26 Februari, 2009

Menara Condong Teluk Intan


Setiap kali pulang ke kampung, saya tidak akan lupa membawa anak-anak melihat dan mengunjungi Menara Condong Teluk Intan. Inilah satu-satunya menara condong yang ada di Malaysia dan yang kedua di dunia selepas Menara Pisa di Itali.

Terletak di suatu sudut Jalan Selat bersebelahan Jalan Pasar, kedudukannya di tengah bandar menjadikannya mercu tanda sejarah yang tidak terlepas dari pandangan pengunjung.

Dibina pada tahun 1885 dan dikenali sebagai Jam Tinggi kerana memiliki sebuah jam yang masih berperanan hingga ke hari ini.

Bangunan ini dibina oleh seorang yang bernama Choong Cheong atau Ah Cheong yang mendapat inspirasi bangunan pagoda di negeri China.

Tujuan asal pembinaannya ialah bagi menempatkan sebuah tangki air. Air daripada tangki ini digunakan oleh penduduk setempat sekiranya berlaku kemarau atau sebagai keperluan memadam api sekiranya berlaku kebakaran. Pada waktu itu bandar ini tidak mempunyai perkhidmatan bomba.

Pada tahun 1889 dan 1895 banjir besar telah berlaku sehingga menyebabkan bangunan tersebut condong dan menjadikannya lebih unik.

Sewaktu saya masih bersekolah, di sekitar Menara Condong ini dikelilingi deretan bangunan kedai. Walau bagaimanapun, kesemua bangunan itu kini telah tiada dan dibina pula dataran yang rata dan cantik untuk menarik minat pelancong.

Bagi yang berupaya, kita boleh menaiki bangunan ini, walau bagaimanapun kerana tangga Menara ini menegak dan sempit, ramai yang beralah dan membatalkan niat untuk meninjau Pekan Teluk Intan dari atas Menara ini.

Tiada ulasan: