30 Ogos, 2009

Kebesaran-Mu Yang Menyelamatkanku

Seperti biasa, pagi hari bekerja saya bertolak dari rumah jam 6.50 pagi. Melalui jalan Jitra - Alor Setar, simpang ke kanan di persimpangan Kepala Batas dan menuju ke Kampung Telaga Mas melintasi Taman Pinang Jaya dan Kampung Padang Kunyit.

Malangnya pagi ini berlaku sesuatu yang tak terduga dan hanya kebesaran Allah yang mampu tergambar pada diri saya.

Entah bagaimana ketika sedang memandu, terlihat betul-betul di depan saya sebatang pokok sebesar pemeluk tumbang ke arah jalan raya.

Saya tiada pilihan melainkan menekan brek serapat mungkin. Malangnya jalan yang licin selepas hujan tetap melongsorkan kereta dan hanya terhenti bila terhadang dahan kayu. Cermin hadapan retak, bumbung kemek teruk, bumper hadapan rosak dan lampu pecah.

Nasib baik tiada ranting yang menikam ke dalam kereta, kalau tidak BERBURU KE PADANG DATAR akan tamat tanpa diketahui apa yang terjadi kepada penulisnya.

Mujur tiada kecederaan yang dialami. Hanya kereta rosak teruk terperosok ke dalam rimbunan pokok yang tumbang itu.
Gambar diambil dengan kamera telefon tangan, tak begitu jelas.

Inilah kali ketiga saya terselamat dalam kemalangan yang hampir meragut nyawa.

Kali pertama, kemalangan dengan kereta di jalan Teluk Intan - Batak Rabit .

Kali kedua, kemalangan dengan lembu di jalan Pokok Sena - Kuala Nerang.

Maha suci Allah, sesungguhnya kebesaran-Mu yang menyelamatkanku.

28 Ogos, 2009

Masak Rendang Kerang

Entah kenapa hari ini teringat pula nak makan rendang kerang. Masakan ni dulu-dulu Kakak Inor yang rajin buat.

Masa kanak-kanak dulu, tugas saya cuma sebagai tukang kupas kerang, namun kerana kerap melihat dan menolong Kakak Inor memasak, saya dapat kuasai cara membuatnya.

Jadi, hari ini saya cuba semula kemahiran memasak yang telah lama ditinggalkan. Maklumlah, tugas itu kini dipegang sepenuhnya isteri tersayang dan dibantu bibik dari seberang.

Tengok gambar di bawah, sekarang baru jam 4.35 petang. Masa berbuka masih jauh lagi tapi rendang tersebut telah siap dihidangkan.



Inilah satu-satunya menu yang saya buat sendiri, yang lain tugas siapa lagi kalau bukan isteri tersayang.

Kalau ada yang nak cuba, saya sertakan bahan dan cara membuatnya, tapi kalau tak sedap jangan mareee............

Bahan

2 kilo kerang hidup
1 batang serai
5 cm langkuas
5 cm halia
5 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
10 tangkai cili kering
5 tangkai cili padi
5 helai daun kunyit - hiris halus
1 mangkuk santan
Garam secukup rasa (Boleh dicampur bahan perasa mengikut kegemaran masing-masing)

Cara membuat

Rebus kerang terlebih dahulu. Ambil isi sahaja
Kisar (blender) bawang, serai, lengkuas, halia, cili kering dan cili padi
Panaskan minyak dan tumis bahan kisar itu sehingga pecah minyak
Masukkan kerang beserta secawan air rebus kerang tersebut
Masukkan santan
Setelah sebati, masukkan daun kunyit yang telah dihiris halus
Masukkan garam secukup rasa

Tunggu sehingga pecah air liur. Ha..ha...ha...ha.....

16 Ogos, 2009

Kenapa Jadi harimau?

Ramai yang bertanya saya, "Kenapa tukar gambar jadi harimau? Ada makna ke?"

Saya jawab, "Ya, sesuai dengan pegangan saya selama ini."

1. Jangan terlalu percaya sesiapa pun, kecuali diri sendiri.

2. Jangan ambil tahu kerja orang, buat kerja sendri.

3. Percaya pada gerak hati.

4. Bila buat sesuatu, jangan tinggal sebarang petunjuk kelemahan kita.

5. 'Biar rebah menyembah bumi, misai jangan cecah ke tanah."

