30 April, 2009

Kehidupan Baru Bermula?

Benarkah pernyataan itu? Entahlah, saya sendiri tidak berasa apa-apa perbezaannya, hari ini dengan semalam. Hari ini genap umur saya 40 tahun, sudah tuakah saya? Entahlah, rasanya tiada yang menarik dengan perubahan umur ini.

Rutin kehidupan berjalan seperti biasa. Bangun pagi jam 5.40, terus mandi dan buat persiapan diri. Selepas selasai tugas hakiki kepada Ilahi, sekali lagi bersiap diri untuk pergi bekerja. Sambil itu, bangunkan anak-anak dan minta mereka melengkapkan diri untuk ke sekolah.

Jam 6.55, ajak anak yang ketiga, A'mmar naik kereta dan bergerak ke Tadika Cahaya Idaman. Selepas menurunkan A'mmar, bergerak melalui jalan Jitra-Alor Setar, kemudian ambil simpang ke kiri di Pekan Kepala Batas, ambil simpang ke kanan di Bukit Tinggi dan sekali lagi simpang ke kiri menuju ke Bukit Pinang.

Sebelum sampai ke Bukit Pinang, ambil simpang ke kiri dan memandu terus melalui Taman Pinang Jaya, Kampung Kubang Lintah dan bila sampai di Lancuk-Padang Kunyit, simpang ke kanan melalui Telaga Mas, Bukit Teriak. Sampai di Tandop Satu berhampiran Kampung Belukar, ambil ke kiri melalui jalan sepanjang Sungai Santap.

Bila tiba di simpang Jalan Alor Setar-Kuala Nerang, simpang ke kiri lagi. Lebih kurang 300 metar, sekali lagi simpang ke kanan di Persimpangan Kebun 500. Dalam jarak 100 meter, simpang ke kanan memasuki kawasan sekolah.

Itulah rutin harianku. Mujurlah sepanjang perjalanan sawah padi sentiasa berubah wajah mengikut musim. Ada ketikanya hijau saujana mata memandang, ada ketika pula kuning padi masak manghimbau perasaan. Paling menarik bila melihat ada kanak-kanak dan orang tua berlari-lari anak membakar jerami selepas dituai hasilnya.

Pernah beberapa kali saya berhenti memandu kereta bila melihat kanak-kanak mengikut traktor membajak sawah. Mereka berebut-rebut dan saling bertolakan menangkap ikan keli, haruan dan puyu yang mabuk diputar mesin.

Saya sendiri tidak pasti sampai bila rutin ini akan berlangsung.

Yang pasti, saya sendiri tak merasai perubahan umur ini, biarpun belum ada yang mengucapkan Selamat Hari Jadi.

26 April, 2009

Cikgu Merokok Depan Pelajar????????????

Imej disalin daripada blog Halaqoh Dakwah

Usah merokok depan pelajar


CHERAS: Guru yang merokok dinasihatkan tidak berbuat demikian depan pelajar kerana tabiat itu boleh menjadi ikutan.
Kajian Kementerian Kesihatan pada 2005 mendapati, kira-kira 42 peratus pelajar yang merokok mengaku terpengaruh oleh tindakan guru mereka, manakala 16 peratus lagi kerana pengaruh ibu bapa.
Timbalan Pengarah (Kesihatan Awam) Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Dr Sallehudin Abu Bakar, berkata statistik itu menunjukkan guru lebih berpengaruh daripada ibu bapa.
Menurutnya, mungkin kerana pelajar banyak menghabiskan masa di sekolah dan lebih rapat dengan guru hingga segala perbuatan, termasuk tabiat tidak baik, menjadi ikutan selepas terpengaruh.
Katanya, pelajar mungkin menganggap tingkah laku guru mereka wajar dicontohi walaupun sebenarnya tabiat itu tidak baik dan boleh memberi kesan negatif kepada diri sendiri.
“Ini dapat kita lihat mengenai peningkatan jumlah pesakit kanser, kini pada usia 20-an dan 30-an sudah menghidapnya,” katanya.

Itulah petikan akhbar Harian Metro bertarikh 26 April 2009, hari ini.

