21 Mei, 2009

Habis Syiling, Jadi Maling.....

Agaknya begitulah perumpamaan yang sewajarnya diberikan kepada pencuri yang terlalu terdesak untuk mendapatkan wang.

Tengah hari tadi, selepas menghadiri Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Kedah yang diadakan di Kolej Universiti Insaniah, Alor Setar, saya menerima panggilan telefon daripada Pengerusi Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Pokok Sena, Tuan Haji Said Man, mantan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Kedah, rumah yang disewa telah diceroboh dan didapati bunga kerawang pada pintu pagar utama telah dipotong.

Beliau memaklumkan Laporan Polis telah dibuat untuk keselamatan pelatih, pekerja dan barangan milik PDK.

Mungkin kerana tiada benda lain yang boleh dicuri kerana rumah itu mempunyai ciri keselamatan yang ketat, bunga kerawang pagar pun mencukupi untuk dicuri.

Pada saya, ini mesti kerja "taik pit" atau penagih dadah yang sangat-sangat memerlukan wang untuk membeli bahan bagi mengatasi ketagihan mereka.

Agaknya, berapakah nilai 'benda' yang dicuri itu?

15 Mei, 2009

Hari Guru Tak Ada Makna .................

Seharian saya bungkam. Marah, mungkin. Sedih juga mungkin dan yang pasti sampai bila-bila pun akan tetap saya ingati peristiwa ini.
"
"
'
"
Jam 8.45 pagi, saya terima sms, "Cikgu, baju korporat akan saya hantar antara jam 11.00 - 1.00." Malangnya, sampai saya habis kelas jam 1.20 tengah hari, dia tak muncul-muncul juga. Telinga saya dah tak tahan mendengar rungutan guru-guru yang ada. Bilik guru yang beraircond, terasa panas, badan saya berpeluh.

Kemudian kelihatan Izati, PAR sekolah menggangkut beg plastik besar.

"Cikgu-cikgu, baju dah sampai. Ada 20 lagi, dia hantar petang nanti."

Bila dibuka, mulalah kedengaran rungutan.

"Laaaa, jahitan dauble."

"Awat tinggi sebelah, tak reti potong ke."

"Eh....Dulu kita pilih kain menghelit. Hak ni nampak kusam."

Tak sangka petang itu semua buat keputusan, "Kita jangan ambik baju ni. Kita pakai baju lain untuk hari guru Ahad ni." Dan Pengetua yang ada di sebelah saya pun meletakkan baju yang ditempahnya. Kelihatan seorang demi seorang guru meninggalkan bilik guru.

Perancangan saya gagal. Baju korporat yang dicadangkan oleh saya sebagai Pengerusi Kelab Guru nampaknya ditolak walaupun telah siap.

Bagi saya tailor tu memang haprak. Janji nak siapkan seminggu sebelum Hari Guru peringkat sekolah yang disambut Ahad ini (17 Mei 2009), tapi petang ni baru hantar. Itupun 20 orang guru tak siap lagi dijahit. Tak kan nak tunggu sampai malam kat sekolah.

Masa saya di Sabah, dia telefon kata baju akan siap bila saya jejak kaki di Kedah, tapi sampai petang ni baru muncul. Bila masa cikgu-cikgu nak test, fitkan baju, baiki jahitan.

Kalau benar dia jujur, kenapa serahkan baju pada Izati, PAR sekolah? Kenapa tak serah pada saya, yang berurusan selama ini?

20 pasang yang tak siap siapa nak pakai? Petang mana ada cikgu kat sekolah, semua dah balik rumah. Esok Jumaat sekolah cuti.

Dan malam ni saya masih tak mengantuk. Memikirkan apa nak dibuat dengan baju korporat tu. Harapan nak pakai seragam untuk sambutan hari Guru dan ambil gambar untuk majalah sudah punah.

Bagaimana dengan bayaran? Pasti ramai guru yang tak mahu bayar kerana tak puas hati dengan buatan yang tak sepadan dengan harga. Bayangkan, guru lelaki RM63 dan guru perempuan RM105. Semua sekali bayaran dekat RM7,000. Nasib baik saya tak arahkan Bendahari Kelab Guru buat bayaran dahulu. Kalau tak mesti kopak habis duit kelab.

Yang pasti tailor tu memang "tak pakai satu sen".

09 Mei, 2009

Kunjungan ke Sabah....

Sepanjang 5 hari di Sabah, sempat bertemu Dino - Kembara Cinta, membeli-belah di Pasar Filipina dan yang menarik, melihat sendiri keindahan Gunung Kinabalu. Sesungguhnya ciptaan Allah ini adalah untuk mereka yang mahu berfikir tentang kekuasaan-Nya.

30 April, 2009

Kehidupan Baru Bermula?

Benarkah pernyataan itu? Entahlah, saya sendiri tidak berasa apa-apa perbezaannya, hari ini dengan semalam. Hari ini genap umur saya 40 tahun, sudah tuakah saya? Entahlah, rasanya tiada yang menarik dengan perubahan umur ini.

Rutin kehidupan berjalan seperti biasa. Bangun pagi jam 5.40, terus mandi dan buat persiapan diri. Selepas selasai tugas hakiki kepada Ilahi, sekali lagi bersiap diri untuk pergi bekerja. Sambil itu, bangunkan anak-anak dan minta mereka melengkapkan diri untuk ke sekolah.

Jam 6.55, ajak anak yang ketiga, A'mmar naik kereta dan bergerak ke Tadika Cahaya Idaman. Selepas menurunkan A'mmar, bergerak melalui jalan Jitra-Alor Setar, kemudian ambil simpang ke kiri di Pekan Kepala Batas, ambil simpang ke kanan di Bukit Tinggi dan sekali lagi simpang ke kiri menuju ke Bukit Pinang.