05 Ogos, 2009

Selsema Babi/Khinzir/H1N1


Saya salin artikel ini untuk panduan diri, keluarga dan pembaca yang ingin tahu tentang penyakit baru ini.


Apakah Selesema Babi?
Selesema babi adalah sejenis penyakit respiratory yang ditemui dalam kawanan babi disebabkan oleh virus influenza jenis A (H1N1). Selesema babi ini dikesan saban tahun dan biasanya terjadinya kepada mereka yang mempunyai kaitan dengan babi. Manusia biasanya tidak dijangkiti oleh virus ini tetapi jangkitan terhadap manusia telah dikesan. Virus selesema babi telah dilaporkan merebak dari manusia ke manusia lain. Tetapi pada masa lepas, pemindahan virus ini adalah terhad dan menjangkiti sehingga tiga orang sahaja.

Adakah Virus Ini Berjangkit?
CDC telah mengesahkan bahawa virus ini (H1N1) adalah berjangkit dan merebak dari seorang ke seorang manusia lain. Walau bagaimanapun masih belum diketahui cara dan bagaimana mudahnya jangkitan ini terjadi.

Apakah Tanda-tanda dan Simptom Demam Babi Terhadap Manusia?
Simptom selesema babi ini terhadap manusia adalah sama dengan simptom selesema biasa seperti demam, batuk, sakit tekak, sakit badan, pening kepala, sejuk dan kelesuan. Ada juga sesetengah kes cirit-birit dan muntah yang berkait dengan selesema burung yang dilaporkan.

Pada masa yang lepas, beberapa penyakit (kegagalan paru-paru dan sistem pernafasan) dan kematian telah dilaporkan dengan jangkitan selesema babi dalam manusia. Seperti virus selesema bermusim, selesema babi boleh menyebabkan keadaan kesihatan kronik.

Apa Yang Perlu Dilakukan Untuk Mengelak Daripada Dijangkiti Selesema?
Perkara yang terpenting sekali adalah membasuh tangan. Cuba untuk berada pada tahap yang paling sihat. Dapatkan tidur yang cukup. Sentiasa aktif, menangani tekanan, minum banyak air dan makan makanan berkhasiat. Cuba mengelak dari menyentuh tempat yang dicemari dengan virus. Mengelak hubungan dengan mereka yang sakit.

Apakah Kawasan-kawasan Yang Berkemungkinan Sebagai Tempat Yang Dicemari?
Kuman boleh merebak apabila seseorang menyentuh sesuatu yang dicemari dengan kuman dan menyentuh pula mata, mulut dan hidung mereka. Titisan rembesan dari batuk dan bersin dari mereka yang dijangkiti boleh bergerak melalui udara. Kuman boleh merebak apabila seseorang itu menyentuh titisan rembesan batuk dan bersin dari seorang di atas permukaan seperti meja dan permukaan lain dan menyentuh mata, mulut dan hidung sebelum membasuh tangan mereka.

Apa Yang Boleh Dilakukan Untuk Mengelak Daripada Dihinggapi Penyakit?
Buat masa ini belum lagi ada sebarang vaksin untuk melindungi dari selesema babi ini. Terdapat beberapa perkara yang boleh dilakukan untuk membantu menghalang penyebaran kuman yang menyebabkan penyakit pernafasan seperti demam selesema. Cubalah langkah-langkah ini untuk melindungi kesihatan anda:

* Tutup/lindung mulut dan hidung anda dengan tisu sewaktu bersin atau batuk. Buangkan tisu tersebut ke dalam tong sampah selepas menggunakannya.

* Basuhlah tangan dengan sabun dan air dengan kerap terutamanya selepas batuk atau selesema. Pembersih tangan berasaskan alcohol juga berkesan.

* Mengelak dari menyentuh mata, hidung dan mulut. Kuman boleh merebak dengan cara ini.

* Jika anda sakit akibat demam selesema, disyorkan supaya anda tidak bekerja atau ke sekolah juga mengehadkan pergaulan dengan orang lain supaya mereka tidak dijangkiti.

Jika anda sakit anda perlu:-

* Tinggal di rumah dan mengelak hubungan dengan orang lain sebaik mungkin untuk mengelak jangkitan;

* Mendapatkan rawatan kecemasan jika mengalami tanda-tanda awal penyakit.

Disalin daripada Blog Seri Kasih
Artikel asal boleh didapati di sini http://serikasih.blogspot.com/2009/05/tanda-simptom-selsema-babi.html