24 Ogos, 2008

Menjadi Guru

Menjadi guru
Seperti memasuki belantara pengap
Yang tebat suara
Di dalamnya terkurung kejab
Khazanah warisan berkurun jagat
Adalah menjadi tugas kita
Menebas hutan di denai beronak
Mencantas pohon di cerun menurun
Di sini
Tempat kita membuka sebuah ladang besar
Yang luas saujana
Tempat kita menabur benih harapan
Menyemai kejayaan.

Di tengah ladang besar ini
Mengalir sungai waktu menunda bakti
Tempat kita, para pendidik bangsa
Menghanyutkan mimpi kita ke muara
Mengharap anak didik kita
Jadi cendekiawan bangsa bertaraf dunia
Mengharap generasi muda kita
Jadi insan mulia menabur jasa
Mengharap anak miskin dari desa dan kampung
Bisa memindah teknologi dari Jepun
Mengharap anak-anak Malaysia
Bisa mencanang slogan keramat
Ke seantero dunia penuh semangat
Mengharap anak-anak sekolah
Jadi penerus cerita pelanjut sejarah.

Seorang guru bukan lagi
Sebatang lilin membakar diri
Tapi suluh keramat sepanjang usia
Memancar makrifat
Bertunda abad
Menyinar ilmu kalam
Sepanjang zaman
Sekali guru
Gurulah kita sepanjang usia
Sekali berbakti;
Selamanya abadi

Dungun, Ogos 2008
Nukilan: Awang Abdullah


Sajak ini dipetik daripada
Buku Upacara Perasmian Perwakilan NUTP Ke-18
di Copthorne Orchid Hotel, Tanjung Bungah, P. Pinang

20 Ogos, 2008

Pengalaman Kemalangan Jalan Raya

Kejadian yang berlaku pada 5 September 2005 tidak dapat dilupakan sehingga kini. Pada malam tersebut, dalam perjalanan balik ke rumah dari Kuala Nerang, saya telah terlibat kemalangan dengan seekor lembu yang berada di atas jalan raya. Saya sendiri tidak tahu bagaimana kemalangan itu terjadi, cuma yang pasti kelajuan motosikal yang dibawa sudah melebihi 100 km/j.

Menurut anggota polis yang menyiasat kemalangan itu, lembu mati di tempat kejadian. Sementara saya pula dibawa ke Hospital Kuala Nerang dengan trak polis yang kebetulan melalui jalan tersebut. Saya hanya sedar diri setelah diberi rawatan kecemasan di Wad Kecemasan.

Memandangkan kecederaan yang dialami agak teruk, saya dipindahkan ke Hospital Besar Alor Setar. Tulang ulna dan radius tangan kanan patah, 6 metacaple tangan kiri retak, bibir bawah menerima 3 jahitan dan jari kelingking tangan kiri menerima 5 jahitan kerana luka terkoyak.

Malangnya, pada pagi tersebut, saya telah didiscaskan daripada wad kecemasan dan diminta hadir semula pada 14 September 2005 untuk rawatan lanjutan dan pembedahan. Paling memilukan ada petugas wad tersebut yang menyebut, "Mat Rempit, padan muka!!". Walaupun disahkan saya adalah anggota Sukarelawan Polis, permohonan untuk dimasukkan ke wad tidak diterima kerana Wad Kelas Tiga dan Dua telah penuh.

Mujurlah, Penolong Kanan SMK Pokok Sena mengarahkan 2 orang guru, Cikgu Zahir dan Cikgu Ahmad Othman membawa Surat Akuan GL, barulah saya dimasukkan Wad Kelas Pertama. Dalam keadaan tersebut, saya dan anggota keluarga tidak teringat yang kami mempunyai Kad Insuran Perubatan.

Pada 14 September 2008, barulah saya dibawa masuk ke bilik bedah. Jam 2.00 petang saya sudah tidak mengetahui apa yang berlaku seterusnya sehinggalah saya sedar semula lebih kurang jam 9.00 malam.

Malam itu adalah malam yang amat panjang dan menyeksakan. Kesakitan yang dilalui teramat perit sehingga tidak tertanggung oleh badan. Dalam keadaan itu, hanya dua orang yang menjadi sebutan di mulut, pertama mak yang berada di Sungai Manik dan Zana, isteri kesayangan.

Malangnya, kedua-dua insan tersebut tidak ada bersama. Mak sakit dan tidak mampu berjalan jauh, apatah lagi untuk datang ke Alor setar. Zana pula masih dalam pantang selepas bersalin anak kami yang keempat.