Sebelum sampai ke Bukit Pinang, ambil simpang ke kiri dan memandu terus melalui Taman Pinang Jaya, Kampung Kubang Lintah dan bila sampai di Lancuk-Padang Kunyit, simpang ke kanan melalui Telaga Mas, Bukit Teriak. Sampai di Tandop Satu berhampiran Kampung Belukar, ambil ke kiri melalui jalan sepanjang Sungai Santap.

Bila tiba di simpang Jalan Alor Setar-Kuala Nerang, simpang ke kiri lagi. Lebih kurang 300 metar, sekali lagi simpang ke kanan di Persimpangan Kebun 500. Dalam jarak 100 meter, simpang ke kanan memasuki kawasan sekolah.

Itulah rutin harianku. Mujurlah sepanjang perjalanan sawah padi sentiasa berubah wajah mengikut musim. Ada ketikanya hijau saujana mata memandang, ada ketika pula kuning padi masak manghimbau perasaan. Paling menarik bila melihat ada kanak-kanak dan orang tua berlari-lari anak membakar jerami selepas dituai hasilnya.

Pernah beberapa kali saya berhenti memandu kereta bila melihat kanak-kanak mengikut traktor membajak sawah. Mereka berebut-rebut dan saling bertolakan menangkap ikan keli, haruan dan puyu yang mabuk diputar mesin.

Saya sendiri tidak pasti sampai bila rutin ini akan berlangsung.

Yang pasti, saya sendiri tak merasai perubahan umur ini, biarpun belum ada yang mengucapkan Selamat Hari Jadi.

26 April, 2009

Cikgu Merokok Depan Pelajar????????????

Imej disalin daripada blog Halaqoh Dakwah

Usah merokok depan pelajar


CHERAS: Guru yang merokok dinasihatkan tidak berbuat demikian depan pelajar kerana tabiat itu boleh menjadi ikutan.
Kajian Kementerian Kesihatan pada 2005 mendapati, kira-kira 42 peratus pelajar yang merokok mengaku terpengaruh oleh tindakan guru mereka, manakala 16 peratus lagi kerana pengaruh ibu bapa.
Timbalan Pengarah (Kesihatan Awam) Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Dr Sallehudin Abu Bakar, berkata statistik itu menunjukkan guru lebih berpengaruh daripada ibu bapa.
Menurutnya, mungkin kerana pelajar banyak menghabiskan masa di sekolah dan lebih rapat dengan guru hingga segala perbuatan, termasuk tabiat tidak baik, menjadi ikutan selepas terpengaruh.
Katanya, pelajar mungkin menganggap tingkah laku guru mereka wajar dicontohi walaupun sebenarnya tabiat itu tidak baik dan boleh memberi kesan negatif kepada diri sendiri.
“Ini dapat kita lihat mengenai peningkatan jumlah pesakit kanser, kini pada usia 20-an dan 30-an sudah menghidapnya,” katanya.

Itulah petikan akhbar Harian Metro bertarikh 26 April 2009, hari ini.

Persoalan yang ligat bermain di kepala saya ialah apakah Pengetua atau Guru Besar yang berada di sekolah yang dibuat kajian oleh Kementerian Kesihatan pada tahun 2005 itu hanya "Pak Pacak" atau tunggul kayu? Apakah mereka tidak mengetahui ada guru di sekolah mereka yang menghisap rokok depan pelajar? Bukankah semua sekolah telah diwartakan sebagai kawasan larangan merokok?

Saya juga mempunyai beberapa orang rakan setugas yang memang ketagih dengan rokok, tapi kadangkala saya kesihan dengan mereka yang terpaksa bersembunyi dan mencari tempat yang tersorok untuk menghisap rokok.

Malah sepanjang saya bertugas, belum pernah saya melihat guru yang menghisap rokok dalam Bilik Guru, inikan pula menghisap rokok depan pelajar.

Kalau benar seperti yang dinyatakan itu, saya rasa guru berkenaan mungkin menghadapi masalah mental.

Pantun: Tugas Guru

A-B-c dan alif ba-ta
Satu dua tiga dan empat
Selalu cikgu ajar kita
Ditubi-tubi sampai dapat

Satu dua tiga empat
Lima enam tujuh lapan
Ditubi-tubi sampai dapat
Bila dapat maju ke depan

Lima enam tujuh lapan
Rajin belajar cepat maju
Bila dapat maju ke depan
Terima kasih banyak, Cikgu!

Betik masak lebat di pangkal
Penuh kapal bawa belayar
Baik budi panjang akal
Hormat guru tekun belajar

Manis rasanya buah delima
Masak sebiji di celah daun
Budi guru saya terima
Jadi kenangan bertahun-tahun

Pohon palma tegak berdiri
Ditanam mari tepi bangunan
Ilmu di dunia terus dicari
Jasa guru dilupa jangan

Waktu malam mencincang halia
Masak cencaru berserai wangi
Muris silam patuh setia
Hormat guru serta disayangi

Pergi memburu ke hutan lama
Dapat rusa di waktu pagi
Kalau ilmu ku dapat sama
Usaha guru ku sanjung tinggi

Pakai baju warna biru
Ke sekolah hingga pukul satu
Murid sentiasa hormatkan guru
Kerana guru pembekal ilmu

Orang haji dari Jeddah
Buah kurma berlambak-lambak
Pekerjaan guru bukanlah mudah
Bagai kerja menolak ombak


Dipetik daripada Blog istimewa2u