketika ditemui di Hospital Yos Sudarso, Padang, Sumatera Barat, semalam. - Utusan/Ahmad Zakki Jilan

PADANG 8 Okt. - Sambil berkali-kali menyebut Allahuakbar, dia mula menggergaji kaki kanannya yang hancur akibat dihempap runtuhan konkrit seberat 6 tan.

Dengan tangan yang terketar-ketar, Ramlan meneruskan 'tugas' itu. Buruh binaan berusia 18 tahun dan berasal dari Purwakarta, Jawa, meraung kesakitan diiringi juraian air mata.

Kejadian di tingkat tujuh sebuah bangunan yang sedang dibina di Jalan Khatib Sulaiman di sini disaksikan Herman, 51, rakan sekampung Ramlan yang berhijrah ke sini untuk mencari rezeki.


Kita buat bandingan dengan remaja di negara kita.

18 tahun di Malaysia mungkin sedang menuntut di institusi pengajian tinggi mengambil diploma atau sijil.

Jika gagal SPM akan mula mencari kerja yang sesuai dengan kelulusan yang dimiliki di pejabat kerajaan atau swasta. Tempat kerja mungkin ada aircond, paling koman kipas angin.

Bagi anak desa pula, umur sebegini sudah boleh membawa mesin padi atau traktor atau kabota. Paling tidak, ada yang mula belajar bawa lori untuk mengangkut barangan dan hasil pertanian. Upah yang diperolehi juga lumayan.

Bagi yang lain pula, umur sebegini sudah pro-rempit, tak kira motor sendiri atau motor curi. Jangan ada siapa yang berani tegur, silap haribulan boleh makan maki atau kaki dan tangan.

Yang ada kereta pula, jalan raya "aku yang punya". 110 km/j di lebuh raya dianggap pelan lalu meluncur laju macam pelesit waktu malam. Nyawa sendiri tak sayang, gelagat macam lipas kudung di jalan.

Remaja di atas pula, waktu usia 18 tahun sudah merantau beribu kilometer dari Pulau Jawa ke Sumatera, bekerja sebagai buruh binaan bagi menyara keluarga. Selepas mempunyai wang yang mencukupi, mungkin akan berusaha berhijrah ke Malaysia yang dianggap tempat mencari dan mengumpul kekayaan.

Itu cerita dari negara jiran, yang selalu dianggap "abang", tapi kadang kala ada segelintir yang berperangai kebudak-budakkan sebab ada hati nak 'ganyang' "adik" yang sedia memberi dan menghulurkan bantuan.

Mungkin ada yang tak bersetuju dengan saya, tapi bila Jalur Gemilang dibakar dan dirobek-robekkan, anak watan mana yang tidak terkilan.


18 September, 2009

Sikap Pengguna Jalan Raya Cukup Memualkan

Imej diambil daripada Utusan Online: 18 September 2009

Pada hari ini, saya yang kebetulan hendak ke Lapangan Terbang Bayan Lepas, Pulau Pinang terperangkap dalam kesesakan akibat kemalangan ngeri yang melibatkan sebuah trelar dan 3 buah kereta di Hinghway Utara-Selatan berhampiran Gurun. Saya tidak mahu mengulas tentang kemalangan itu tetapi ingin menyentuh peri laku pengguna jalan raya yang cukup tidak bertimbang rasa.

Apabila jalan sudah sesak dan kenderaan telah berhenti, ada kereta dan lori yang menggunakan laluan kecemasan. Akibatnya, ambulans dan Bomba dari arah Gurun tidak dapat sampai ke tempat kejadian dengan cepat kerana laluan kecemasan telah dipenuhi dengan kereta dan lori tadi yang juga terpaksa menghentikan kenderaan.

Bagi saya, tindakan mereka amat keterlaluan dan mungkin ada nyawa yang boleh diselamatkan sekiranya bantuan kecemasan dapat tiba dengan cepat. Memang ada ambulans dan Bomba dari arah Sungai Petani yang tiba dengan cepat, tetapi sekiranya lebih banyak bantuan sampai pasti sebarang kemungkinan lain dapat dielakkan.

Terdapat juga pengguna yang memaki pasukan keselamatan kerana tidak bertindak mengalih laluan menjadi satu lorong untuk dua hala atau menutup laluan di persimpangan keluar Gurun dan menghalakan ke laluan biasa.

Bagi saya, ini bukan tugas pasukan keselamatan, Polis atau Bomba. Keutamaan mereka kes kemalangan, bukan memudahkan laluan pengguna. PLUS yang sepatutnya memikul tanggungjawab ini kerana laluan ini adalah laluan berbayar. Saya cukup hairan dengan kerenah pengguna yang tidak tahu menilai pengorbanan Polis dan Bomba.

Dikatakan kemalangan itu berlaku jam 6.30 pagi, saya yang tersekat laluan jam 7.10 pagi. Sepatutnya PLUS sebagai pihak yang bertanggungjawab dan mengutip bayaran, perlu bertindak cepat mengalihkan laluan utara ke selatan di persimpangan keluar Gurun secepat mungkin kerana kemalangan itu melibatkan trelar yang melintang jalan, kereta terbakar dan nyawa terkorban.