Persoalan yang ligat bermain di kepala saya ialah apakah Pengetua atau Guru Besar yang berada di sekolah yang dibuat kajian oleh Kementerian Kesihatan pada tahun 2005 itu hanya "Pak Pacak" atau tunggul kayu? Apakah mereka tidak mengetahui ada guru di sekolah mereka yang menghisap rokok depan pelajar? Bukankah semua sekolah telah diwartakan sebagai kawasan larangan merokok?

Saya juga mempunyai beberapa orang rakan setugas yang memang ketagih dengan rokok, tapi kadangkala saya kesihan dengan mereka yang terpaksa bersembunyi dan mencari tempat yang tersorok untuk menghisap rokok.

Malah sepanjang saya bertugas, belum pernah saya melihat guru yang menghisap rokok dalam Bilik Guru, inikan pula menghisap rokok depan pelajar.

Kalau benar seperti yang dinyatakan itu, saya rasa guru berkenaan mungkin menghadapi masalah mental.

Pantun: Tugas Guru

A-B-c dan alif ba-ta
Satu dua tiga dan empat
Selalu cikgu ajar kita
Ditubi-tubi sampai dapat

Satu dua tiga empat
Lima enam tujuh lapan
Ditubi-tubi sampai dapat
Bila dapat maju ke depan

Lima enam tujuh lapan
Rajin belajar cepat maju
Bila dapat maju ke depan
Terima kasih banyak, Cikgu!

Betik masak lebat di pangkal
Penuh kapal bawa belayar
Baik budi panjang akal
Hormat guru tekun belajar

Manis rasanya buah delima
Masak sebiji di celah daun
Budi guru saya terima
Jadi kenangan bertahun-tahun

Pohon palma tegak berdiri
Ditanam mari tepi bangunan
Ilmu di dunia terus dicari
Jasa guru dilupa jangan

Waktu malam mencincang halia
Masak cencaru berserai wangi
Muris silam patuh setia
Hormat guru serta disayangi

Pergi memburu ke hutan lama
Dapat rusa di waktu pagi
Kalau ilmu ku dapat sama
Usaha guru ku sanjung tinggi

Pakai baju warna biru
Ke sekolah hingga pukul satu
Murid sentiasa hormatkan guru
Kerana guru pembekal ilmu

Orang haji dari Jeddah
Buah kurma berlambak-lambak
Pekerjaan guru bukanlah mudah
Bagai kerja menolak ombak


Dipetik daripada Blog istimewa2u

23 April, 2009

Tak Mungkin.........

30 tahun yang lalu, beginilah kelaku kami. Umpu, Unil, Aki, Amat, Utuh, Jamal, Salim dan Mamat.

Semua itu tak mungkin akan berulang kembali. Hanya kenangan terus menghiburkan hati....

17 April, 2009

Cerita lama, "Aku dan Ayah"

"Ayah telah tua", itulah ayat yang kudengar bila ayah ikut sama ke Teluk Intan. Kini ayah tidak lagi berani bawa motosikal ke pekan. Ayah kata dah tak boleh agak jarak dengan kenderaan lain. Nak lintas jalanpun payah, inikan pula nak bawa motosikal.

Arwah nenek pernah cerita, ayah dilahirkan di Sapat, Indonesia. Waktu usia tak sampai 40 hari, ayah, Pak Long, Nenek Bini dan Nenek Laki berhijrah ke semenanjung. Belayarlah empat beranak menyeberangi Selat Melaka dengan menaiki sampan. Selepas mendarat di Pulau Pinang terus ke Bagan Serai membuka tanah di sana. Dari Bagan Serai sekali lagi berhijrah ke Sungai Manik dan keluarga ayah membina kehidupan di Parit 4A. Itu sejarah yang pernah diceritakan arwah Nenek Bini.

Awal tahun 2006, ayah dimasukkan ke hospital. Mungkin kerana kesakitan yang melampau, ayah menggenggam tanganku erat. Ingat lagi katanya, "Sakit............". Selepas pembedahan, pertama kali aku melihat ayah menangis. Kini, tanggapanku berlainan. Bukan lagi kerana sakit, tapi kerana sayu dan hiba dengan perhatian yang diberikan oleh anak-anak. Kesemua anak ayah berjumlah 11 orang berkumpul dan berada di sisinya. Kalau dulu, ayah yang terkenal dengan kegarangannya kini lesu.

