Arwah Atuk dan Nenek saya berasal dari Tanah Benua Banjarmasin. Semasa hayatnya, Arwah Nenek pernah bercerita tentang HANTU MAK. Mungkin cerita ini tidak pernah didengar atau dibaca lagi oleh kita yang tinggal di Semenanjung Malaysia.
Diceritakan, dahulu kala di sebuah perkampungan di pinggir Sungai Barito telah lahir seorang kanak-kanak lelaki yang tidak mempunyai ayah yang sah. Ibunya berasa kehidupan mereka akan sukar kerana jika diketahui oleh masyarakat, sudah pasti mereka dipulau dan dihalau dari kampung tersebut.
Oleh itu, pada suatu malam, si ibu telah membawa anaknya keluar dan menuju ke sebuah hutan yang sangat tebal dan tidak pernah dikunjungi oleh penduduk di situ. Anak kecil yang tidak berdosa itu ditinggalkan keseorangan dalam hutan tanpa belas kesihan.
Tinggallah anak kecil itu menangis kelaparan sehari suntuk. Anak kecil itu menangis dengan kuat sehingga boleh menyebut perkataan "MAK".
Pada waktu subuh, kebetulan Hantu Langsuir dalam perjalanan pulang ke tempat persembunyiannya. Bila melalui kawasan itu, terdengar olehnya suara budak memanggil 'mak'. Hantu Langsuir mendekati panggilan itu dan dilihatnya seorang budak sedang terkapa-kapa memanggil 'mak'.
Mendengar panggilan 'mak' berulang-ulang, Hantu Langsuir menyua tangannya dan budak itu dengan senang menerima dukungan hantu itu. Memandangkan hantu itu tidak pernah mendukung budak, dia hanya mendukung budak itu dibahunya.
Memandangkan budak kecil itu kelaparan, dia menghisap-hisap belakang hantu itu dengan lahap. Hantu Langsuir itu membiarkan sahaja budak kecil itu menghisap darah oarang lepas bersalin yang baru diminumnya di kampung yang berdekatan. Walaupun tengkuk belakangnya luka, dia hanya membiarkan sahaja. Selepas itu, hantu membawa budak kecil itu pulang ke tempat persembunyiannya.
Begitulah berulang hari-hari. Setiap kali pulang dari menghirup darah dari kampung berdekatan, budak kecil itu didukungnya dan menghisap darah sehingga kenyang. Budak kecil itu juga telah biasa memanggil 'mak' kepada Hantu Langsuir dan itulah satu-satunya perkataan yang boleh dituturkan oleh budak kecil itu.
Setelah sekian lama, bertahun-tahun budak itu tidak membesar badannya seperti orang lain, tetapi kekal seperti yang dijumpai oleh hantu itu. Walaupun begitu, Hantu Langsuir tidak lagi mampu memberi makan kepada budak itu yang semakin lahap menghirup darah.
Suatu hari, Hantu Langsuir mendukung budak itu menuju ke kampung yang berdekatan. Ditinggalkannya budak itu di bawah pokok yang rimbun.
Budak itu menangis sambil memanggil 'mak'. Kebetulan seorang perempuan separuh umur melalui kawasan itu. Apabila melihat budak itu, perasaan kesihan menyelinap di hatinya dan didukungnya budak itu.
Walaupun begitu, budak itu seperti tidak mahu didukung di bahagian hadapan badan perempuan itu, malah semakin kuat menangis. Bebrapa kali perempuan itu mengubah cara dukungan dan akhirnya budak itu diam bila didukung di bahu oleh perempuan itu.
Dengan gembira perempuan itu berjalan pulang tetapi separuh jalan dia berasa amat sakit di bahagian tengkuknya. Rupanya budak itu telah menggigit dan mulai menghisap darah. Akhirnya perempuan itu mati.
Waktu malam, Langsuir datang dan mengubah budak itu ke tempat lain pula. Begitulah setiap hari sehingga ramai perempuan yang mati dan kematian itu berpunca dari lubang di tengkuk yang digunakan oleh budak itu untuk menghisap darah.
Walau bagaimanapun muslihat Hantu Langsuir dan budak itu dapat diketahui juga akhirnya oleh orang kampung. Atas nasihat bomoh dan dukun, tidak ada lagi orang kampung yang berani mendukung budak di atas bahu. Dipercayai dengan cara ini, budak itu tak akan dapat menghisap darah lagi.
Jika ada sesiapa yang memanggil dengan panggilan 'mak', akan ada yang menjawab, "Mak kau tak ada di sini, nu, di kampung seberang'.
Begitulah cerita yang disampaikan oleh Arwah Nenek saya. Kesilapan saya waktu itu ialah tidak menanya apakah kesudahan nasib budak itu? Adakah dia akan terus dibela oleh Hantu Langsuir atau bagaimana? Mungkin ada pembaca blog ini yang pernah mendengar cerita sebegini. Kalau ada tolong habiskan cerita ini supaya ada penamatnya.
Surat dari Masyarakat Burung kepada Datuk Bandar
4 minggu yang lalu
3 ulasan:
eeiiii, giler seram. saya tak pernah dengar cerita ni? kalau tak, tentu saya panggil mak saya mama ker, ummi ker, ibu ker, bonda ker.... ahaks
zaman skrang budak diletak bwh pokok, di tndas, di masjid sbb dibuang.
mungkin sebab itu, bilangan wanita skrang makin ramai drp lelaki...hehehe
Catat Ulasan