14 Mei, 2011

Si Sulung Mula Beraksi

Sejak di bangku sekolah rendah lagi, saya risau memikirkan kebolehan beliau. Bermain bola sepak.....jauh sekali. Dia hanya boleh menggunakan kaki kanan, kaki kiri tidak berfungsi untuk aksi bola sepak, bermakna permainan ini bukan kebolehannya.

Badminton...jauh sekali. Kerisauan saya bertambah luas bila dia diterima masuk ke sekolah berasrama penuh. Persaingan pada peringkat ini lebih banyak dan dia perlu membuktikan satu permainan yang boleh membantunya mengatasi orang lain.

Selepas memasuki sekolah berasrama penuh di utara tanah air, keadaan mula berubah. Dia mula berjinak-jinak dengan hoki.

Awal tahun 2011, dia meminta belikan batang hoki jenis campuran fiber dan kayu. Memandangkan dia bersungguh-sungguh, saya belikan dengan berat hati, maklumlah awal tahun belanja persekolahan Si Sulung dan adik-adiknya cukup banyak.

Cuti pertengahan penggal pertama tahun 2011, dia meminta belikan kasut hoki khas, katanya untuk bermain di padang tiruan. Memandangkan kami sedang bercuti di Ipoh, saya bawa ke pasaraya di sana.

Perhhhhh....harganya mencecah ratusan ringgit. Akhirnya ibunya berkorban membelikan kemahuan anak sulung.

Awal April 2011, Si sulung memaklumkan akan bermain untuk pasukan sekolahnya. Saya terkejut. Sepanjang pengetahuan saya, hoki peringkat sekolah menengah hanya untuk bawah 18 tahun, tiada pertandingan bawah 15 tahun, sedangkan dia baru berada dalam Tingkatan Dua.

Akhirnya, dia membuktikan segalanya.....Bukan sebagai pemain simpanan, tapi pemain utama...posisi penyerang...paling memeranjatkan saya, dia satu-satunya murid Tingkatan Dua yang bermain sebagai kesebelasan utama untuk semua perlawanan.

Dan yang paling memeranjatkan saya, pasukan sekolahnya berjaya menjadi JUARA peringkat daerah.

Yang sedihnya, Si Ayah tidak menonton perlawanan yang ditandinginya. Tapi Si Sulung setiap kali pulang ke rumah "outing" dengan gembira menceritakan kejayaannya menjaringkan gol sehingga membawa pasukannya ke perlawanan akhir.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

"Mak, Amir botakkan kepala bayar nazar johan hoki" ayat pertama sebaik saja masuk ke dalam kereta semasa balik bercuti baru-baru ini,mak hanya tersenyum melihat wajah dan mendengar alasan yang diberikan sambil memandu Avanza keluar dari kawasan asrama ke pintu pagar sekolah.....