Masih lagi kuingat. Waktu itu, usiaku 9 tahun. Pada hari Jumaat, kami kanak-kanak berkumpul di surau untuk sembahyang Maghrib dan Isyak. Kebetulan, pada malam Jumaat, pengajian Al-Quran tiada, jadi bilangan kami cukup ramai. Dan yang lebih menarik minat kami ialah kebetulan malam itu ada kuih-muih yang lazat untuk hidangan selepas membaca Surah Yaasin.

Hendak jadi cerita, malam tu kami ternakal lebih. Sewaktu sembahyang Maghrib, ada antara kami yang tidak sembahyang telah membuka juadah dan makan sampai habis hidangan yang dibawa jemaah. Yang teruknya, bekas hidangan ditutup rapat sehingga tidak ada siapa yang sedar makanan telah selesai 'dikerjakan'.

Selepas Sembahyang Isyak, hidangan dibuka dan jemaah terkejut, yang ada hanya bekas kosong. Lantas terdengar Imam Haji Hamid berkata, "Budak-budak ni datang bukan nak sembahyang, nak cari makan". Kata-kata Imam cukup mengejutkan kami. Terlihat dua tiga orang tua balik. Mungkin terasa dan tersentuh hati mereka.

Ayah masih duduk di sisi Imam. Lepas minum kopi, kami balik. macam biasa, ayah bawa lampu suluh. "Jalan kat depan, pegang tangan adik Fuad tu," kata ayah.

"Nampaknya tak ada apa yang akan berlaku," kata hatiku.

Sampai dekat tangga, aku toleh ke belakang. Nampak ayah mencabut tali pinggang.

"Nak bagi malu aku. Apa....tak cukup makan lagi kat rumah ni.....".

Piap....piap .....piap.....Tali pinggang singgah kat belakangku.

Adik meraung memanggil mak. "Makkkkkkkkkkkk........."

Mak menerpa keluar. "Kenapa? Mengucap, bang..........."

"Budak-budak ni bagi malu. Imam kata kita tak cukup bagi makan. Sebab tu dua beradik ni habiskan makanan kat surau..." kata ayah teresak-esak.

Lepas itu, ayah terus masuk ke rumah. Mak bawa kami ke dalam bilik. Terus masuk kelambu. Sambil menangis mak sapu minyak angin belakang badanku. Adik duduk termanggu, akhirnya lena sambil duduk bersila.

Malam tu aku tak lena. Menangis sepanjang malam. Bukan kerana sakit, tapi hairan dan bingung kenapa ayah memukul dengan tali pinggang. Padahal, bukan aku dan adik yang makan kuih kat surau waktu sembahyang Maghrib.

Jam dinding berbunyi tiga kali. Maknanya sudah jam tiga pagi. Aku masih belum lena, baring meniarap. Belakang masih pedih. Mak baring di sisi sambil bertasbih.

Kulihat kelambu dibuka. Ayah masuk dan rapat padaku. Ayah mengusap belakangku dan berkata kepada emak, "Kesihan, Amat. Aku tahu, bukan dia yang makan. Amat dan Fuad sembahyang sebelah tadi. Tapi Imam kata pedih", kata ayah sambil mencium dahiku.

Semenjak hari itu, kami tak ikut ayah lagi ke surau, sampai hari ini. Kenangan tu aku dan adik tak boleh lupakan. Memang padaku ayah tak bersalah. Siapapun kalau ada hari tu cukup terasa bila Imam kata begitu.

Itu cerita 3o tahun dahulu. Kini, ayah jauh berbeza. Kalau cucu minta apapun, selagi boleh ayah akan penuhi. Bukan anakku saja, tapi semua cucunya. Kalau kami dahulu, rotan dan tali pinggang, boleh katakan tiap minggu ada yang kena, kini cucu balik minta apapun semua ada.

Baru minggu lepas aku pulang dan jumpa ayah. macam biasa, lepas bersalaman kami bercerita hal keluarga dan isu semasa. Entah kenapa lepas minum petang tu ayah merenung wajahku.

"Kalau marah, jangan rotan budak-budak tu. Dulu lain, sekarang lain. "

Aku tahu, ayah masih ingat lagi kisah lama. Tak mungkin ayah minta maaf. Tapi bagiku, seorang ayah tetap tak salah, walau dia tersalah tindakan. Ayah hanya menjalankan amanah menjaga anak agar menjadi 'orang berguna'.