Semenjak kemalangan itu juga, saya mendapat ibu kedua yang sentiasa menjaga dan mengambil tahu tentang diri saya sehingga kini. Ibu mentua, Mak Saodah menjadi tempat mengadu kesakitan dan mententeramkan diri. Beliau bukan sahaja menjaga saya tetapi berperanan sebagai ibu sejati kerana saya tidak mampu melakukan apa-apa memandang kedua-dua belah tangan cedera teruk. Sepanjang saya berada di hospital selama 14 hari dan sehingalah saya sembuh, beliaulah yang memandikan, membersihkan badan, memakaikan pakaian dan melakukan segalanya kerana saya ketika itu umpama budak kecil yang tidak mampu berdikari.

Walaupun peristiwa itu telah tiga tahun berlalu, tetapi kesannya amat mendalam. Banyak kenangan lama telah hilang dari ingatanku. Peringkat awal isteri dan anak-anak juga tidak dapat saya ingati dengan baik, malah ada ketikanya saya merasakan mereka seperti orang asing dalam hidup saya.

Kadangkala ada rakan yang menegur saya bila berjumpa, malangnya saya mengambil masa yang lama untuk menginagati mereka semula malah ada yang tidak lagi saya kenali.

Namun, kini semuanya hampir beransur pulih, tapi minta maaf, ada ketikanya saya masih tidak mampu mengingati kenangan lama zaman kanak-kanak, zaman persekolahan rendah, menengah dan universiti kerana kita tidak lagi dapat berhubung bagi memulihkan ingatan saya.

Kesan yang paling ketara, kini saya jarang keluar rumah waktu malam, malah sedaya upaya akan bersama anak-anak dan isteri. Peluang kedua ini Insya-Allah akan saya gunakan untuk membina keluarga yang lebih cemerlang.

09 Ogos, 2008

PTK3 DG44

Inilah Kumpulan PV1 yang diketuai oleh saya sepanjang Kursus PTK3 untuk DG44 yang diadakan pada 2 hingga 9 Ogos di Hotel Berjaya, Pulau Pinang. Walaupun saya adalah peserta yang termuda dalam kumpulan ini, tetapi tiada sebarang masalah dihadapi dan semua ahli memberikan kerjasama penuh dan sedia membantu rakan yang ada kekurangan, terutama semasa "public speaking".

Saya sendiri terasa agak tertekan kerana inilah pertama kali bercakap dalam Bahasa Inggeris di khalayak ramai. Walau bagaimanapun, sokongan rakan-rakan terutama Cikgu Shaharudin, Cikgu Rohani, Cikgu Ibrahim dan kesemua ahli yang memberi galakan dan dorongan membantu saya menghabiskan ucapan sehingga masa yang ditetapkan.

Untuk pembentangan kerja individu pula, kumpulan ini mendapat pujian kerana membantu rakan memastikan "power point" sedia untuk digunakan dan pembentang hanya perlu bersedia untuk berucap di hadapan penilai. Inilah kerjasama untuk sama-sama menikmati kejayaan. Tiada siapa yang mementingkan diri dan sikap ini amat baik untuk diteruskan untuk penambahbaikan kemajuan diri dan perkhidmatan.

UAK PTK DG44

Bermula 2 Ogos hingga 9 Ogos 2008, saya telah mengikuti Kursus Penilaian Tahap Kecekapan 3 di Hotel Berjaya, Pulau Pinang. Dalam kursus ini, saya telah dilantik sebagai Ketua Kumpulan PV1, walaupun sayalah yang termuda dalam kumpulan tersebut.

Setelah melalui "Public Speaking" dan Pembentangan Kertas Kerja Individu dan Kumpulan, pagi ini hari yang cukup merisaukan bagi saya. Jam 9.00 pagi, Peperiksaan Akhir Kursus untuk PTK DG44 akan dilalui. Walaupun telah melalui banyak jenis peperiksaan sepanjang hidup ini, tapi fobia dengan istilah "PEPERIKSAAN" masih lekat di hati.

Namun segalanya terlerai bila mengunjungi blog isteri tercinta, terpandang wajah puteri kesayangan yang menjadi penawar hati yang duka dan lara. Benarlah seperti yang dinyatakan, 'After 11 years I've been waiting for a daughter , at last my princess was born at 6 Dis 2006. Now she is 1 year and 8 months old'.


04 Ogos, 2008

Masih Adakah Lagi Ruang Untuk Anda Bertindak?

Ruang untuk anda menambah baik diri dan orang yang disayangi.

Ruang untuk dirahmati dan dikasihi (manusia dan pencipta (Allah s.w.t))

Ruang untuk menyesal, bertaubat dan kemudian berubah

Ruang untuk berazam memberi kesan kepada anak-anak dan membahagiakan semua pihak