Imej diambil daripada Utusan Online: 18 September 2009 Pada hari ini, saya yang kebetulan hendak ke Lapangan Terbang Bayan Lepas, Pulau Pinang terperangkap dalam kesesakan akibat kemalangan ngeri yang melibatkan sebuah trelar dan 3 buah kereta di Hinghway Utara-Selatan berhampiran Gurun. Saya tidak mahu mengulas tentang kemalangan itu tetapi ingin menyentuh peri laku pengguna jalan raya yang cukup tidak bertimbang rasa.
Apabila jalan sudah sesak dan kenderaan telah berhenti, ada kereta dan lori yang menggunakan laluan kecemasan. Akibatnya, ambulans dan Bomba dari arah Gurun tidak dapat sampai ke tempat kejadian dengan cepat kerana laluan kecemasan telah dipenuhi dengan kereta dan lori tadi yang juga terpaksa menghentikan kenderaan.
Bagi saya, tindakan mereka amat keterlaluan dan mungkin ada nyawa yang boleh diselamatkan sekiranya bantuan kecemasan dapat tiba dengan cepat. Memang ada ambulans dan Bomba dari arah Sungai Petani yang tiba dengan cepat, tetapi sekiranya lebih banyak bantuan sampai pasti sebarang kemungkinan lain dapat dielakkan.
Terdapat juga pengguna yang memaki pasukan keselamatan kerana tidak bertindak mengalih laluan menjadi satu lorong untuk dua hala atau menutup laluan di persimpangan keluar Gurun dan menghalakan ke laluan biasa.
Bagi saya, ini bukan tugas pasukan keselamatan, Polis atau Bomba. Keutamaan mereka kes kemalangan, bukan memudahkan laluan pengguna.
PLUS yang sepatutnya memikul tanggungjawab ini kerana laluan ini adalah laluan berbayar. Saya cukup hairan dengan kerenah pengguna yang tidak tahu menilai pengorbanan Polis dan Bomba.
Dikatakan kemalangan itu berlaku jam 6.30 pagi, saya yang tersekat laluan jam 7.10 pagi. Sepatutnya PLUS sebagai pihak yang bertanggungjawab dan mengutip bayaran, perlu bertindak cepat mengalihkan laluan utara ke selatan di persimpangan keluar Gurun secepat mungkin kerana kemalangan itu melibatkan trelar yang melintang jalan, kereta terbakar dan nyawa terkorban.
Memandangkan kebanyakan pengguna terdiri daripada golongan yang ingin pulang berhari raya, mereka sepatutnya bersabar dan bersyukur kerana masih ada peluang berhari raya. Ramai dalam kalangan mereka yang menyalahkan pihak Polis dan Bomba kerana lambat mengalihkan kenderaan yang terlibat.
Sedarkah mereka ini adalah kemalangan maut yang melibatkan kebakaran? Apakah mereka tidak nampak asap yang berkepul-kepul ke udara? Yang hairannya, kebanyakan yang bersikap begitu adalah golongan muda dan mereka dapat melihat dan rapat ke tempat kejadian.
Mungkin mereka perlu dididik lagi untuk memahami situasi sesuatu kejadian, bukan mengeluarkan kata-kata yang memualkan di bulan Ramadhan yang mulia ini.
1 ulasan:
Salam Cikgu.
Salah sebuah kereta yang terlibat dalam perjalanan dari Malau, Jitra ke Sg.Layar Hujung, Sungai Petani utk menziarahi sepupu saya.
Anak saya melihat sepupu saya itu di kaca TV sedang memberi pertolongan, saya amat terkejut dengan peristiwa itu.
Catat Ulasan