Kepada orang yang menjadi pemimpin, biar di mana kedudukan dan tarafnya, jagalah tutur kata. Kadangkala kata-kata kita menjadi bisa kepada orang lain yang tak mengerti makna tersirat ucapan kita.

16 April, 2009

dia dah dapat semua...............

Hari ini saya menghadiri Mesyuarat Pengurusan Pertandingan Pantun Peringkat daearah Kota Setar di SMK Sultanah Bahiyah. Kesempatan ini menemukan kembali saya dengan rakan-rakan yang pernah sekali berkhidmat di sekolah lama. Semuanya yang hadir adalah cikgu yang mengajar Bahasa Melayu, bukannya orang lain, muka yang sama setiap tahun.

Sewaktu makan tengah hari, saya berbual dengan seorang cikgu yang saya anggap agak pendiam dan kami jarang berbual waktu di sekolah lama dahulu. Sikapnya yang pendiam dan sering membangkang idea yang dianggapnya menyudahkan guru, baik daripada pihak pengurusan dan guru lain menyebabkan dia tidak begitu digemari oleh kami waktu itu.

"Kesian hang, Min. Pindah sekolah, depa tak bagi hadiah".

"Tak pe. Depa nak bagi, aku terima, tak bagi aku blah macam tu saja".

"Depa kata, hang dah dapat semua, sebab tu tak perlu lagi bagi hadiah".

"Dapat apa? Yang aku tahu aku pindah, pen 7 kupang pun depa tak hulur," jawabku kebingungan.

"Depa kata hang dapat melintang masa SSB, lulus IV,IV PTK2, dapat lagi anjakan gaji, lepas tu hang dapat pula naik pangkat ke 44."

Aku mula mendidih bila mendengar cerita itu.

"Wei kawan, melintang tu pengurusan sekolah yang cadang nama, aku tak minta. Dah aku buat kerja betul, tentu mereka cadang. Hang ingat tak Pavilion kat padang. Itu idea aku, buat Jogathon dan urus sampai dapat lebih RM60,000.00. Perpustakaan, sampai dapat pasang tile dan aircond, juga projek aku buat kutipan derma".

"Itu aku tau, tapi kawan-kawan kita kata hang dah dapat semua, sebab tu tak perlu bagi lagi".

"PTK aku lulus sebab baca buku. Aku bukan rajin sangat baca buku, tapi dah orang rumah aku ambil sekali PTK, kami bincanglah. Allah, sambil nak pejam mata, nak kenen sana, kenen sini, dapat juga idea nak jawab PTK."

"Depa kata hang muda lagi masa dapat anjakan gaji dan 44, orang lain yang senior pun belum dapat lagi waktu tu," ujarnya lagi.

"Laaaa, hang ni pun satu. Bila lulus IV,IV PTK2, pengetua kena bagilah anjakan dan cadang nama ke-44. Memang waktu tu aku tak cukup lagi 10 tahun kerja, tapi gaji aku dah lebih sebab dapat melintang dan anjakan, sebab tu aku dapat naik awal. Lagipun, kebetulan, aku bacth pertama yang lulus PTK, tentulah aku dapat dulu." Kawanku itu mula melopong mendengar penjelasan itu.

"Ni, balik nanti, hang pesan kat depa, tak bagi pun tak pa. Jangan ungkit cerita lama. Aku dah meluat dengar. Lagipun, aku dah setahun lebih pindah sekolah."

Lepas itu aku bangun dan terus basuh tangan. Tanpa ucap salam perpisahan, aku terus meninggalkan Bilik Mesyuarat dan balik ke rumah.

Yang nyata, sepanjang perjalanan itu, kepalaku ligat memikirkan tentang erti kawan dan persahabatan.

14 April, 2009

Mencari diri

Menerima Cenderamata setelah menamatkan perkhidmatan
sebagai anggota Sukarelawan Polis Kedah
pada tahun 2008

Kadang-kadang saya selalu terfikir, siapakah saya? Seorang budak kampung yang dahulu bermain lumpur dan selut, menangkap burung dan belut, main galah panjang dan mandi sungai sentiasa berebut.

Teringat ketika menerima tawaran berkhidmat sebagai guru di SMK Sematan, Sarawak. Posmen yang menghantar surat tak percaya saya penerima surat itu. Manakan tidak, ketika itu saya sedang menangguk ikan dalam parit di hadapan rumah.

Bila dipanggil oleh ayah, saya terus menuju ke arah posmen dan dia geleng kepala, "Awak ke Mohd Amin?" Dia seakan tak percaya.

Pernah bidan yang menyambut kelahiran saya memberitahu, saya dilahirkan pada hari Jumaat ketika sedang azan kedua kedengaran. Memandangkan keadaan saya lemah dan tiada lelaki yang berada di rumah untuk menghantar ke hospital Teluk Intan, bidan telah mengambil daun keladi dan saya ditutup sehinggalah ayah saya balik daripada sembahyang Jumaat baru dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

Di Sekolah Kebangsaan Permatang, Sungai Manik sewaktu Peperiksaan Darjah Enam, saya hanya mendapat 2B, 3C. Tak layak masuk ke mana-mana sekolah berasrama penuh dan ditempatkan di Sekolah Menengah Seri Perak.

Ketika inilah baru kepandaian saya mula kelihatan. Teringat sewaktu keputusan SPM diumumkan, saya mendapat 14 anggegat dan mendapat tawaran untuk Program Persediaan Khas ke Jepun di Universiti Malaya. Malangnya ayah tak membenarkan dan saya terus kekal hingga ke Tingkatan enam.

Semasa mengambil STPM tahun 1989, saya pernah menangis kerana tersangka silap menjawab soalan karangan dalam kertas Pengajian Am. Bayangkan, negara maju yang diberi contoh ialah Malaysia, Australia dan Indonesia. Tapi bila keputusan keluar, saya mendapat 2A (Pengajian Am dan Bahasa Melayu), 1B, 1D dan 1R.

Kenakalan lama sewaktu tinggal di asrama SMK Seri Perak kadang kala membuatkan saya tersenyum sendiri. Kami pernah fly (menyeludup keluar) waktu malam untuk menonton wayang dan makan depan jam tinggi senget.

Satu keistimewaan kepada kami, pelajar yang mengambil STPM ialah kami mempunyai bilik study khas dan boleh mengulang kaji tanpa had masa. Pernah beberapa kali, kami kelaparan dan
bila pergi ke kantin asrama, didapati telah berkunci. Kami mengambil buluh panjang dan menjolok ke arah raga yang diletakkan di tepi tingkap dan dapatlah mengail buah tembikai, nanas dan sekali terkail ayam. Apalagi, kami ambil 5 ekor dan panggang di tepi Sungai Perak dekat padang sekolah. Yang herannya, kerja ini dilakukan oleh kami yang semuanya pengawas sekolah dan asrama termasuk Ketua Pengawas (Muhazzib, jangan marah naaa)
(sebelum tamat sekolah kami berjumpa dengan pengusaha kantin asrama dan minta halal. Dia terkejut kerana dia sendiri tidak tahu bekalan telah dicuri oleh kami)

Itulah cerita alam persekolahan saya, bermula di SK Permatang dan berakhir di SMK Seri Perak. Pada tahun 2007, saya telah pergi ke SMK Seri perak dan satu-satunya cikgu yang pernah mengajar yang dapat ditemui, Cikgu Rosnani. Dia sendiri heran dan tertanya-tanya siapa saya dan bila dimaklumkan cerita-cerita lama, barulah dia teringatkan saya. Agaknya mungkin semasa bersekolah dahulu saya tidak begitu popular, ataupun kenakalan saya tidak ketara, jadi tiada keistimewaan yang dapat diingati. Mungkin juga kesilapan saya kerana tidak pernah mengunjungi guru-guru yang pernah mengajar walaupun sering balik kampung, setiap kali cuti persekolahan.

08 April, 2009

Aku hempuk atas pala hang...........

Ayat di atas sentiasa bermain dalam fikiran saya. Entah kenapa saya tidak mampu memadamkan dan melupai peristiwa yang menyebabkan ayat itu terpacul daripada mulut seseorang yang berkuasa pada waktu itu.

Pada hari itu saya dalam perjalanan ke kelas Tingkatan 5. Dari bilik guru, untuk sampai ke bangunan itu, saya terpaksa melalui koridor dan dua blok bangunan yang lain.

