22 Mac, 2009

Belajar Bahasa Orang Utara

Hari ini, saya nak senaraikan perkataan yang digunakan oleh orang utara (Kedah khususnya). Bagi yang tak biasa, mungkin boleh tergeliat lidah menyebutnya, sebagaimana yang saya alami waktu mula-mula bermastautin di sini.

1. ghe-ngau – cakar
2. se-qheyat - reda/ surut
3. hambat – kejar
4. pe-qhembang - bidik (aim)
5. contiang – lukis
6. ligan – kejar
7. cemuih - bosan/jemu
8. tokak – gigit
9. gey-ghek – basikal
10. gon - cerun (bukit kecil)
11. belemoih - comot/ kotor
12. tetomoih – tersungkur
13. ku-tey – cubit
14. tak dan - tak sempat
15. hebiaq – celupar
16. maneh melecaih - tersangat manis
17. Lincun/lencun – basah
18. lokoih – kuyup
19. kawaq – pencuri
20. kanyaq - mentah (berhingus)
21. ketegaq - degil
22. he-ghot petot - senget benget
23. me-ghela - gatal
24. log laq - cemekap/ cuai
25. hawin - pusing
26. punggai - baling/ lempar
27. tengalong - tuju/ baling
28. me-ghe-kah - Kupas/ koyak
29. ayaq achaq - air longkang
30. ha-ghin - hancing
31. kelepiaq - melibas
32. kelolo - "tak berapa betul"
33. hemoi - "muka tak malu"
34. me-ghe-nyeh - menggatal
35. da-oh - tak "matching"
36. hapak pera'e - bau hapak
37. hijau me-ghe-ngak - terlalu "hijau"
38. celuih - muat
39. me-ghelit me-ghelap - berkilau- kilau
40. me-ghe-yup - jauh/ sayup
41. ghem-pang - "tergedik- gedik"
42. kampoi - kumpul/ kaut
43. je-ghang - rebus
44. capoi - celupar
45. te-ghe-bey - lastik
46. melo-ghoih - lucut/ gelongsor
47. me-gho-not - membongkok
48. sene-gheh - selisih
49. be-gha-chaq - comot/ kotor
50. kahaq - nakal
51. pedo - hati-hati
52. peysoh - urus
53. hapuih - tenggelam (lemas)
54. ghan-dok - redah
55. se-ghoh - kebah/ kurus
56. ghen-jong - tinggi lampai
57. pe-gho-ngoih - panas baran
58. takek - ketuk/potong
59. be-ghemba - bersaing/ lumba
60. ghe-tiaq - ikhtiar/ fikir
61. ge-ghet - gigit
62. tahaq - tahan
63. gha-gaih - panjat
64. melewaq - merayau
65. melahaq - kebulur
66. gha-bat - naik/panjat
67. ghim-bok - belasah
68. melilau - jalan- jalan
69. cuak - seram
70. juih - mulut muncung
71. luku - ketuk kepala
72. ghodong - melulu
73. ghedah - redah
74. ayaq seghabat - air sirap
75. peqhasat - sangat dengki
76. mandom - lembap
77. ceghoi/ca-roi - sangat cair
78. tepok - lumpuh
79. gha-bit - terkoyak
80. kok-ko - dukung
81. mai - mari
82. terple'ot - terseliuh
83. gomoi - bergaduh/ bergusti
84. ketit - cubit
85. ga-ghet - gatal/ mengada-ada
86. nala - tersangat
87. mang-kark - buah tak masak
88. bergenuak - berduyun- duyun
89. pediah - makan
90. polok - makan penuh-penuh
91. tey-liang - senget
92. ghe-lin - jeling
93. peng-kaq - kaki tempang
94. me-qhe-nyut - serabut
95. kesot - alih
96. lanyau - bersihkan
97. cempong - angkat/ dukung
98. cepung - kepung
99. conek - ekor
100. depa - mereka

20 Mac, 2009

SMK Sematan - Penempatan Pertama














Gambar disalin daripada rachaelsoong.wordpress.com


SMK Sematan, Lundu, sarawak membawa banyak kenangan yang tidak mungkin dilupakan. Saya tidak mampu mengungkapkan pengalaman bertugas di sana terlalu banyak kenangan yang dilalui.

Cikgu Tapin, Cikgu Rambee, Cikgu Ri Gindan dan Cikgu Peter Bair antara beberapa nama yang masih ada dalam ingatan saya. Pengalaman menembak rusa bersama Cikgu Peter Bair merupakan antara kenangan manis yang saya bawa pulang ke Semenanjung.

Bersama Cikgu Al-Husaini dan Cikgu Zainuddin kami bergerak menaiki bas dari stesyen bas Kuching menuju ke SMK Sematan. Memang hati kami seronok, manakan tidak, dapat penempatan dalam Bahagian Kuching, tapi yang terjadi sebaliknya.

Perjalanan dari Kuching ke Bau memang selesa, tapi menuju ke Lundu dan Sematan mula menyiksa dengan jalan berlubang-lubang dan simpang-siur laluan balak. Untuk sampai ke Pekan Lundu, terpaksa menaiki feri pula.

Bertolak jam 8.30 pagi, 7.30 malam baru sampai ke sekolah. Kami disambut oleh beberapa orang guru antaranya Cikgu Hafiz, Cikgu Zainal dan Cikgu Ri. Memandangkan kami sampai lewat, Cikgu Zainal membawa kami bermalam di rumah sewanya.

Bermula dari hari itu, kami bertiga menjalankan tugas sebagai guru di Bumi Kenyalang.

Peristiwa batang penyapu patah di bahu kanan saya sampai kini terus bermain dalam ingatan. Entah kenapa, saya sendiri tidak pasti puncanya? Mungkin ada perkataan yang saya gunakan hari itu tidak sesuai dan maknanya berbeza dengan tanggapan pendengar hingga tercetus kejadian itu. Menurut Cikgu Yaakob, cerita ini masih dituturkan oleh guru-guru yang sedang berkhidmat di SMK Sematan.

Walau bagaimanapun, saya tidak lama di sana. Penghujung tahun 1995, saya bertukar ke SMK Hosba, Jitra dan tinggallah Al-Husaini dan Zainuddin meneruskan khidmat di sana hingga mendirikan istana bahagia dengan gadis Lundu dan Kuching.

Khabarnya, Al-Husaini kini berkhidmat di Klang dan Zainuddin telah kembali ke Melaka.

12 Mac, 2009

Sabar saje le...........

Hari ini antara jam 11.20 hingga 12.40, saya masuk mengajar kelas 5F, kelas yang terakhir dalam aliran Tingkatan 5. Hanya 15 orang pelajar yang hadir, kurang setengah daripada bilangan sepenuhnya pelajar dalam kelas tersebut.

Mood belajar mereka nampak kurang dan bila saya masuk mereka terus duduk di tempat masing-masing.

Selepas memberi salam dan berdoa, seorang pelajar berkata, "Cikgu, hari ni kami tak bawa buku. Hari last sekolah, Cikgu. Rilek le."

"Baiklah, berapa orang yang bawa buku hari ni?" Kelihatan hanya 3 orang pelajar yang mengangkat tangan.

"Tak pa, kita teruskan juga pelajaran macam biasa. Baik, semua keluarkan kertas kosong, salin nota yang saya beri. Balik nanti tampal dalam buku Tatabahasa. Jangan rajin sangat, nak salin semula, tampal sahaja."

"Cikgu, kita nak belajar apa hari ni?", tanya Ketua Tingkatan.

"Hari ini kita belajar penggunaan Kata Sendi Nama."

"Cikgu, cerita la dulu. Boring, Cikgu. Kalau Cikgu cerita, lepas tu, kita belajar macam biasa, Cikgu," sambung Aiman Akmal.

"Betul, Cikgu. Kami janji, lepas Cikgu cerita, kita belajar macam biasa," sampuk Penolong Ketua tingkatan.

"Baiklah, saya cerita, tapi lepas tu, kita sambung pelajaran macam biasa." Serentak dengan itu semua pelajar bersorak dan tepuk tangan.

Saya terus bercerita kepada mereka.

Satu hari, ada sebuah kapal terbang yang membawa 37 orang gila untuk dihantar ke Tanjung Rambutan. Ketika dalam penerbangan, kedengaran bunyi bising dan bersorak dalam kapal terbang tersebut.

Pilot meminta pembantunya melihat dan memberi amaran supaya mereka diam. Pembantu pilot itu terkejut melihat hampir kesemua orang gila itu sedang bermain bola sepak.

Pembantu pilot itu berkata, "Hoi, mana boleh main bola dalam kapal terbang? Kalau nak main pergi kat luar."

Semua orang gila itu terus diam dan duduk di tempat masing-masing.

Selepas meneruskan penerbangan lebih 20 minit, pilot hairan kerana tidak kedengaran langsung bunyi bising dalam kapal terbang tersebut. Dia pun menyerahkan tugas memandu kepada pembantunya dan pergi ke ruangan penumpang.

Alangkah terkejutnya pilot itu bila melihat hanya ada 15 orang sahaja dalam kapal terbang itu, 22 orang gila telah hilang.

Dia pun bertanya kepada salah seorang yang ada di situ, " Mana yang lain?"

"Depa semua terjun, tuan. Tadi kami tak dibagi main bola kat sini. So, depa semua terjun, main bola kat luar."

"Habis, yang kamu semua pasal apa tak terjun sama?"

"Maaf tuan, kami pemain simpanan."

Serentak dengan itu kedengaran seorang pelajar saya menyampuk, "Sampai hati Cikgu kata kami orang gila. Kami datang sekolah nak belajar, bukan pemain simpanan bola sepak orang gila."

Kelihatan muka sayu dan sedih pelajar kelas tersebut.

"Ha, kan saya kata tadi, orang gila kerja dia cuma main. Kamu semua yang datang ni nak belajar. Ada 15 orang, kan."

"Kamu semua yang tinggal dalam kapal terbang tadi. Kamu tak terjun sebab kamu pandai."

Kulihat muka pelajar dalam kelas itu kembali ceria dan tersenyum-senyum.

'Cikgu, kita belajar, Cikgu. Kami pandai, kami nak belajar. Yang tak datang sekolah hari ni semua orang gila, sebab tu depa tak datang sekolah."

Selepas itu saya dapat meneruskan pengajaran macam biasa tanpa ada gangguan lagi.

Sabar saje le.........................

09 Mac, 2009

Kalau Berani, Buat........

Kali ini, saya ingin menceritakan satu pengalaman yang saya lalui sendiri. Walaupun, saya yang bersalah, tetapi saya dapat mengetahui bahawa pergerakan kita sentiasa diperhati dan dilaporkan kepada bos. Mungkin ada yang ingin menjadi 'CNN' atau tukang lapor, tapi jika tersilap kita juga yang malu.

Pagi itu, saya agak kalut. Anak-anak tak mahu ke rumah pengasuh kerana atuk mereka datang malam tadi. Hanya yang kecil sahaja dihantar, sementara dua beradik lagi duduk di rumah bersama atuk mereka.

Masalahnya, di rumah tiada makanan basah dalam peti sejuk. Mengikut perancangan, petang nanti baru saya ke pasar malam membeli bekalan untuk disimpan dalam peti sejuk, tetapi malam itu ibu mentua datang ke rumah.

Selepas menanda kehadiran di pejabat, saya terus ke bilik Penolong Kanan dan bersembang tentang isu semasa. Bila Pengetua melalui bilik Penolong Kanan, saya menyapa dan berbincang tentang projek yang akan dijalankan oleh PIBG. Kebetulan pada tahun itu, saya adalah Setiausaha PIBG sekolah.

Selesai lapor diri, saya terus ke kantin dan membungkus beberapa jenis lauk yang telah siap dimasak. Saya berlari ke arah motosikal dan terus balik ke rumah menghantar bekalan makanan untuk anak-anak dan ibu mentua.

Pergerakan dari sekolah ke rumah dan balik semula ke sekolah mungkin dalam tempoh 10 minit sahaja. Bila sampai ke sekolah, saya terus ke pejabat untuk mengambil Buku Rekod Kedatangan Pelajar.

Ketika itulah Pengetua berkata, "Ni, Cikgu Amin ada, sapa kata dia balik? Baru tadi dia sembang dengan saya fasal PIBG."

Kemudian Penolong Kanan pula menyampuk, "Min, hang jadi Superman ke? Kutu mana habaq hang balik rumah?"

Saya perhatikan ketika itu, dua orang guru berkerut dahi dan masam muka. Mungkin menyembunyikan sesuatu yang hanya mereka yang tahu.

Tapi, dalam hati saya berkata, "Oh.......Depa ni rupanya CNN."

Nasib baik saya terus balik ke sekolah selepas menghantar lauk tersebut. Jika tidak, pasti lain cerita yang terjadi.

Walau bagaimanapun, saya sebenarnya yang bersalah. Sepatutnya saya meminta izin daripada Pengetua untuk keluar kawasan sekolah. Kalau saya minta izin, pasti beliau membenarkan, tambahan lagi, saya tiada kelas lagi pagi tersebut.

Namun, ada baiknya juga peristiwa itu berlaku, sebab saya dapat mengetahui bahawa setiap pergerakan kita di sekolah sentiasa ada yang memerhati dan akan dilaporkan kepada pihak atasan jika kita tersilap langkah.

04 Mac, 2009

Tema Hari Guru 2009

Tema Hari Guru 2009 ialah GURU PEMBINA NEGARA BANGSA.
Rujuk link berikut untuk kepastian, http://www.nutp.org/malay/images/berita/tema.pdf

02 Mac, 2009

Acar atau Acaq atau Acad (Dialek Kedah)

Saya cuba mengenang kembali hari pertama saya bertugas di Kedah, iaitu di SMK Hosba, Jitra. Saya mula melapor diri pada hari Ahad, minggu kedua persekolahan, dalam bulan Disember 1995.

Kedatangan saya dialu-alukan Pengetua dalam perhimpunan pagi. Dua tiga kali nama saya disebut dalam perhimpunan itu. Selain diperkenalkan kepada pelajar, beliau juga membacakan biodata saya. Saya masih ingat lagi ayat beliau, "Cikgu Amin anak Perak pertama yang bertugas di sini. Jadi loghat Peraknya masih pekat."

Selepas perhimpunan saya dibawa ke bilik guru. Di bilik guru saya berbual dengan beberapa orang guru yang telah lama berkhidmat di situ, antaranya Cikgu Mat Isa Ariffin, Cikgu Saidi Salim, Ustaz Man Kain, Ustaz Salam dan Cikgu Ismail.

Dalam bilik guru itu, saya menerima kuliah tentang penggunaan dialek Kedah. Cikgu Mat Isa memberitahu dialek Kedah cukup mudah dipelajari.

"Senang saja, Min, kalau hujung perkataan tu huruf 'r', hang tukaq jadi 'q'. "

Disampuk pula oleh Cikgu Ismail, "Alor Setar jadi Aloq Setaq, tukar jadi tukaq, air jadi ayaq, pagar jadi pagaq."

Setelah lama berbual, kamipun menuju ke kantin. Kami mempunyai banyak masa untuk berbual kerana pagi itu ada taklimat kokurikulum yang disampaikan oleh Penolong Kanan Kokurikulum dalam dewan sekolah.

Sampai di kantin, kami terus mengambil makanan dan membuat bayaran. Sambil menikmati makanan kami terus berbual tentang kebolehan dan kemampuan pelajar Hosba menghadapi peperiksaan.

Mendapati kuah dalam acar timun telah kering, saya memanggil pengusaha kantin lalu berkata, "Kak, tolong tambah ayaq acaq."

Serentak itu berderai guru-guru yang ada di kantin ketawa sehingga ada yang tersembur makanan dalam mulut. Cikgu Mat Isa ketawa berdekah-dekah sampai menekan-nekan perut.

Setelah keadaan reda Cikgu Ismail mencelah, "Hang nak tambah ayaq acaq, Min. Hang ambik sendiri kat belakang tu, ayaq kumbahan."

Barulah saya sedar, rupanya ada kekecualian dalam dialek Kedah untuk perkataan acar. Acar disebut acad, bukannya acaq.