Memandangkan kebanyakan pengguna terdiri daripada golongan yang ingin pulang berhari raya, mereka sepatutnya bersabar dan bersyukur kerana masih ada peluang berhari raya. Ramai dalam kalangan mereka yang menyalahkan pihak Polis dan Bomba kerana lambat mengalihkan kenderaan yang terlibat.

Sedarkah mereka ini adalah kemalangan maut yang melibatkan kebakaran? Apakah mereka tidak nampak asap yang berkepul-kepul ke udara? Yang hairannya, kebanyakan yang bersikap begitu adalah golongan muda dan mereka dapat melihat dan rapat ke tempat kejadian.

Mungkin mereka perlu dididik lagi untuk memahami situasi sesuatu kejadian, bukan mengeluarkan kata-kata yang memualkan di bulan Ramadhan yang mulia ini.

30 Ogos, 2009

Kebesaran-Mu Yang Menyelamatkanku

Seperti biasa, pagi hari bekerja saya bertolak dari rumah jam 6.50 pagi. Melalui jalan Jitra - Alor Setar, simpang ke kanan di persimpangan Kepala Batas dan menuju ke Kampung Telaga Mas melintasi Taman Pinang Jaya dan Kampung Padang Kunyit.

Malangnya pagi ini berlaku sesuatu yang tak terduga dan hanya kebesaran Allah yang mampu tergambar pada diri saya.

Entah bagaimana ketika sedang memandu, terlihat betul-betul di depan saya sebatang pokok sebesar pemeluk tumbang ke arah jalan raya.

Saya tiada pilihan melainkan menekan brek serapat mungkin. Malangnya jalan yang licin selepas hujan tetap melongsorkan kereta dan hanya terhenti bila terhadang dahan kayu. Cermin hadapan retak, bumbung kemek teruk, bumper hadapan rosak dan lampu pecah.

Nasib baik tiada ranting yang menikam ke dalam kereta, kalau tidak BERBURU KE PADANG DATAR akan tamat tanpa diketahui apa yang terjadi kepada penulisnya.

Mujur tiada kecederaan yang dialami. Hanya kereta rosak teruk terperosok ke dalam rimbunan pokok yang tumbang itu.
Gambar diambil dengan kamera telefon tangan, tak begitu jelas.

Inilah kali ketiga saya terselamat dalam kemalangan yang hampir meragut nyawa.

Kali pertama, kemalangan dengan kereta di jalan Teluk Intan - Batak Rabit .

Kali kedua, kemalangan dengan lembu di jalan Pokok Sena - Kuala Nerang.

Maha suci Allah, sesungguhnya kebesaran-Mu yang menyelamatkanku.

28 Ogos, 2009

Masak Rendang Kerang

Entah kenapa hari ini teringat pula nak makan rendang kerang. Masakan ni dulu-dulu Kakak Inor yang rajin buat.

Masa kanak-kanak dulu, tugas saya cuma sebagai tukang kupas kerang, namun kerana kerap melihat dan menolong Kakak Inor memasak, saya dapat kuasai cara membuatnya.

Jadi, hari ini saya cuba semula kemahiran memasak yang telah lama ditinggalkan. Maklumlah, tugas itu kini dipegang sepenuhnya isteri tersayang dan dibantu bibik dari seberang.

Tengok gambar di bawah, sekarang baru jam 4.35 petang. Masa berbuka masih jauh lagi tapi rendang tersebut telah siap dihidangkan.



Inilah satu-satunya menu yang saya buat sendiri, yang lain tugas siapa lagi kalau bukan isteri tersayang.

Kalau ada yang nak cuba, saya sertakan bahan dan cara membuatnya, tapi kalau tak sedap jangan mareee............

Bahan

2 kilo kerang hidup
1 batang serai
5 cm langkuas
5 cm halia
5 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
10 tangkai cili kering
5 tangkai cili padi
5 helai daun kunyit - hiris halus
1 mangkuk santan
Garam secukup rasa (Boleh dicampur bahan perasa mengikut kegemaran masing-masing)

Cara membuat

Rebus kerang terlebih dahulu. Ambil isi sahaja
Kisar (blender) bawang, serai, lengkuas, halia, cili kering dan cili padi
Panaskan minyak dan tumis bahan kisar itu sehingga pecah minyak
Masukkan kerang beserta secawan air rebus kerang tersebut
Masukkan santan
Setelah sebati, masukkan daun kunyit yang telah dihiris halus
Masukkan garam secukup rasa

Tunggu sehingga pecah air liur. Ha..ha...ha...ha.....

16 Ogos, 2009

Kenapa Jadi harimau?

Ramai yang bertanya saya, "Kenapa tukar gambar jadi harimau? Ada makna ke?"

Saya jawab, "Ya, sesuai dengan pegangan saya selama ini."

1. Jangan terlalu percaya sesiapa pun, kecuali diri sendiri.

2. Jangan ambil tahu kerja orang, buat kerja sendri.

3. Percaya pada gerak hati.

4. Bila buat sesuatu, jangan tinggal sebarang petunjuk kelemahan kita.

5. 'Biar rebah menyembah bumi, misai jangan cecah ke tanah."