Ketika melalui blok yang kedua saya ternampak Pengetua sedang menunjuk-nunjuk sesuatu kepada pekerja sekolah. Memandangkan saya berada di belakangnya, dia tidak menyedari kehadiran saya, tambahan lagi loceng peralihan kelas belum berbunyi. Hanya kebetulan, saya yang ada kelapangan bergerak awal ke kelas.

"Aku hempuk atas pala hang kerusi ni. Aku suruh angkut ke stor, bukannya himpun tepi tangga ni."

Kelihatan pekerja itu terkebil-kebil dan akhirnya tunduk melihat simen. Dia meyedari saya ada di belakang Pengetua.

"Ha.... Tunggu apa lagi?"

"Puan, saya angkut kerusi ni dari tingkat atas bangunan. Himpun dulu. Sat lagi dah banyak saya bawak troli, angkut ke stor," jelas pekerja itu.

"Ohhhhhh, tu ka...." Kedengaran suaranya yang lembut dan agak mengeletar.

Tanpa dijangka dia berpaling ke belakang dan ternampak saya, "Cikgu Amin nak masuk kelas ke? Loceng mana bunyi lagi."

"Saya nak ke Kelas 5_ , Cikgu. Mereka sedang PJ sekarang, jadi kelas tu kosong, tak ada cikgu."

"Hemmmmm, tak pa. Saya nak ke perpustakaan pulak."

Pekerja tadi terus bergerak ke tempat lain. Sejak hari itu, dia jarang menegur saya dan saya juga seboleh-bolehnya mengelak untuk bersembang dengannya.

Sehinggalah akhirnya Pengetua itu bertukar ke sekolah lain, saya mendengar cerita pekerja itu sanggup mengorbankan kambing yang dibelanya untuk dipanggang di stor sekolah.

Yang herannya, saya tidak dijemput ke majlis itu walaupun rakan-rakan lain hadir menikmati kambing panggang.

Tidak lama kemudian, pekerja itu pula ditukarkan ke sekolah lain dan sampai hari ini, kalau berjumpa dengannya kami hanya sekadar angkat tangan tanda saling mengenali dan tidak pernah berbual langsung.

Entahlah, saya sendiri sukar menafsirkan makna peristiwa itu, tapi hati kecil saya sentiasa berkata, "Payahkah untuk kita meminta maaf andai kesilapan berada di pihak kita?".

03 April, 2009

Kalau tak tau, jangan buat cerita.........

Hari ini aku nak tergelak besar...Ha...ha..ha...ha..ha.

Ada ke patut, dalam ketenangan persekolahan pagi, wujud cerita nama sekolah naik kat NUTP Kedah sebab ada cikgu lapor sekolah buat kelas tambahan hari Sabtu.

Lepas dengar cerita saya cuba dapatkan kepastian daripada Penolong Kanan Pentadbiran. Kelihatan dia sendiri terpingga-pingga dengan soalan itu. Katanya, "Tak ada anginpun bertiup, tak tau pulak Pengetua yang dapat berita tu".

Untuk lebih lanjut, saya telefon Setiausaha NUTP Kedah, Saudara Wang Heng Suan. Sah, tak ada tapi kenapa wujud cerita?

Sebenarnya, orang yang wujudkan cerita tu sengaja nak sabotaj kerana sekolah sekarang sedang menjalankan aktiviti untuk peningkatan prestasi pelajar. Apa salahnya kita berkorban sehari dalam sebulan pada hari Sabtu untuk membuat kelas tambahan.

Pada saya, aktiviti ini bagus dan menguntungkan pelajar. Ramai pelajar di sekolah yang tak mampu untuk membayar tiusyen di luar dan pengorbanan cikgu pasti dihargai.

Tambahan lagi, kelas tiusyen ini berbayar dan ditanggung oleh PIBG. Jadi, kalau ada yang tak setuju saluran bantahan pada saya ialah PIBG kerana guru sendiri adalah ahli PIBG. Yang herannya kalau tak setuju kenapa tak bantah semasa Mesyuarat Agung PIBG pada 26 Mac 2009?

Mungkin pembawa cerita tu tak sedar yang saya adalah AJK NUTP Kedah dan boleh mendapatkan pengesahan terus daripada pejabat NUTP.

Lain kali kalau nak buat cerita, cek dulu kiri, kanan, depan, belakang, atas dan bawah. Kalau tidak, duk diam-diam.